PANDU UJI: Toyota C-HR – Penyatuan ekspresi gaya dan prestasi kuasa; berbaloikah dengan harganya?

PANDU UJI: Toyota C-HR – Penyatuan ekspresi gaya dan prestasi kuasa; berbaloikah dengan harganya?

Sejak UMW Toyota mengesahkan akan membawa masuk model crossover serba baharu C-HR ini ke pasaran tempatan, memang ramai yang tidak sabar menantinya. Setahun yang lalu, buat pertama kalinya ia ditampilkan di khalayak ramai, maka berduyun-duyun rakyat Malaysia mengambil kesempatan ini untuk melihat sendiri C-HR di hadapan mata.

Keterujaan mereka, sempat juga kami saksikan sewaktu seharian kami di bilik pameran Toyota di Petaling Jaya, bagi merakamkan video awalnya. Malah tempahannya juga cukup menggalakkan. Ternyata kehadiran C-HR dalam pasaran model SUV dilihat bertepatan, memandangkan kenderaan kategori ini semakin menjadi pilihan di negara ini.

Dan Mac lalu, ia rasmi dilancarkan di negara ini dan kini kelibatnya makin kerap dilihat di jalan raya. Walau bagaimana pun popularitinya masih belum mampu mengatasi HR-V, mungkin atas faktor harganya yang sedikit tinggi berbanding crossover keluaran Honda itu.

PANDU UJI: Toyota C-HR – Penyatuan ekspresi gaya dan prestasi kuasa; berbaloikah dengan harganya?

Selain pesaing terdekatnya termasuk Honda HR-V, Subaru XV dan Mazda CX-3, kehadiran C-HR dilihat mampu memeriahkan lagi pasaran SUV segmen-B yang kian menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia. Namun apakah yang diterjemahkan oleh C-HR menerusi penampilan dan prestasinya? Apakah ada ciri tertentu yang boleh dijadikan tarikan utama untuk memilihnya berbanding model persaingannya? Jom kita bongkar lebih lanjut mengenai C-HR ini.

Projek membangunkan C-HR ini bermula sejak enam tahun yang lalu dan ia merupakan model kedua Toyota yang menggunakan TNGA C-platform selepas Prius. Ia berdimensi 4,360 mm panjang dan 1,795 mm lebar, di mana C-HR miliki 66 mm lebih panjang dan 23 mm lebih lebar berbanding HR-V. Bagi jarak rodanya pula, C-HR tampil dengan ukuran 2,640 mm iaitu 30 mm lebih panjang berbanding HR-V dan 70 mm lebih panjang daripada CX-3. Bukan itu sahaja, C-HR yang seberat 1,405 kg, iaitu 138 kg lebih berat daripada HR-V dan lebih 194 kg berbanding CX-3.

Jika perhatikan badan C-HR ini, memang ia menampilkan keunikan dan sifat futuristik yang lebih menyerlah berbanding model persaingannya. Garisan bumbung yang lebih pandai dengan pembentukan yang lebih berotot memberikannya karakteristik yang berbeza.

PANDU UJI: Toyota C-HR – Penyatuan ekspresi gaya dan prestasi kuasa; berbaloikah dengan harganya?

Bukan itu sahaja, pemegang pintu belakang yang tersembunyi juga menambah kelainan pada model ini walau pun konsep ini turut dibawakan oleh HR-V.

Ditambahkan dengan lampu utama projektor halogen automatik dengan rekaan yang melunjur ke belakang bersama fungsi Follow Me Home, lampu nyalaan siang LED dan lampu kabus hadapan dengan unit halogen. Rekaan rim aloi lima-jejari kelihatan lebih ringkas dengan pilihan saiz 17-inci yang dibaluti tayar 215/60R17.

Namun pandangan mata lebih tertarik dengan imej yang ditampilkan pada bahagian belakang yang lebih menyerlah, umpama 3D dengan lampu ala boomerang dengan spoiler dan bampar yang agak menonjol bersama kemasan hitam pada bampar bawah, walau pun rekaannya sedikit nampak sarat. Namun ia masih senada dengan penampilan di bahagian hadapan.

Menjengah bahagian kabin, imej minimalis kelihatan terbentang terutamanya pada papan pemuka. Rekaan yang tidak begitu sarat, dan tidaklah nampak ala futuristik (seperti kurang senada dengan penampilan luarannya). Namun papan pemuka yang dibentangi rona coklat gelap, terbahagia kepada beberapa bahagian, termasuk bahagian tengah yang ditempatkan panel kawalan untuk pendingin hawa, diasingkan dari unit utama skrin sesentuh freestanding. Manakala konsol tengah yang sedikit tinggi menempatkan perumah bagi tuil gear, brek parkir elektronik, dua butang kecil dan dua tempat letak cawan.

Warna coklat gelap juga ditampilkan pada panel plastik hiasan di tepi pintu dengan tekstur jalinan. Bahagian lainnya pula dihiasi plastik lembut dengan kekemasan hitam berkilat.

