Peugeot_308_THP_Active-1

Sebelum ini, harga jangkaannya ialah RM120,888, namun kini Nasim Sdn Bhd telah mengesahkan harga rasmi bagi Peugeot 308 THP Active ialah RM119,888, iaitu RM17,000 lebih murah berbanding varian 308 THP yang berharga RM136,888.

Seperti kebiasaannya, kenderaan yang harganya lebih murah pasti ada perubahan pada elemen yang ditampilkan. Sebagai contoh, lampu utama reflektor yang menjadi pilihan berbanding LED, dan juga ia tidak disertakan dengan pengesan parkir hadapan. Malah bampar hadapan juga telah direka semula untuk menempatkan lampu nyalaan siang LED.

Berbanding model biasa 308 THP yang dipadankan dengan rim aloi “Sapphire” 18-inci, 308 THP Active memilih rim “Rubis” dengan saiz yang lebih kecil iaitu 17-inci. Jika model sebelum ini turut mempunyai roda aloi sebagai simpanan, tapi bagi Active, ia sekadar roda keluli biasa sahaja.

Peugeot_308_THP_Active-2

Pada bahagian dalamnya, 308 THP Active menampilkan tempat duduk balutan fabrik, berbanding Alcantara iaitu pilihan yang lebih mahal, serta fungsi urut juga telah ditiadakan. Namun bernasib baik kerana masih terdapat beberapa elemen yang telah dikekalkan termasuk skrin paparan sesentuh 9.7-inci dan sistem audio 3D Arkamys enam speaker.

Malah prestasi model ini juga tidak berubah, masih dijanakan oleh enjin 1.6 liter twin-scroll pengecas turbo yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 150 hp dan tork 240 Nm. Enjin ini turut dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan bersumber Aisin.

Sebagai keselamatam, 308 THP Active turut ditawarkan dengan enam beg udara dan program kestabilan elektronik (ESP) sebagai standard. Walau bagaimana pun, kawalan kelajuan dinamik, amaran pelanggaran kecemasan dan sistem brek pelanggaran kecemasan telah ditiadakan.

Terdapat lima warna ditawarkan termasuklah Rouge Red, Mocha Brown, Artense Grey dan Nera Black. Varian mampu milik 308 THP ini telah pun berada di bilik pameran Peugeot sejak Disember lalu dan tempahannya juga sudah dibuka.