TQ Wuling Huajing S buat penampilan di KLIMS – SUV PHEV 1.5T 6-tempat duduk, dibangun bersama Huawei

TQ Wuling memberi bayangan jelas mengenai perancangannya untuk bergerak ke segmen yang lebih premium apabila memperkenalkan Huajing S sempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026. Menariknya, model plug-in hybrid (PHEV) enam tempat duduk ini bukan setakat membuat penampilan sulung di Malaysia, malah ia juga merupakan kemunculan pertama model tersebut di luar pasaran China.

Di negara asalnya, model ini dipasarkan di bawah jenama Baojun yang berada satu tahap lebih premium dalam keluarga SAIC-GM-Wuling. Huajing S hanya diperkenalkan secara global pada Auto China 2026 di Beijing beberapa bulan lalu, menjadikannya antara model paling baru dalam portfolio kumpulan itu.

Model ini dibangunkan hasil kerjasama antara SAIC-GM-Wuling dan Huawei, yang juga menjadi inspirasi kepada nama “Huajing”. Penglibatan Huawei bukan sekadar sebagai penyedia teknologi, malah syarikat itu turut memainkan peranan penting dalam pembangunan dan reka bentuk keseluruhan kenderaan melalui program Huawei Inside (HI) Plus.

Hasilnya, Huajing S mempunyai beberapa persamaan visual dengan Aito M7 generasi awal yang turut dibangunkan dengan penglibatan mendalam Huawei menerusi platform Harmony Intelligent Mobility Alliance (HIMA).

TQ Wuling Huajing S buat penampilan di KLIMS – SUV PHEV 1.5T 6-tempat duduk, dibangun bersama Huawei

Pada bahagian hadapan, SUV ini menampilkan rekaan moden dengan elemen visor yang menggabungkan lampu utama bersama jalur lampu LED penuh berbentuk kilat yang merentasi keseluruhan bahagian hadapan. Rekaan tersebut dipadankan dengan gril bawah berbentuk heksagon bersaiz besar serta kemasan krom berbentuk U yang memberikan imej premium dan mewah.

Profil sisi pula menampilkan garisan badan menyerupai bentuk kayu hoki yang menghubungkan bahagian fender hadapan hingga ke belakang. Tiang D direka dalam kedudukan yang lebih tegak bagi menonjolkan karakter SUV mewah bersaiz besar, manakala lampu belakang penuh yang merentasi badan mengekalkan motif grafik kilat seperti di bahagian hadapan.

Dari segi saiz, Huajing S jauh lebih besar berbanding model Bingo yang menjadi tulang belakang jualan TQ Wuling ketika ini. SUV tersebut berukuran 5,235 mm panjang, 1,999 mm lebar dan 1,800 mm tinggi dengan jarak roda sepanjang 3,105 mm.

Saiz itu menjadikannya sekitar 415 mm lebih panjang berbanding Jaecoo J8 dan juga lebih besar daripada Denza B8 yang baru diperkenalkan. Dimensinya yang besar meletakkannya dalam kategori SUV premium bersaiz penuh.

TQ Wuling Huajing S buat penampilan di KLIMS – SUV PHEV 1.5T 6-tempat duduk, dibangun bersama Huawei

Bahagian kabin pula mengikut trend semasa kenderaan China moden dengan susun atur minimalis yang menampilkan paparan digital besar serta ruang penyimpanan telefon pintar yang praktikal. Kluster instrumen digital bersaiz 8.8 inci dan skrin infotainmen 15.6 inci menggunakan sistem operasi HarmonySpace 5, iaitu versi automotif kepada sistem HarmonyOS 5 yang dibangunkan oleh Huawei.

Teknologi bantuan pemandu turut menjadi antara tarikan utama model ini. Huajing S dilengkapi sistem Huawei Qiankun ADS Pro yang menggunakan gabungan LiDAR dan kamera beresolusi tinggi untuk menyokong pelbagai fungsi pemanduan separa autonomous termasuk pemanduan lebuh raya, pemanduan bandar serta bantuan parkir automatik. Namun begitu, fungsi-fungsi tersebut berkemungkinan besar tidak akan ditawarkan dalam spesifikasi pasaran Malaysia.

Selain itu, SUV ini turut dilengkapi pelbagai ciri mewah seperti pengecas telefon pintar tanpa wayar 50 watt, sistem audio 15 pembesar suara, dua bumbung suria, tempat duduk kapten baris kedua dengan fungsi ottoman, pemanas, pengudaraan dan urutan untuk dua baris tempat duduk hadapan, peti sejuk dengan fungsi pemanasan dan penyejukan serta skrin hiburan bumbung bersaiz 15.6 inci.

TQ Wuling Huajing S buat penampilan di KLIMS – SUV PHEV 1.5T 6-tempat duduk, dibangun bersama Huawei

Walaupun semua enam tempat duduk digunakan, ruang kargo masih menawarkan kapasiti simpanan sebanyak 423 liter, menjadikannya sesuai untuk kegunaan keluarga dan perjalanan jarak jauh.

Sistem rangkaian kuasa Huajing S terdiri daripada enjin petrol 1.5 liter turbo empat silinder yang menghasilkan 143 PS dan 220 Nm tork. Enjin tersebut digabungkan dengan transmisi hibrid khusus satu kelajuan (DHT) serta motor elektrik yang menjadi sumber kuasa utama.

Varian pacuan roda hadapan menggunakan satu motor elektrik yang menghasilkan 272 PS dan 310 Nm tork. Bagi pelanggan yang mahukan prestasi lebih tinggi, versi pacuan semua roda (AWD) menggunakan dua motor elektrik dengan jumlah output keseluruhan mencecah 525 PS dan 620 Nm tork.

Bekalan tenaga disimpan dalam bateri lithium iron phosphate (LFP) yang ditawarkan dalam dua pilihan kapasiti. Varian asas menggunakan bateri 31 kWh dengan jarak perjalanan elektrik sepenuhnya sehingga 200 kilometer mengikut piawaian CLTC. Pilihan bateri lebih besar berkapasiti 41.9 kWh daripada CATL pula meningkatkan angka tersebut kepada 255 kilometer untuk versi pacuan hadapan dan 235 kilometer bagi model AWD.

Dalam penggunaan sebenar berdasarkan piawaian WLTP, jarak perjalanan elektrik dijangka berada sekitar 160 hingga 200 kilometer bergantung kepada varian yang dipilih. Huajing S turut menyokong pengecasan pantas DC sehingga kadar 3.5C atau sekitar 145 kW. Dengan sistem ini, tahap bateri boleh ditingkatkan daripada 10 peratus kepada 70 peratus dalam masa hanya 14.5 minit.

Sekiranya Huajing S diputuskan untuk dipasarkan di Malaysia, ia bakal menjadi model kedua yang mendapat sentuhan teknologi Huawei selepas Avatr 07 daripada Changan yang juga sedang dipertimbangkan untuk pasaran tempatan.