DSC_0178 civic_kk_drive

Seingat saya, sejak saya kecil lagi iaitu pada sekitar era 80’an dan 90’an, seperti sudah disematkan dalam minda masyarakat Malaysia, kereta berjenama Honda seringkali dikaitkan dengan kejayaan seseorang. “Aku tengok Amy Search tu, huu.. dah bawak Honda Accord dah! Herrr.. kan, Honda Accord, engkau tahu.. kan”. Ini antara dialog oleh watak Jijo dalam filem Rock (2005) arahan Mamat Khalid untuk menggambarkan betapa berjayanya Amy Search pada era ‘rock kapak’ berkenaan.

Begitu juga dengan seorang usahawan yang ada bau-bau bacang dengan keluarga saya, memiliki Honda CRX EF dan kemudiannya bertukar kepada Honda Civic EG hatchback dalam usia muda, sering menjadi buah mulut dalam keluarga.

Ya, Civic sering dikaitkan dengan ‘kaki kereta’ yang mempunyai latar belakang kejayaan dalam kehidupan sejak era 80’an dahulu bermula dengan ‘Civic Mayat’ iaitu Honda Civic hatchback generasi ketiga (SB3) yang hadir dengan varian SI, dijana oleh enjin 1.6 liter ZC DOHC. Kegilaan Civic terus menular pada generasi keempat iaitu Civic EF, apabila Honda memadankan enjin DOHC VTEC buat pertama kali pada kerangka Civic menerusi varian EF9 SiR, seterusnya pada EG6/Ferio EG9 SiR dan beralih kepada Civic pertama dengan lencana Type-R iaitu EK9.

Kemuncak imej sporty Civic hadir menerusi model generasi kelapannya yang dikenali dengan kod casis FD. Model ini direka mendahului zaman menampilkan bukan sahaja prestasi begitu baik dari enjin DOHC i-VTEC K20 (untuk varian 2.0 liter) dan pengendalian yang jitu, malah rekabentuknya juga tampil sangat sporty dan futuristik. Binaan over-engineered pada Civic FD2 ini membuatkan model generasi kesembilan iaitu Civic FB sebagai sebuah model yang bosan dan tidak memberi aura seperti generasi sebelumnya.

DSC_0117 civic_kk_drive

Jadi, untuk Civic generasi kesepuluh, Honda perlu membina sebuah model untuk mengembalikan Civic pada pesona asalnya – maka lahirlah sebuah model baharu sepenuhnya dengan diberi kod casis FC, dilancarkan di Malaysia Jun lalu. Sebelum dilancarkan, wakil paultan.org telah pun diberi peluang untuk memandu uji model ini di Thailand, manakala pada bulan lalu, saya dan media permotoran tempatan lain telah pun dijemput oleh Honda Malaysia untuk menguji model sebenar varian 1.5T Premium spesifikasi Malaysia dari Kota Kinabalu ke Kundasang, Sabah.

Dilihat dari sudut dimensi sahaja FC jelas merupakan sebuah model yang diberikan perubahan begitu drastik berbanding FB. Dimensi Civic FC diukur dengan 4,630 mm panjang, 1,799 mm lebar, 1,416 mm tinggi dan jarak roda 2,698 mm. Jika dibandingkan dengan Civic FB, FC 105 mm lebih panjang, 44 mm lebih lebar dan jarak roda yang 28 mm lebih jauh. Untuk imej dan feel sebuah sedan yang lebih sporty pula, FC dibina 19 mm lebih rendah berbanding FB.

Walaupun mempunyai dimensi lebih besar berbanding model generasi sebelumnya, berat keseluruhan Civic generasi baharu ini adalah 30 kg lebih ringan iaitu dengan berat 1,195 kg (1,225 kg untuk Civic FB). Ini adalah kerana 12% daripada kerangka Civic FC dibina dari keluli berketahanan ultra-tinggi, yang turut memberikan ketegaran kilasan (torsion rigidity) dipertingkatkan sebanyak 25%.

