PANDU UJI : Mazda CX-3 – bila imej diutamakan

Mazda-CX-3-2.0L-review-2

Tidak dinafikan pasaran bagi SUV crossover kian mendapat tempat di pasaran tempatan. Apatah lagi selepas kehadiran Honda HR-V yang sehingga kini mendominasi pasaran dalam segmennya sejak ia diperkenalkan pada Februari 2015. Malah pembeli di Malaysia kian tercari-cari model SUV yang seumpamanya, sebagai memenuhi citarasa dan kehendak masa kini.

Kehadiran Mazda CX-3 dilihat sebagai pesaing terdekat HR-V. Dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada awal Disember lalu, model yang diimport sepenuhnya dari Jepun (pemasangan di kilang Mazda yang terletak di Hiroshima) hadir dengan satu varian iaitu CX-3 2.0 SkyActiv-G 2WD. Ia dijual pada harga atas jalan RM131,218 (tanpa insurans) iaitu RM13,285 lebih mahal berbanding HR-V 1.8L V iaitu RM117,933.

Tidak dinafikan harganya agak mahal kerana ia adalah model CBU. Namun Bermaz berkata mereka mempunyai perancangan untuk memasang CX-3 ini di kilang tempatan bagi unit CKD, jadi harganya pasti akan menjadi lebih murah, mungkin lebih kurang sama dengan HR-V.

Mazda-CX-3-2.0L-review-7

Jika bercerita tentang imej yang dipertaruhkan, ya pastinya CX-3 ini mempunyai kelebihan. Apatah lagi bila ia hadir dengan warna badan Soul Red Metallic, cukup seksi dan penuh menguja. Tetapi jika anda rasakan warna ini kurang sesuai dengan citarasa anda, Mazda turut menampilkan warna lain iaitu Crystal White Pearl, Jet Black, Meteor Grey dan Deep Crystal Blue.

Seperti model baharu Mazda yang lain, CX-3 turut menerapkan rekaan Kodo pada keseluruhan wajahnya. Memerhatikan bahagian hadapannya, ia ditampilkan dengan gril yang sedikit lebar dengan bingkai krom di sekeliling, yang bersambung pada lampu utamanya. Manakala lampu utamanya pula kelihatan lebih langsing dengan padanan LED, berbanding dengan reflektor halogen. Malah ia juga didatangkan dengan fungsi automatik on/off, sistem pencahayaan hadapan adaptif yang membantu memberikan lebih pencahayaan sewaktu kenderaan melalui selekoh, larasan automatik dan lampu nyalaan siang LED.

Di bawah lampu utama, lampu kabus LED dan indikator isyarat juga ditempatkan, dan kemudian di bahagian bawahnya kelihatan kekemasan kepingan hitam berkilat menambahkan lagi gayanya. Pengaruh Kodo juga jelas kelihatan menerusi garisan badan dari hud bahagian hadapan sehinggalah ke atas gerbang roda, merintangi kedua-dua cermin sisi (dengan indikator) dan bahagian bawah badan.

Ia turut memberikan kesan yang lebih sporty apatah lagi dengan padanan gerbang hitam pekat serta penampilan rim aloi lima-jejari bersaiz 18-inci yang dibaluti tayar 215/50R18 Toyo Proxes R40. Malah kekemasan kepingan hitam pekat bersama sentuhan perak yang ditempatkan pada ambang pintu bersambung dari hadapan ke belakang turut menyerlahkan lagi gayanya.

Bukan itu sahaja, jika dilihat pada sisi, anda akan perasan yang CX-3 ini umpama ditampilkan dengan rekaan ‘bumbung terapung’, dengan tiang-C yang mencipta ilusi tersendiri. Suatu rekaan yang wajar dipuji. Malah anda juga boleh perasan tingkap sisi yang lebih kecil tetapi tidak begitu menonjol.

Bagi dimensinya, SUV ini berukuran 4,275 mm panjang, 1,765 mm lebar, 1,535 mm tinggi, bersama jarak roda 2,579 mm. Berbanding HR-V yang memiliki ukuran 4,294 mm panjang, 1,772 mm webar 1,605 mm tinggi, dengan jarak roda 2,610 mm. Sekali gus menjadikan CX-3 lebih kecil berbanding model pesaingnya itu.