Antara elemen lain yang ditampilkan termasuklah sistem masuk tanpa kunci, butang penghidup enjin, lampu bawah pintu, tempat duduk balutan kulit bercorak, tempat duduk dengan larasan sokongan belakang elektrik (larasan sandar dan ke hadapan masih lagi manual), lampu serta pengelap cermin automatik, skrin informasi berwarna 4.2-inci, kawalan pendingin hawa dwi-zon dan kamera undur.

PANDU UJI: Toyota C-HR – Penyatuan ekspresi gaya dan prestasi kuasa; berbaloikah dengan harganya?

Selain itu, ia turut didatangkan dengan skrin sesentuh tujuh-inci dengan pemain DVD, sambungan telefon pintar, pengesan suara, capaian Internet, Wifi, HDMI, USB, Bluetooth, dan juga enam-pembesar suara.

Bagaimana pula dengan keluasan ruang dalamannya? Adakah ia benar-benar praktikal seperti mana yang mungkin dibayangkan sebelum ini? Bagi tempat duduk pemandu dan penumpang di hadapan, ia tidak menjadi masalah. Namun demikian, bagi tempat duduk belakang, keluasannya disifatkan sederhana. Ia masih lebih luas berbanding CX-3, namun tidak begitu selesa seperti HR-V. Untuk penumpang bertubuh besar atau tinggi, mungkin ia hanya mampu memuatkan dua penumpang sahaja di belakang untuk keselesaan optimum.

Namun untungnya, bahagian kargo bagi C-HR agak memuaskan dengan kapasiti 388 liter. Malahan tempat duduk belakang yang boleh dibaringkan dengan nisbah 60:40 banyak membantu memberikan ruang yang lebih.

Selain ruang tempat duduk belakang yang sedikit sempit, penulis turut merasakan ada kelemahan lain apabila berada di dalam kabinnya iaitu pandangan menerusi cermin belakang tidak begitu memuaskan kerana ia terhalang oleh C-pillar yang agak tebal dan tingkap belakang yang agak kecil. Tidak seperti pandangan hadapan yang memang tiada masalah, pandangan belakang sedikit menyulitkan, terutamanya juga hendak mengundurkan kenderaan. Tapi mujur ada kamera undur dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA) yang boleh membantu.

Selain itu, elemen keselamatan yang turut ditampilkan termasuklah tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu) bersama Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, ABS dengan EBD dan bantuan Brek, paparan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, sistem pemantauan tekanan tayar dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

Untuk pasaran Malaysia, C-HR hadir dengan satu saja varian enjin iaitu 1.8 liter empat-silinder naturally aspirated Dual VVT-i dengan hamburan kuasa 138 hp pada 6,400 rpm dan tork 171 Nm pada 4,000 rpm. Kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi automatik CVT dengan mod manual Sequential Shiftmatic tujuh-kelajuan. Tidak seperti negara lain yang turut menawarkan pilihan enjin iaitu 1.2 liter turbo dan 1.8 liter hibrid.

PANDU UJI: Toyota C-HR – Penyatuan ekspresi gaya dan prestasi kuasa; berbaloikah dengan harganya?

Enjin dan transmisi dirasakan kombinasi yang baik untuk pemanduan dalam bandar. Lonjakan kuasa dan pergerakan kotak gearnya seiringan dan saling bekerjasama. Walau bagaimana pun, ketika membelah lebuhraya dengan kelajuan yang sedikit tinggi, seakan ia bergerak kurang seirama. Lantas, penulis memilih untuk menggunakan mod manual bagi memberikan rasa yang lebih memuaskan.

Walau bagaimana pun keselesaan dalam pengendalian C-HR ini wajar dipuji dalam bab NVH, kerana ia banyak membantu menyerap bunyi bising jalan raya. Bagi daya olengannya, memadai dikatakan ia bersifat sederhana.

C-HR juga mampu memberikan pengendalian yang dinamik dalam pemanduan yang agak agresif. Sterengnya mudah dikawal dan mampu mempamerkan sifat sporty dalam pemanduan sebegini, termasuk ketika melayan selekoh. Bertambah menyeronokkan bila menggunakan mod Sport yang menghasilkan pemanduan lebih berdaya tinggi.

Jika hendak dibandingkan pengendaliannya dengan HR-V, SUV keluaran Honda ini sebenarnya lebih bersifat selesa dan dinamik. Manakala bagi CX-3 pula, Mazda memang banyak memberikannya kemodenan dan kemasan yang lebih menarik, namun dari sudut pengendalian, C-HR lebih menandinginya. Bagi Subaru XV pula, terjahan enjinnya pasti lebih padu, apatah lagi gandingan sistem 4WD yang jarang mengecewakan, tapi dari segi gaya, ya, C-HR menang.

Dengan harga RM150,000 (termasuk GST dan tanpa insurans), C-HR dilihat lebih mahal berbanding HR-V (RM110k), CX-3 (RM121k) dan XV (RM118k). Namun dengan pakej gaya dan prestasi yang dibentangkan, adakah anda melihat pemilikan bagi C-HR cukup berbaloi dengan harganya? Atau pun mungkin yang tidak memperdulikan harga, soal gaya itu lebih menambat hati, terutamanya bagi pemandu wanita yang ramai juga tidak kisah dengan prestasi enjin sesebuah kenderaan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required