Honda Civic Type R FK8 kini dilancarkan di Malaysia secara rasmi – jana 310 PS/400Nm, harga dari RM320k

Honda Civic Type R FK8 kini dilancarkan di Malaysia secara rasmi – jana 310 PS/400Nm, harga dari RM320k

Akhirnya, kereta produksi pacuan roda hadapan paling pantas di Litar Nurburgring – Honda Civic Type R FK8 – kini secara rasmi telah masuk ke pasaran Malaysia. Berbanding pada pasaran Indonesia yang dijual pada harga 995 juta rupiah (kira-kira RM311k mengikut tukaran semasa), model pasaran Malaysia ini dijual pada atas jalan tanpa insuran RM320,000. Seperti juga pasaran-pasaran lain, Malaysia menerima Civic-R yang dibuat di Kilang Honda Swindon, UK.

Civic Type R generasi baharu ini dijana enjin 2.0 liter VTEC Turbo K20C1, dipadankan dengan hanya kotak gear manual enam-kelajuan nisbah rapat bersama short shifter dan LSD helical. Berbanding model Eropah dan Jepun yang menerima talaan kuasa 320 PS dan tork maksima 400 Nm, pasaran ASEAN termasuk Malaysia menerima talaan kuasa 310 PS dengan jumlah tork yang sama.

Menurut Honda Malaysia, talaan kuasa 10 PS kurang ini dibuat adalah kerana jenis petrol yang digunakan. Ini bukan bermaksud petrol di Malaysia rendah kualiti, tetapi enjin ini ditala agar dapat beroperasi secara optimum walaupun menggunakan petrol RON 95, berbanding pada pasaran-pasaran yang mendapat kuasa 320 PS yang telah ditetapkan enjin berkenaan hanya boleh beroperasi dengan petrol oktana tinggi.

Walaupun dengan jumlah kuasa yang sedikit rendah, jumlah tork 400 Nm yang sama membolehkan pecutan 0-100 km/j hampir tidak berubah, iaitu tidak sampai 0.1 saat berbanding catatan 5.7 saat. Jentera ini juga mampu mencapai kelajuan maksima 272 km/j.

Honda Civic Type R FK8 kini dilancarkan di Malaysia secara rasmi – jana 310 PS/400Nm, harga dari RM320k

Unit janakuasa baharu ini turut diberikan sentuhan yang diperhalusi, antaranya, roda tenaga (flywheel) beban-tunggal pada enjin untuk mengurangkan inersia klac sebanyak 25%. Selain itu, ia juga menampilkan sistem auto-blip untuk menurunkan gear secara agresif (dengan memberikan throttle-blip secara automatik ketika gear diturunkan), membolehkan pemandu tanpa kemahiran heel and toe menurunkan gear dengan lancar secara drastik.

Ciri mekanikal lain, FK8 Malaysia masih lagi sama dengan model-model pasaran luar. Ia menampilkan sistem suspensi hadapan dua-paksi bersama lengan bawah dan knuckle stereng aluminium bagi menambah baik had ketika meredah selekoh serta mengurangkan torque steer, bersama sistem stereng berkuasa elektrik dua-pinan dengan nisbah pelbagai.

Berbanding Type-R FK2 sebelum ini yang hanya diberikan suspensi jenis torsion beam, Civic Type-R baharu ini menampilkan suspensi multilink pada bahagian belakang, seterusnya meningkatkan lagi had pengendaliannya. Kesemua suspensi pada model baharu ini juga menerima Sistem Suspensi Adaptif dengan penyerap hentak tiga-chamber, penderia strok individu dan tiga penderia daya-G pada kenderaan bagi menawarkan kadar variasi lebih luas antara keselesaan dan juga respon pengendalian yang dinamik.

Model pasaran Malaysia ini turut dilengkapkan dengan Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Kawalan Traction, ABS dan EBD serta cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak Isofix pada bahagian belakang. Type R ini juga hadir dengan sistem Advanced Display Audio dengan skrin sentuh tujuh-inci.