Melewati bahagian belakang, lampu belakang dengan LED turut menjadi pilihan, malah ia berbentuk lebih langsing berbanding Mazda 2. Malah terdapat butang kecil di bahagian belakang untuk memudahkan ruang kargo dibuka serta turut ditempatkan kamera undur. Bukan itu sahaja, terdapat lampu kabus/reflektor dan dua corong ekzos krom.

Secara keseluruhan, gaya yang ditampilkan oleh CX-3 ini cukup rugged dan ranggi, kelibatnya pasti mudah menangkap pandangan mata. Tetapi jika memasuki ruang kabinnya, anda boleh rasakan ia seperti Mazda 2. Tidak seperti HR-V yang menggunakan platform yang sama dengan Jazz, ruang kabin CX-3 lebih kecil seperti Mazda 2.

Dengan saiz kokpit yang tidak begitu besar, ia turut membantu memudahkan lagi pemandu untuk mencapai segala butang kawalan. Namun jika anda bertubuh sederhana mahu pun kecil, memang cukup sesuai untuk menduduki kabin CX-3 ini. Malah ruang kepalanya juga terasa sedikit luas berbanding Mazda 2, hasil penambahan tinggi iaitu 1,535 mm berbanding Mazda 2 yang hanya 1,495 mm (sedan)/1,470 mm (hatchback). Tetapi jika anda seorang yang tinggi lampai atau bertubuh besar, mungkin ia sedikit kurang selesa atau pun saiz anda sekadar ‘ngam-ngam ho’ untuk berada di dalam perut CX-3 sama ada sebagai pemandu mahu pun penumpang.

Bentangan dalaman CX-3 juga lebih kurang sama dengan Mazda 2, daripada segi posisi butang kawalan hingga ke corong penghawa dingin, roda stereng, kluster instrumen, elemen gentian karbon tiruan dan juga tempat duduk.

Apabila duduk di tempat duduk pemandu, terasa badan mudah serasi dan selesa dengannya, hasil pemilihan material upholstery bersama balutan kulit lembut, berbanding kulit-fabrik pada Mazda 2. Begitu juga jika duduk di tempat duduk penumpang. Keselesaannya jelas terasa.

Malah material kulit lembut juga menjadi pilihan bagi kekemasan bahagian pemegang pintu, seakan sama dengan Mazda 6. Bukan itu sahaja, roda stereng (dengan pedal penukar gear) juga didatangkan dengan butang kawalan baharu termasuk fungsi kawalan kelajuan. Selain itu, elemen lain yang dipertingkatkan termasuklah lampu dan bilah pengilap cermin automatik. Sementara itu, bagi unit hiburan, ia menampilkan skrin sesentuh MZD Connect yang sama seperti Mazda 2, bersama sistem penghawa dingin zon tunggal automatik tiga-dail.

Malah bahagian konsol tengah yang menjadi perumah bagi Commander Dial yang disambungkan pada sistem MZD kelihatan kemas dan tersusun. Ruang storan di dalam kabin juga agak terhad dan hanya ada satu tempat sahaja untuk anda meletakkan SmartTag, kad akses, kunci dan telefon bimbit, tidak seperti HR-V yang memiliki lebih banyak ruang penyimpanan barang. Sebagai alternatif, anda boleh mengeluarkan tempat pemegang cawan di bahagian konsol tengah untuk menyimpan barang-barang sedemikian dan letakkan botol air anda di tempat pemegang botol di sisi pintu.

Malah di bahagian atas juga ada tempat penyimpan kaca mata dan juga butang kawalan bagi bumbung matahari yang dilihat sebagai penambah gaya pada CX-3 ini walau pun ia bukanlah suatu keperluan memandangkan cuaca panas di Malaysia pasti tidak tertahan jika bumbung matahari dibiarkan terbuka. Walau pun menjadikan ia lebih bergaya berbanding HR-V.

Bagi ruang kargo pula, ia hanya berkapasiti 350 liter, berbanding 437 liter pada HR-V. Walau bagaimana pun, jika tempat duduk belakang dibaringkan sepenuhnya, ruang tersebut mampu memberikan kapasiti sehingga 1,260 liter berbanding HR-V yang hanya 1,032 liter. Tetapi kalau bab ini, mungkin HR-V memberikan lebih keistimewaan kerana tempat duduknya boleh dikonfigurasi secara lebih banyak dan dengan adanya Magic Seat yang lebih praktikal.