Dalam saingan segmen-C buatan Jepun pula, Civic baharu ini 10 mm lebih panjang dari Toyota Altis (4,620 mm), 4 mm lebih lebar dan 34 mm lebih rendah dari Mazda 3 (1,795 mm/1,450 mm), manakala jarak roda untuk Civic, Altis dan Mazda 3 adalah sama iaitu 2,700 mm. Jika dibandingkan dengan pesaing dari Eropah pula, Civic diukur 120 mm lebih pendek dari Peugeot 408 dan 68 mm lebih rendah, 24 mm kurang lebar berbanding Ford Focus. Untuk ukuran jarak roda pula, Civic adalah 30 mm lebih pendek berbanding 408 (2,730 mm).

Pada bahagian luaran, varian 1.5T Premium ini menampilkan sepasang lampu hadapan dan lampu nyalaan siang menggunakan teknologi LED, dihubungkan pada bar krom yang agak lebar pada gril hadapan. Muka Civic yang tirus menyebabkan gril bawah pada bahagian bampar direka dengan agak kecil, diapit sepasang liang kemasukan udara yang ditutup dengan perumah lampu kabus LED.

Seperti dinyatakan tadi, Civic FC dibina lebih rendah dari generasi sebelumnya. Oleh itu, jika dilihat dari profil sisi, bayangan badan sedan ini kelihatan lebih mirip kepada coupe empat pintu, terutama pada bahagian garis bumbung yang direka tirus. Varian 1.5T Premium turut menerima pemegang pintu krom, berbanding warna yang sama dengan badan bagi varian lain. Satu ciri lagi yang memudahkan kita untuk membezakan varian 1.5 liter Turbo dan varian 1.8 liter NA pada bahagian sisi adalah roda aloinya dimana varian ini dipadankan dengan rim aloi 17-inci, berbanding varian 1.8S yang hanya dibekalkan dengan roda aloi 16-inci.

Masuk kebahagian kabin, Honda berjaya memberikan impak sama seperti pertama kali saya menerjah masuk kedalam ruang dalaman Civic FD dahulu. Civic FC menerima paparan instrumen dengan skrin LCD berwarna sepenuhya, menampilkan takometer, speedometer, meter tekanan boost turbo dan juga tolok informasi lain dalam bentuk digital. Skrin sesentuh bersaiz tujuh-inci yang turut berfungsi sebagai paparan navigasi, kamera undur dan sistem hiburan serta kawalan penghawa dingin dua-zon diletakkan pada bahagian tengah papan pemuka, bersambung dengan konsol tengah yang direka agak tinggi seperti pada model HR-V, memberikan impak seperti berada pada kokpit jet pejuang.

Selain dari ruang di bawah panel penghawa dingin, sebuah lagi ruang storan tersorok disediakan di bawah konsol tengah ini, yang turut menempatkan soket kuasa 12V serta port hubungan USB dan HDMI. Oleh kerana konsol ini di bina dengan tinggi, binaan perehat tangan disekalikan dengan konsol berkenaan, ditempatkan di belakang pemegang cawan. Tiada tuil brek tangan kerana sedan ini dilengkapi dengan brek parkir elektronik dimana suis kawalan brek dan suis fungsi brake hold tersebut diletakkan disebelah kanan tuil penukar gear. Suis mod ‘ECON’ pula ditempatkan di posisi berlawanan dengan suis kawalan brek tadi.

HondaCivic_Int-34

Tempat duduk sedan ini diletakkan pada kedudukan yang sangat rendah, sesuai dengan bumbungnya yang juga direka rendah. Dengan kaki pemandu yang hampir pada kedudukan berlunjur, duduk pada tempat duduk pemandu Civic adalah seperti memandu sebuah kereta sport sebenar berbanding sebuah sedan keluarga. Tempat duduk hadapan Civic baharu ini juga direka berbeza dari Civic FD dan FC, menampilkan rekaan perehat belakang bahagian bawah yang lebih lebar berbanding bahagian atas.

Roda stereng Civic Turbo Premium ini dilengkapi dengan pelbagai butang fungsi yang terdiri dari butang kawalan audio, butang telefon serta butang kawalan kelajuan. Suis kawalan suara sistem audio pada roda stereng ini agak menarik dengan fungsi sentuhan (geserkan jari kebawah atau keatas untuk mengawal suara sistem audio). Tetapi sedikit megecewakan, suis-suis kawalan pada roda stereng ini kelihatan agak ‘murah’.

