Peugeot-408-1

Setelah dipamerkan buat pertama kali untuk tatapan orang ramai di pusat membeli belah Publika pada pertengahan April lalu, Nasim Sdn Bhd hari ini secara rasminya melancarkan Peugeot 408 e-THP untuk pasaran Malaysia.

Malaysia merupakan pasaran kedua dalam dunia menerima model sedan ini, yang sebelum ini hanya dijual secara ekslusif untuk pasaran China dan 408 pasaran Malaysia merupakan model pertama di dunia yang dibuat dengan spesifikasi yang berlainan dari 408 pasaran China.

Hanya satu varian tunggal ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu dan dijual dengan harga atas jalan tanpa insuran bermula RM143,888. Setiap pembelian 408 e-THP disertakan sekali dengan waranti pengeluar tiga tahun tanpa had perbatuan dan di tambah dengan dua tahun waranti tambahan. Enam warna ditawarkan untuk pembeli iaitu Alpine White, Aluminium, Premium Black, Aster Grey, Bourrasque Blue dan Lucifier Red.

Peugeot-408-2

Sedan 408 adalah dibina berasaskan model hatchback 308, oleh itu, untuk model pasaran Malaysia yang diproduksi secara pemasangan tempatan (CKD) di kilang Naza Gurun, Kedah (sama seperti model 308), spesifikasi uniknya adalah dihasilkan melalui gabungan kerangka sedan 408 dan ciri-ciri serta teknologi yang ada pada model 308.

Jika dilihat dari bahagian hadapan, imej 308 jelas mendominasi sedan 408 ini dengan lampu hadapan ‘bertaring’ LED penuh dan bampar hadapan yang diambil terus dari 308. Perbezaan antara kedua-dua buah model tersebut adalah pada rekaan gril hadapan, dimana gril bersalut krom dengan motif jaluran melintang menempatkan sekali logo singa Peugeot berbanding 308 di mana logo singa tersebut terletak pada bonet hadapan.

Pada bahagian sisi menyaksikan 408 dilengkapi dengan roda aloi “Rubis” dengan motif corak turbin bersaiz 17-inci, sama seperti yang terdapat pada varian asas 308 THP Active, berbeza dengan 408 spesifikasi China yang dilengkapi dengan roda aloi pelbagai jejari. Bahagian belakang pula menampilkan rekaan yang seiras dengan 408 China, dilengkapi dengan lampu belakang LED berbentuk-C dan dua tip ekzos berbentuk-trapezoid.

Perbezaan terbesar antara 408 spesifikasi China dan Malaysia dapat dilihat pada bahagian dalaman. Peugeot 408 pasaran Malaysia berkongsi rekaan papan pemuka dengan model 308 avant-garde, berbanding 408 China yang mempunyai rekaannya yang tersendiri. Sedan ini turut dilengkapi dengan paparan instrumen i-cockpit. Skrin paparan yang berukuran 9.7 inci diapit oleh dua liang penghawa dingin tengah. Berbanding 308, roda stereng 408 mempunyai diameter yang lebih kecil.

Kabin sedan ini juga dilengkapi dengan sistem penghawa dingin automatik dua zon serta liang penghawa dingin untuk bahagian belakang.

Keseluruhan tempat duduk 408 dibalut dengan kulit berbanding varian tertinggi 308 THP menerima balutan Alcantara dibahagian tengah dan hanya balutan fabrik pada varian Active. Selain itu turut kelihatan, kereta ini dilengkapi dengan sistem kunci pintar beserta butang penghidup enjin, sistem Smart Park Assist II yang membantu pemandu untuk memarkir serta brek parkir elektronik.

Peugeot 408 dikuasakan oleh enjin 1.6 liter Turbo High Pressure (THP) empat-silinder dengan sistem pancitan bahan api terus. Walaupun menggunakan enjin yang sama dengan 308, enjin yang dipadankan pada 408 mampu menjana kuasa lebih besar iaitu 167 PS pada takat 6000 rpm dan tork maksima 245 Nm bermula seawal 1400 rpm hingga 4000 rpm (berbanding 308 yang berkuasa 150 hp/240 Nm), dipadankan bersama kotak gear automatik enam-kelajuan beserta teknologi Quikshift. Abjad “e” pada nama model ini (408 e-THP) merujuk kepada sistem start-stop automatik pada enjin yang buat pertama kalinya dilengkapi pada model Peugeot pasaran Malaysia.

Gabungan enjin dan kotak gear tersebut membolehkan sedan ini memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 8.2 saat dan kelajuan maksima dicatatkan pada 215 km/j. Menurut Peugeot, kadar penggunaan bahan api 408 e-THP ini mencatatkan penggunaan 6.5 liter petrol untuk 100 km perjalanan pada kitaran pemanduan gabungan NEDC Eropah.

Untuk ciri keselamatan, 408 dilengkapi dengan enam beg udara, Kawalan Kestabilan, Kawalan Cengkaman dan Sistem Informasi Titik Buta (BLIS). Walau bagaimanapun, 408 tidak dilengkapi pakej Driver Assistance seperti 308 THP yang terdiri dari Kawalan Kelajuan Dinamik, Amaran Pelanggaran Kecemasan dan juga Brek Kecemasan Automatik.