Mazda-CX-3-2.0L-review-76

Di bawah hudnya, bentangan enjin petrol 2.0 liter SkyAvtic-G dengan output sehingga 154 hp pada 6,000 rpm dan tork 204 Nm pada 2,800 rpm. Ia juga menampilkan suntikan terus dan sistem melahu Mazda i-Stop bagi memberikan lebih penjimatan. Sebagai perbandingan, HR-V pula hanya dengan enjin petrol 1.8 liter SOHC i-VTEC dengan kuasa 142 hp dan 178 Nm.

Enjin SkyActiv-G ini juga dipadankan dengan kotak geak SkyActiv-Drive enam-kelajuan automatik, yang menyalurkan kuasa terus ke roda hadapan. Menerusi pemilihan pemanduan, kotak gear juga boleh disambungkan dengan mod Sport yang membolehkan gear melahu dalam masa yang sedikit lama. Sebagai alternatif, anda boleh mengawal gear dengan mod manual dengan menggunakan pedal penukar gear di belakang roda stereng.

Bagi aspek keselamatan,CX-3 dilengkapi dengan kawalan kestabilan elektronik DSC, kawalan cengkaman, ABS dengan EBD dan Bantuan Brek sebagai standand. Malah crossover ini juga menerima jumlah beg udara yang sama seperti HR-V varian V iaitu enam unit, bersama bantuan mula mendaki dan isyarat berhenti kecemasan. Namun model CBU yang dibawa masuk ke sini tidak dilengkapi dengan pakej i-Activ-Sense (Sistem Brek Bandar Pintar, Paparan Pandang Belakang, Amaran Penukaran Lorong dan lain-lain), jika ada, mungkin harganya akan menjadi lebih tinggi.

Segala mengenai spesifikasinya jelas sudah terjawab bukan? Jadi sudah pasti anda ingin mengetahui soal pemanduan dan pengendaliannya. Tidak sukar untuk mengendalikan CX-3 ini kerana tubuhnya yang kecil namun mampu menghasilkan prestasi yang memberangsangkan. Sesuai dengan tagline bagi kempen baharunya, “Be a Driver”, CX-3 ini mampu memberikan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan.

Mazda-CX-3-2.0L-review-28

Walau bagaimana pun, jika bercerita tentang pemanduan yang dinamik, CX-3 masih mampu memberikan keselesaan. Malah enjin 2.0 liter SkyActiv-G yang dipadankan juga adalah sama dengan abangnya iaitu CX-5. Tetapi dengan output CX-5 yang berbeza lebih 1 hp dan kurang 4 Nm berbanding CX-3.Tetapi disebabkan CX-3 bertubuh lebih kecil, enjin ini mampu melonjakkan lebih prestasi kerana bebanan beratnya tidak seperti abangnya. Malah kuasa yang disalurkan terasa lebih lancar.

Manakala kotak gear SkyActiv-Drive enam-kelajuan juga boleh dikatakan responsif terutamanya pemanduan di bandar yang sering kali mengundang kesesakan trafik. Tetapi jika berada dalam gear yang rendah, terasa sedikit perlahan untuk mendorong pacuan, tetapi ia dikatakan memberikan nisbah penjimatan bahan api yang lebih tinggi. Jadi jika inginkan pacuan yang lebih pantas, lonjakan gear dari rendah ke tinggi boleh menggunakan mod Sport. Ia mampu memberikan lonjakan gear yang lebih pantas, dalam masa yang sama merangsang pedal pendikit untuk memuntahkan hamburan kuasa dari enjin dengan lebih pantas.

Pedal penukar gear dilihat sebagai satu fungsi yang cukup berguna sekiranya gear auto dirasakan agak lambat untuk bertindak terutamanya jika dalam gear rendah. Jadi, pedal penukar gear mampu membantu melonjakkan gear mengikut kemahuan anda untuk memacu jentera bergerak lebih padu. Sebagai contoh, jika anda baru lepas bayar tol, tentu sahaja kenderaan mula bergerak dalam gear rendah, tetapi anda mahukan kelajuan yang lebih maksimum selepas palang tol diangkat. Jadi di sini tugas pedal penukar gear ditagih, anda juga perlu mengawal sendiri penukaran gear sambil menekan sepenuhnya pedal pendikit untuk mendapatkan kelajuan yang diingini.

