Honda Civic Type-R 2017 akhirnya didedahkan – 2.0 liter VTEC Turbo, 320 PS/400 Nm, suspensi lebih jitu

Honda Civic Type-R 2017 akhirnya didedahkan – 2.0 liter VTEC Turbo, 320 PS/400 Nm, suspensi lebih jitu

Akhirnya varian paling ditunggu-tunggu dan paling pantas dalam barisan “Civic terbaik pernah di bina” – Honda Civic Type-R generasi baharu – didedahkan secara rasmi di Geneva Motor Show. Seperti yang terpapar pada imej yang bocor sebelum ini, Civic Type-R generasi baharu berkenaan tampil hampir sepenuhnya serupa dengan model prototaip yang didedahkan di Paris tahun lalu.

Diasaskan dan dibina bersama Honda Civic generasi kesepuluh versi hatchback lima-pintu, Civic Type-R 2017 menampilkan sistem suspensi hadapan dua-paksi bersama lengan bawah dan knuckle stereng aluminium bagi menambah baik had ketika meredah selekoh serta mengurangkan torque steer. Ia turut diberikan LSD heliks bersama sistem stereng berkuasa elektrik dua-pinan dengan nisbah pelbagai.

Berbanding Type-R FK2 sebelum ini yang hanya diberikan suspensi jenis torsion beam, Civic Type-R baharu ini menampilkan suspensi multilink pada bahagian belakang, seterusnya meningkatkan lagi had pengendaliannya. Kesemua suspensi pada model baharu ini juga menerima Sistem Suspensi Adaptif dengan penyerap hentak tiga-chamber, penderia strok individu dan tiga penderia daya-G pada kenderaan bagi menawarkan kadar variasi lebih luas antara keselesaan dan juga respon pengendalian yang dinamik. Ia turut menerima talaan eksklusif pada spring, penyerap hentak dan pada bushing yang berkaitan di litar Nurburgring, Jerman.

Civic Type-R 2017 dipadankan dengan rim aluminium berdiameter 20-inci, di baluti tayar berprestasi tinggi Continental ContiSportContact 6 bersaiz 245/30R20. Sistem brek Brembo ditempatkan disebalik rim-rim gergasi ini dengan cakera berliang serta ditebuk berdiameter 350 mm bersama angkup brek empat-omboh dihadapan, manakala cakera solid berdiameter 305 mm di belakang.

Honda Civic Type-R 2017 akhirnya didedahkan – 2.0 liter VTEC Turbo, 320 PS/400 Nm, suspensi lebih jitu

Kerangka Type-R ini juga dibina lebih kukuh berbanding model hatchback standard, dengan 38% peningkatan pada ketegaran kilas serta 45% peningkatan pada ketegaran lentur berbanding Civic Type-R terdahulu. Ini membolehkan respon stereng lebih baik dapat dicapai selain dari melenyapkan getaran badan serta bunyi pada kabin.

Proses ini dilakukan dengan aplikasi pelekat struktur pada seluruh badan. Keluli berkekuatan ultra-tinggi digunakan sebanyak 14% dari keseluruhan badan, bersama bonet enjin aluminium menjadikan Type-R 7 kg lebih ringan dari versi standard, serta 16 kg lebih ringan berbanding Civic Type-R generasi sebelumnya.

Honda Civic Type-R generasi baharu ini masih dijana oleh yang sama pada model sebelumnya iaitu enjin K20C 2.0 liter i-VTEC Turbo dengan suntikan bahan api terus. Ia turut menghasilkan 320 PS (10 PS lebih dari FK2R) pada takat 6,500 rpm serta tork maksima 400 Nm bermula 2,500 hingga 4,500 rpm.

Enjin berkenaan turut diberikan sentuhan yang diperhalusi, antaranya, roda tenaga (flywheel) beban-tunggal pada enjin baharu ini dapat mengurangkan inersia klac sebanyak 25%. Model baharu ini juga sah menggunakan transmisi manual enam-kelajuan dengan nisbah gear akhir lebih rendah dari sebelum ini bagi menambah baik respon pecutan – menidakkan khabar angin sebelum ini yang mengatakan Type-R akan diberikan transmisi CVT.