Antara ciri lain yang turut dilengkapkan pada varian 1.5 Turbo Premium ini adalah upholsteri balutan kulit (dengan jaluran tengah efek-karbon), cermin pandang belakang anti-silau, pedal penukar gear dan kemasan aluminium pada pedal-pedal kawalan kaki. Manakala ciri lain yang juga dilengkapi pada semua varian (termasuk varian paling rendah 1.8S) terdiri dari sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, Remote Engine Start (boleh menghidupkan enjin dan penghawa dingin dalam jarak antara 10-meter), Walk Away Auto Lock (yang boleh mengunci sendiri kenderaan dalam 30 saat, atau jarak kunci lebih dua meter dari kenderaan) serta tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan-hala.

Enjin petrol suntikan bahan api terus 1.5 liter VTEC Turbo L15B7 teknologi ‘Earth Dreams’ yang dilengkapkan pada Civic FC ini merupakan antara revolusi terbaharu yang dibawakan oleh Honda untuk barisan model Civic. Ia menjana sejumlah 173 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 220 Nm bermula seawal 1,700 hingga 5,500 rpm.

HondaCivic_Ext-31

Ramai yang mendakwa sebenarnya tiada lagi ‘VTEC’ pada enjin 1.5 liter Turbo ini. Secara asasnya Honda telah mempatenkan sistem pemasaan injap mereka dengan nama VTEC (Variable Valve Lift and Timing Electronic Control) dengan sistem pertama mereka hadir dengan konsep ‘Valve Lift‘ – iaitu variasi pemasaan bukaan pada injap menerusi durasi aci sesondol yang pelbagai – memberikan momen “VTEC kick-in yo!” setiap kali sistem berkenaan berfungsi dan memberikan durasi bukaan injap lebih lama.

Pada tahun 2002, Honda memadankan sistem kawalan pemasaan bervariasi (VTC) pada pulley aci sesondol enjin K20 yang berfungsi melambatkan atau mempercepatkan bukaan injap bergantung pada situasi – berfungsi sama seperti sistem VVT – disamping perkakasan sistem ‘valve lift‘ masih lagi dipadankan. Honda menamakan sistem gabungan ini sebagai i-VTEC, di mana ‘i’ bermaksud intelligent.

Untuk sistem VTEC Turbo ini, tiada lagi sistem ‘valve lift‘ dipadankan dan hanya sistem VTC ditempatkan pada pulley aci sesondol injap kemasukan dan injap ekzos. Ya, secara logik, sistem VTEC asal memang sudah tiada, tetapi secara teknikal, sistem VTC berkenaan masih lagi sebahagian dari sistem pemasaan injap yang dipatenkan oleh Honda di bawah nama VTEC.

‘Bintang utama’ pada enjin baharu ini adalah pengecas turbo dan juga sistem suntikan bahan api terus yang dipadankan. Sebagai perbandingan, walaupun hanya berkapasiti 1.5 liter, enjin ini 16 ps/32 Nm lebih berkuasa berbanding enjin K20 2.0 liter DOHC i-VTEC pada Civic FD dan 18 hp/30 Nm lebih berkuasa berbanding enjin 2.0 liter R20A SOHC i-VTEC pada Civic FB. Ketika sesi pandu uji ini, konvoi kami diketuai oleh ‘lead car‘ Honda Accord 2.4 liter berkuasa 175 ps/225 Nm. Dengan jumlah kuasa yang hampir sama, ternyata Civic ni langsung tiada masalah untuk mengikut rentak pecutan Accord dengan kapasiti enjin jauh lebih besar berkenaan walaupun ketika sedang mendaki bukit.

20160825_0311

Kuasa dari enjin dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT-L (L bermaksud large, manakala model lain seperti HR-V dan Jazz menggunakan CVT-M, di mana M untuk Medium). Menurut Honda, mereka memilih kotak gear CVT sebagai langkah untuk mengelakkan berlakunya ‘turbo-lag‘ kerana kotak gear ini tidak mempunyai nisbah gear, jadi tiada ruang-antara kuasa enjin terputus semasa penukaran gear yang menyebabkan kejatuhan rpm enjin seterusnya berlakunya turbo-lag.