Selain itu, sistem suspensi bagi CX-3 ini juga wajar dipuji. Terutamanya ketika melalui selekoh, topang MacPherson (hadapan) dan palang torsion (belakang) bekerjasama erat bagi memberikan lebih kestabilan, malah ia juga meminimakan olengan badan sekali gus membantu pengawalan roda stereng yang lebih jitu. Namun jika melalui permukaan jalan yang agak kasar, kenderaan akan mudah terasa sedikit understeer terutamanya jika dalam kelajuan tinggi. Walau bagaimana pun, ia masih mudah untuk dikawal.

Tetapi elakkan memandu dalam kelajuan tinggi jika melalui selekoh iaitu antara 60 km/j atau lebih. Walau pun sistem suspensinya bagus, ia tidak memberikan jaminan sepenuhnya untuk pemanduan yang selamat. Jadi usah bersikap ‘kamikaze’ dengan melenjan kenderaan selaju yang mungkin ketika melalui selekoh. Tidak kiralah apa jua kenderaan yang anda pandu.

Ketika melalui permukaan jalan yang berlopak atau pun yang bertampal, hentakannya masih boleh dirasai terutamanya dalam kelajuan yang tinggi. Walau pun suspensinya terasa stabil, namun hentakannya tidak begitu menyerap dengan baik. Walau bagaimana pun, CX-3 sebenarnya memiliki kesan hentakan yang lebih baik, berbanding model pesaingnya yang lain termasuk HR-V biar pun memiliki sistem suspensi yang sama.

Bagi penggunaan setiap hari, CX-3 dilihat dilengkapi dengan elemen yang lebih menarik. Ini termasuklah lampu utama LED yang mampu memberikan kesan iluminasi yang lebih bagus dan juga membantu sudut pencahayaan yang lebih tepat terutamanya ketika melalui kawasan berselekoh pada waktu malam.

Namun, CX-3 tidak dilengkapi dengan fungsi penahan brek automatik, di mana gear perlu diletakkan dalam posisi N, dan brek tangan ditarik terutamanya ketika berhenti di lampu isyarat. Malah cermin pandang belakang anti-silau juga tidak disertakan, membuatkan pemanduan waktu malam agak kurang selesa.

Bagi penggunaan bahan apinya, setelah beberapa hari memandu ujinya, keputusan akhirnya menunjukkan penggunaan sekitar tujuh liter bagi setiap 100 km bagi pemanduan kombinasi di bandar dan lebuhraya. Namun jika memandunya hanya di lebuhraya, pastinya penjimatan bahan api lagi boleh diperoleh, itu pun jika anda berhemah menggunakan pedal pendikit. Tidak memecut memanjang atau meminimakan penggunaan brek. Apa pun kalau bab penggunaan bahan api ini, ia juga tertakluk pada cara pemanduan anda.

Secara konlusi, Mazda CX-3 merupakan crossover yang menarik untuk dimiliki. Terutamanya bagi golongan muda atau yang memiliki keluarga kecil. Di samping memiliki rekaan imej yang menawan, penjana kuasa yang mengagumkan serta pemanduan dinamik yang boleh diharapkan, satu sahaja alasan yang mungkin membuatkan anda harus berfikir banyak kali untuk mendapatkannya iaitu soal harganya yang lebih tinggi berbanding kebanyakannya pesaingnya.

Walau bagaimana pun, pembeli model Mazda sering kali tidak ‘meletakkan soal harga’ sebagai keutamaan (lihat saja jumlah Mazda 2 di jalan raya sekarang). Juga bukan soal “kekangan ruang”, seperti mana pendapat sesetengah pihak. Bagi mereka, apa yang penting ialah beberapa perkara termasuk pemanduan, imej, material dan praktikalitinya.

Mungkin bagi pembeli baharu, itu semua terpulang pada penilaian dan bajet anda. Sama ada mahu memilih CX-3 atau HR-V, kerana kedua-dua model ini memiliki keistimewaan yang tersendiri, termasuk elemen yang dipertaruhkan.

Jadi, jika anda mencari sebuah model crossover yang mempunyai penampilan luaran dan dalaman yang menarik, CX-3 wajar dijadikan pilihan. Tetapi jika anda mahukan harga yang lebih berpatutan, praktikal, imej yang juga menawan, HR-V adalah jawapannya. Apa pun keputusan terletak di tangan anda.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

  • Peminat Auto on Mar 18, 2016 at 11:31 pm

    CX-3 sempurna jika ruang penumpang belakang lebih luas. Perkongsian platfom bersama Mazda2 telah mengehadkan ruang dalaman.

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required