Seperti yang dijangka, Honda menerusi Civic Type-R generasi baharu pastinya akan kembali ke litar Nurburgring untuk merampas kembali gelaran kereta pacuan hadapan terpantas di litar “The Green Hell” berkenaan dari Volkswagen Golf GTI Clubsport S yang memegang rekod tersebut tahun lalu.

Ramalan rekod berkenaan dapat dipecahkan memang sudah dijangka, namun apa yang memeranjatkan adalah bacaan masa yang dicatatkan iaitu 7 minit 43.8 saat – 6.83 saat lebih pantas dari Civic Type-R FK2R generasi terdahulu dan 3.39 lebih laju dari Golf GTI Clubsport S.

Di atas kertas, Type-R generasi baharu dengan kod casis FK8 ini mungkin hanya 10 PS lebih berkuasa dengan tork puncak yang sama (320 PS/400 Nm) berbanding model generasi terdahulu, tetapi apa yang membuatkan ia mampu menghabiskan satu lap litar Nurburgring ini hampir 7 saat berbanding sebelum ini?

Selain dari rakaman Vbox dalam kokpit semasa rekod tersebut dicatatkan, Honda turut menyiarkan satu lagi video untuk menerangkan perbezaan antara FK2R dan FK8R.

Perubahan terbesar adalah pada sistem suspensi antara kedua-dua Type-R berkenaan di mana FK2 menggunakan suspensi jenis torsion beam pada bahagian belakang manakala FK8 diberikan suspensi jenis multi-link, membolehkan ia lebih laju dan lebih stabil di selekoh. Kotak gear manual enam-kelajuan model baharu ini juga menerima nisbah akhir lebih rendah membolehkan ia memecut lebih pantas, selain pakej aerodinamik lebih baik yang turut membantu.

Honda turut menjelaskan jentera yang digunakan untuk membuat catatan rekod ini turut diberikan roll cage penuh untuk tujuan keselamatan tanpa meningkatkan ketegaran badan dalam apa jua keadaaan. Sistem infotainmen Display Audio dan juga tempat duduk belakang walau bagaimanapun telah ditanggalkan bagi menolak berat berlebihan yang dihasilkan pada roll cage berkenaan. Rekod ini juga telah dicatatkan menggunakan tayar yang difokuskan untuk litar tetapi masih sah digunakan pada jalan raya biasa.