PANDU UJI: Honda HR-V RS 1.8L 2018 – sistem stereng Variable Gear Ratio tingkatkan pengendalian

PANDU UJI: Honda HR-V RS 1.8L 2018 – sistem stereng Variable Gear Ratio tingkatkan pengendalian

Pada 12 Julai lalu, Honda Malaysia telah mempertontonkan Honda HR-V facelift 2018 yang turut menampilkan varian baharu, HR-V RS. Malah tempahannya juga telah dibuka dan menurut Honda Malaysia, sehingga kini lebih 2,000 unit tempahan telah diterima. Barisan HR-V facelift 2018 ini juga dijangka bakal dilancarkan tidak lama lagi, iaitu pada bulan hadapan.

Sebelum dilancarkan, semalam, Honda Malaysia telah mengundang kami untuk memandu uji model RS yang menjadi varian tertinggi bagi HR-V 2018 ini. Walau pun melibatkan sesi pandu uji dalam tempoh masa kurang 30 minit, dengan merentasi cabaran pemanduan yang disediakan termasuk slalom, namun sekurang-kurangnya, dapat memberikan gambaran awal mengenai pemanduan sporty yang ditampilkan dengan ciri baharu iaitu sistem stereng Variable Gear Ratio (VGR).

Dengan adanya VGR pada HR-V 2018, sistem ini dapat menukar nisbah gear dan jumlah sudut stereng secara automatik mengikut kelajuan kenderaan. Apabila jentera dipacu pada kelajuan perlahan, VGR mampu membantu mempertingkatkan respon stereng, memberikan kawalan yang lebih baik sewaktu di selekoh dan secara tidak langsung memberikan rasa pemanduan yang lebih sporty.

Selain itu, ia juga memberikan kawalan yang lebih baik sewaktu memarkir kenderaan dan juga mengurangkan kepayahan pemanduan serta memberikan lebih keselesaan dalam mengendalikan kenderaan sewaktu dipacu perlahan.

Namun demikian, apabila jentera dipandu dengan kelajuan yang tinggi, sistem VGR ini membantu mengurangkan risiko oversteer dan memberikan kestabilan pemanduan yang lebih optimum. Bukan itu sahaja, ia juga meningkatkan keyakinan sewaktu mahu mengubah lorong serta mempertingkatkan lagi keselamatan sewaktu pemanduan.

Apabila menguji HR-V 2018 dengan sistem ini, ternyata ia amat membantu pengendalian yang lebih mantap dan dinamik. Ketika jentera dipacu dalam kelajuan antara 20-50 km/j, ia bertindak lebih menyenangkan pemanduan. Gerakan stereng terasa lebih ‘mesra’, dan juga lebih mudah untuk dikawal. Begitu juga saat membelok dengan selekoh yang sedikit kecil, ia seakan tidak memberikan masalah daripada segi kawalan stereng. Secara automatiknya, VGR akan mengecilkan sudut stereng pada kelajuan yang rendah.

Karakternya juga berubah apabila kelajuan dipertingkatkan antara 60-70 km/j, kuasa membelok lebih sempurna dan tepat. Malahan ketika dipandu di laluan yang lurus dengan pedal pendikit ditekan sehabis mungkin (full throttle) dan kemudian jentera dibrek mendadak, kawalan stereng masih ‘steady’, malah memang cukup membantu mengurangkan risiko oversteer.

Bukan itu sahaja, dalam kelajuan yang tinggi, VGR akan meningkatkan sudut stereng untuk mengurangkan sensitif kepada pergerakan yang lebih kecil bagi roda stereng, sekaligus meningkatkan kestabilan dalam pemanduan.

Selain sistem stereng VGR, varian RS ini turut dilengkapi dengan ciri keselamatan tambahan iaitu kamera titik buta Honda LaneWatch, buat pertama kalinya bagi barisan HR-V. Selain itu, ia turut memberikan elemen keselamatan standard termasuk enam beg udara (sebelum ini hanya untuk varian tertinggi sahaja), kamera pandang-belakang pelbagai-sudut, Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) dan Bantuan Mula Mendaki (HSA).

Walau bagaimana pun, penjana kuasa dan transmisinya, ia masih dikekalkan – enjin 1.8 liter SOHC i-VTEC dengan 142 PS dan 172 NM serta kotak gear CVT dengan pedal penukar gear.

Bagi penampilan luarannya, tidak banyak perubahan yang dilakukan. Namun ia ditampilkan dengan sedikit kelainan dan sentuhan yang lebih segar serta bergaya. Ia melibatkan bahagian depan dengan beberapa ciri baharu termasuk gril dan bampar rekaan sport, lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang LED dan lampu kabus LED.

Selain itu, ia turut menampilkan roda lima-jejari dwi-tona 18-inci (model sebelum ini hanya 17-inci) sebagai salah satu elemen baharu. Sementara di bahagian belakang pula, grafik LED baharu bagi lampunya dan jaluran sambungan krom mendatar baharu turut ditampilkan.

HR-V RS ini juga ditawarkan dengan warna baharu bagi luaran iaitu Passion Red Pearl, juga pertama kali bagi barisan HR-V di Malaysia. Selain itu perincian baharu berwarna gelap turut ditampilkan termasuk pada pemegang pintu, pemegang plat, ambang sisi dan lampu kabus.

Dalam sesi pandu uji semalam, walau pun kami dapat melihat imej yang terbentang untuk bahagian kabin, namun atas permintaan Honda Malaysia, fotonya masih tidak diberikan ‘lampu hijau’ untuk dipaparkan. Walau bagaimana pun, apa yang boleh kami katakan, ada perubahan yang menarik dilakukan untuk kabin varian RS ini. Kalau nak tahu, kenalah bersabar menantikan pelancarannya kelak. Harga dan barisan varian lain yang ditawarkan juga akan diperincikan setelah ia dilancarkan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

 

Add a comment

required

required