Honda Civic Type R FK8 kini dilancarkan di Malaysia secara rasmi – jana 310 PS/400Nm, harga dari RM320k

Ia turut menerima talaan eksklusif pada spring, penyerap hentak dan pada bushing yang berkaitan di litar Nurburgring, Jerman. Tidak seperti model-model Type R terdahulu yang menampilkan suspensi yang keras dan tidak sesuai untuk pemanduan harian, Type R FK8 diberikan tiga mod pemanduan iaitu Comfort, Sport dan R+ yang boleh dipilih sendiri oleh pemandu bagi disesuaikan dengan situasi.

Civic Type-R 2017 dipadankan dengan rim aluminium berdiameter 20-inci, di baluti tayar berprestasi tinggi Continental ContiSportContact 6 bersaiz 245/30R20. Sistem brek Brembo ditempatkan disebalik rim-rim gergasi ini dengan cakera berliang serta ditebuk berdiameter 350 mm bersama angkup brek empat-omboh dihadapan, manakala cakera solid berdiameter 305 mm di belakang.

Kerangka Type-R ini juga dibina lebih kukuh berbanding model hatchback dan sedan FC standard, dengan 38% peningkatan pada ketegaran kilas serta 45% peningkatan pada ketegaran lentur berbanding Civic Type-R terdahulu. Ini membolehkan respon stereng lebih baik dapat dicapai selain dari melenyapkan getaran badan serta bunyi pada kabin.

Proses ini dilakukan dengan aplikasi pelekat struktur pada seluruh badan. Keluli berkekuatan ultra-tinggi digunakan sebanyak 14% dari keseluruhan badan, bersama bonet enjin aluminium menjadikan Type-R FK8 16 kg lebih ringan berbanding Civic Type-R generasi sebelumnya.

Honda Civic Type R FK8 kini dilancarkan di Malaysia secara rasmi – jana 310 PS/400Nm, harga dari RM320k

Seperti juga pasaran lain, bahagian luar Civic Type R generasi baharu ini mengundang pelbagai persepsi. Walaupun dianggap ‘ricer‘ bagi sesetengah orang, namun kit aero kereta ini yang terdiri dari bampar hadapan bersama splitter udara, liang udara pada bonet dan kedua-dua fender hadapan, vortex generator pada bumbung belakang, spoiler gergasi dan juga diffuser belakang benar-benar memberikan downforce yang diperlukan ketika jentera ini menakluk litar ‘The Green Hell’ Nordschleife Nurburgring.

Berbanding model 1.5 Turbo standard yang hanya dilengkapkan dengan tip ekzos berkembar, versi Type-R ini dilengkapi dengan tiga-tip ekzos pada bahagian tengah. Untuk pasaran Malaysia, FK8 hanya hadir dengan warna rasmi Type-R – Championship White – dan ia turut menerima perincian Type-R lain seperti lencana, dan yang paling penting – logo H dengan latar belakang merah.

Bahagian dalaman versi Type-R ini masih mengekalkan asas rekaan pada model sedan dan hatchback standard. Sama seperti barisan model Type-R yang lain, ia menerima paparan meter dengan latar belakang merah, serta kemasan-kemasan merah lain seperti jalur serlahan pada papan pemuka dan pintu serta jahitan benang merah pada bahagian tertentu, selain dari kemasan-kemasan dengan elemen gentian karbon.

Tempat duduk bucket berwarna merah di berikan bersama roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit (dengan elemen merah), sarung tuil gear kulit, tombol dan set pedal aluminium serta plat nombor siri Type-R ditempatkan pada konsol tengah, bagi melengkapkan identiti sebuah Type-R sebenar.

Untuk perincian lanjut berkaitan penawaran Honda Civic Type R generasi terbaharu ini di Malaysia, layari juga laman CarBase.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required