Dari segi teknikal, ia memang berkesan. Tetapi pada saya, kombinasi ini agak sedikit merencatkan keseronokan memandu. Enjin turbo Civic ini telah menghasilkan tork yang agak sporty, tetapi penghantaran tork kepada roda dilakukan dengan ‘lembut’ berserta sedikit rasa ‘rubber band feel‘ ketika memecut, tidak sepadan dengan karekter sporty pada enjin. Honda turut membekalkan pedal penukar gear manual pada roda stereng serta mod S pada transmisi, namun kedua-dua ciri tersebut masih tidak memberikan perasaan agresif dimana ‘step‘ maya penukaran gear hanya kelihatan pada paparan takometer, dan tidak terasa semasa memecut.

Begitu juga ketika nyah pecut, brek enjin (engine braking) terasa agak loose. Untuk perbandingan, pada pendapat saya CVT yang dipadankan pada Toyota Altis memberikan respon yang lebih baik berbanding Civic ini. Honda sebelum ini juga pernah menghasilkan CVT dengan respon yang agak seronok menerusi Honda CR-Z dalam mod Sports, dengan karekter penukaran gear maya yang ‘menyentap’ serta brek enjin yang selesa digunakan ketika ‘melayan selekoh’.

Walau bagaimanapun, transmisi CVT ini memainkan peranannya yang cukup cemerlang ketika pemanduan harian biasa di dalam bandar. Jika dalam mod sport pun transmisi ini memberikan respon yang lembut, apatah lagi dalam mod pemanduan biasa.

20160825_0562

Bagi pengendalian pula, karekter Civic baharu ini turut mengingatkan saya kepada Civic FD. Ia ditala dengan talaan agak sporty, tetapi masih mengambil kira keselesaan untuk kegunaan seharian. Seperti disebut tadi, talaan pada Civic FC ini agak sama dengan FD, dimana ia lebih keras berbanding Civic FB. Ini menyebakan ia terasa sedikit ‘memantul’ pada permukaan jalan yang beralun dan tidak rata.

Satu perkara yang agak benar-benar mengkagumkan, sistem suspensi Civic ini mampu menyerap hentakan dengan sangat baik dan gegaran pada badan terasa sangat minima ketika melalui jalan dengan permukaan yang agak teruk (tar pecah dan lubang-lubang kecil). Ini tiada pada generasi FD mahupun FB kerana FC dilengkapi dengan sesendal-sesendal (bushing) utama suspensi yang mengandungi bendalir di dalamnya.

Maksud ‘sporty‘ pada talaan suspensi adalah pada tahap keseronokan yang diberikan semasa mengambil selekoh. Tiada isu pada dinamik, dan Civic boleh disifatkan kurang cenderung untuk understeer. Daya olengan Civic ini juga masih kekal minimal walaupun tayar sudah mula mengeluarkan bunyi decitan ketika meredah selekoh dalam kelajuan tinggi. Terima kasih diucapkan kepada Honda Malaysia kerana membawa kami ke Sabah untuk memandu dari Kota Kinabalu ke Kundasang – jalan yang sangat sesuai untuk berseronok dengan suspensi dan pengendalian Civic baharu ini.

Untuk ciri keselamatan, Civic dilengkapi enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSC), Isyarat Berhenti Kecemasan, Bantuan Mula Mendaki, tali pinggang keledar pra-tekanan dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX. Kesemua ciri ini bukan sahaja untuk varian 1.5 Turbo Premium, malah ia adalah standard untuk kesemua varian. Walau bagaimanapun, sistem pengesan titik buta Honda LaneWatch seperti yang dilengkapkan pada varian 1.5 Turbo RS untuk pasaran Thailand tidak ditawarkan pada mana-mana varian pasaran Malaysia.

Honda Civic 1.5 Turbo Premium dijual pada harga atas jalan termasuk insuran RM135,800, berbanding varian 1.5 Turbo yang dijual pada harga RM127,800 dan RM113,800 untuk varian 1.8S. Setiap pembelian hadir dengan perlindungan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan. Lima pilihan warna ditawarkan iaitu White Orchid Pearl, Crystal Black, Lunar Silver, Modern Steel dan Dark Ruby Red.

Dengan harga dan ciri-ciri yang dibekalkan, adakah berbaloi untuk anda memiliki Civic baharu ini? Seperti yang diketahui, nama ‘Civic’ itu sendiri mempunyai nilainya tersendiri. Jadi, tepuk dada dan tanya selera.