Honda Civic Type-R 2017 akhirnya didedahkan – 2.0 liter VTEC Turbo, 320 PS/400 Nm, suspensi lebih jitu

Unit janakuasa baharu ini juga menampilkan sistem auto-blip untuk menurunkan gear secara agresif (dengan memberikan throttle-blip secara automatik ketika gear diturunkan), membolehkan pemandu tanpa kemahiran heel and toe menurunkan gear dengan lancar secara drastik.

Honda turut memberikan tiga mod pemanduan pada Civic Type-R 2017 iaitu Comfort, Sport dan +R. Mod pemanduan ini akan melaras semula respon stereng dan pedal pendikit, rev-match (auto-blip) transmisi, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) serta talaan pada Sistem Suspensi Adaptif.

Pada bahagian luaran, Type-R diberikan liang kemasukan udara bersaiz besar pada setiap sisi bampar hadapan dan ditambah dengan liang melintang pada bahagian hujung serta lampu kabus juga dialihkan sedikit berbanding hatchback standard. Pada bahagian bawah bampar pula, Type-R dilengkapi dengan spoiler penuh. Ia turut diberikan lampu hadapan LED seiras dengan model standard, namun penutup hud Type-R ini diberikan liang udara pada bahagian tengah.

Keempat-empat ruang roda turut dilebarkan, menyaksikan fender hadapan dapat diberikan liang sisi atas kerja pelebaran berkenaan. Lampu boomerang pada bahagian belakang masih lagi kelihatan sama seperti model hatchback standard, namun seperti juga Civic Type-R sebelum ini khususnya bermula dari generasi FD, ia dipadankan dengan spoiler belakang bersaiz besar. Honda turut memadankan dua bilah pada bahagian atas pintu tailgate belakang yang bermula dari bumbung.

Berbanding model biasa yang hanya dilengkapkan dengan tip ekzos berkembar, versi Type-R ini dilengkapi dengan tiga-tip ekzos pada bahagian tengah. Berbeza dari model prototaip sebelum ini yang diwarnakan dengan warna hitam matte, versi produksi ini diserlahkan dengan warna rasmi Type-R – Championship White – dan ia turut menerima perincian Type-R lain seperti lencana, dan yang paling penting – logo H dengan latar belakang merah.

Bahagian dalaman versi Type-R ini masih mengekalkan asas rekaan pada model sedan dan hatchback standard. Sama seperti barisan model Type-R yang lain, ia menerima paparan meter dengan latar belakang merah, serta kemasan-kemasan merah lain seperti jalur serlahan pada papan pemuka dan pintu serta jahitan benang merah pada bahagian tertentu, selain dari kemasan-kemasan dengan elemen gentian karbon.

Tempat duduk bucket berwarna merah di berikan bersama roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit (dengan elemen merah), sarung tuil gear kulit, tombol dan set pedal aluminium serta plat nombor siri Type-R ditempatkan pada konsol tengah, bagi melengkapkan identiti sebuah Type-R sebenar.

Skrin sesentuh 7-inci diberikan pada sistem infotaimen dan navigasi yang turut menyokong Apple CarPlay serta Android Auto. Sistem berkenaan dihubungkan kepada sistem audio 540-watt bersama 12-pembesar suara dengan SiriusXM 2.0, Radio HD dan juga sokongan Pandora, kesemuanya diberikan secara standard.

Civic Type-R akan diproduksi di kilang Honda Swindon, UK, kilang yang sama memproduksi model generasi sebelum ini dan juga hatchback versi standard, bermula pada musim panas 2017. Walau bagaimanapun, enjin 2.0 liter VTEC Turbo berkenaan akan dihasilkan di kilang Honda Anna, Ohio, Amerika Syarikat.

Model generasi baharu ini akan dimport ke seluruh Eropah dan juga pasaran-pasaran lain termasuk Jepun dan Amerika Syarikat. Bagi pasaran Amerika Syarikat juga, ini merupakan kali pertama Civic Type-R dijual secara rasmi pada pasaran berkenaan dan bakal menerjah pasaran pada lewat musim bunga tahun ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required