Toyota Yaris dan Yaris Ativ facelift 2020 dilancarkan di Thai – kini dengan AEB dan gaya baharu; dari RM72k

Toyota Yaris dan Yaris Ativ facelift 2020 dilancarkan di Thai – kini dengan AEB dan gaya baharu; dari RM72k

Selepas Toyota Vios facelift baharu didedahkan di Filipina, kini tiba pula giliran model sedan segmen-B tersebut diperkenalkan di Thailand, dan ia lebih dikenali sebagai Yaris Ativ. Vios baharu ini turut dilancarkan bersama model hatchback Yaris yang turut menerima peningkatan bagi tahun 2020.

Kedua-dua Yaris dan Yaris Ativ ini berkongsi barisan varian yang sama, bermula dengan model asas Entry, diikuti dengan Sport dan varian tertinggi Sport Premium. Berkenaan dengan penggayaannya, perubahan terbesar yang dilakukan untuk kedua-dua model berkenaan dapat dilihat di bahagian hadapan, di mana ia kini dipadankan dengan rekaan gril bawah baharu yang diturunkan sedikit dan disambungkan ke gril atas.

Sementara itu, skim warna untuk spoiler hadapan bawah telah diterbalikkan, kini kemasan utama berwarna hitam, dengan seksyen tengah sama dengan warna badan. Malahan dua varian tertinggi turut dipadankan dengan kit badan secara standard, tetapi tidak pada Entry.

Lain-lain perubahan termasuk lampu utama reflektor LED yang kini disambungkan ke lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk-L yang menggantikan jaluran LED pada gril sebelum ini. Selain semakan semula ini, bahagian luaran yang selebihnya tidak perubahan.

Bagi ciri lain, unit pencahayaan LED digandingkan pada varian Sport dan Sport Premium (yang turut menerima lampu kabus LED), dan turut diberikan unit lampu automatik dan fungsi follow-me-home, sementara Entry pula menerima lampu halogen sahaja. Malah varian paling asas itu hanya didatangkan dengan roda keluli 15-inci, namun dua varian tertinggi menerima padanan roda aloi rekaan baharu yang juga bersaiz 15-inci.

Menjengah bahagian dalamnya, bentangan papan pemuka masih sama seperti sebelum ini, walau bagaimana pun diberikan kemasan perak metalik pada bahagian tengah – Entry menerima kemasan hitam. Dua varian tertinggi juga menerima ciri yang lebih baik termasuk kluster instrumen Optitron, pendingin hawa automatik dan unit utama dengan skrin sesentuh 6.7-inci bersama sokongan Apple CarPlay.

Sport Premium turut menerima paparan pelbagai-fungsi 4.2-inci untuk kluster instrumen, enam-pembesar suara, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, USP port di tempat duduk belakang, cermin pandang-belakang elektrokromik dan kulit upholstery – Sport menerima campuran kulit dan fabrik, sementara hanya fabrik untuk Entry.

Varian tertinggi juga menerima Toyota Safety Sense dengan dua sistem -Sistem Pra-Pelanggaran (PCS) dan Kepekaan Ketibaan Lorong (LDA). Ia adalah untuk Yaris dan Vios, tetapi pertama kalinya Yaris Ativ menerima sistem keselamatan aktif. Ini menunjukkan kedua-dua model berkenaan telah mendahului pencabarnya, Nissan Almera di Thailand, yang didatangkan dengan sistem brek kecemasan sendiri untuk varian tertinggi.

Toyota Yaris dan Yaris Ativ facelift 2020 dilancarkan di Thai – kini dengan AEB dan gaya baharu; dari RM72k

Walau bagaimana pun, Almera menampilkan ciri tambahan seperti kepekaan trafik lintasan belakang dan pemantauan titik buta, yang tidak didapati untuk kedua-dua Yaris. Walau pun begitu, Yaris yang diberikan PCS dan LDA lebih baik berbanding dengan Honda City yang dijual di Thailand.

Lain-lain ciri berkaitan dengan keselamatan untuk model sedan dan hatchback itu termasuklah tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), kawalan cengkaman, Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC), ABS, EBD, bantuan brek, kamera undur (tidak diberikan untuk varian Entry) dan sistem amaran tali pinggang untuk semua tempat duduk.

Di bawah bonetnya, kedua-dua model dijanakan oleh unit yang sama; 3NR-FKE 1.2 liter NA empat-silinder yang diperkenalkan pada peningkatan model tahun lalu. Enjin ini menghamburkan kuasa hingga 92 PS dan tork 109 Nm, dengan gandingan transmisi Super CVT-i yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan dan menawarkan penggunaan bahan api sekitar 23.3 km/l.

Harga bagi Yaris bermula pada 549,000 baht (RM73,302) untuk Entry, dan Sport Premium pula berharga 679,000 baht (RM90,675). Manakala varian Entry untuk Yaris Ativ pula ditawarkan pada harga 539,000 baht (RM71,976), diikuti dengan Sport pada harga 599,000 baht (RM79,989) dan Sport Premium pula berharga 674,000 baht (RM89,998).

Menurut Headlightmag, harga tersebut adalah lebih 10,000 ke 25,000 baht (RM1,335 ke RM3,338) berbanding sebelum ini, bergantung pada varian. Toyota Thailand juga menawarkan Shadow Package untuk Yaris Ativ dan Flash Package bagi Yaris.

Palet warna juga telah disemak semula untuk model 2020, dengan Platinum White Pearl (pilihan 7,000 baht atau RM935) dan Greyish Blue Metallic merupakan pilihan baharu bagi varian Sport Premium.

Toyota Yaris Ativ facelift 2020

Toyota Yaris facelift 2020

Perincian Toyota Yaris dan Yaris Ativ facelift 2020

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required