PANDU UJI: Ford Focus 1.5L EcoBoost Sport+ dan Titanium+ 2016; sama penjana kuasa, berbeza dinamik

C346 Focus FL Hatch MY-1

Setelah memandu Ford Focus 1.5L EcoBoost sedan Titanium+ pada hari pelancarannya tempoh hari, kini saya berpeluang pula untuk menguji versi hatchback model ini iaitu varian Sport+.

Selain perubahan dari segi unit janakuasa, Ford Focus terbaharu ini turut menerima ‘facelift’ yang menyeluruh pada bahagian luaran. Ia meliputi lampu hadapan yang lebih tirus, gril trapezoidal rekaan terbaharu, bampar hadapan dan belakang, serta lampu belakang juga yang menampilkan rekaan yang lebih tirus. Facelift ini kelihatan lebih ringkas, sporty dan lebih garang seiring dengan rekaan signatur Ford terkini seperti Fiesta dan Mondeo – menampilkan muka hadapan ala Aston Martin.

Pada bahagian dalaman, papan pemuka Focus tampil lebih ringkas, tetapi ia kini berfungsi dengan lebih mesra pengguna. Skrin sesentuh lapan-inci juga diletakkan pada posisi yang sesuai dan agak mudah dilihat pada kebanyakan sudut. Penyambungan Bluetooth, AUX dan SD Card yang disambungkan pada unit pemain utama Sony adalah didatangkan standard untuk memainkan media pilihan pemandu.

Satu lagi perubahan yang dilakukan adalah posisi tuil brek tangannya yang telah dialihkan kebelakang sedikit berbanding model sebelum ini. Perubahan tersebut membolehkan ruang storan pada konsol berkenaan lebih besar dan senang dicapai, tetapi posisi ketika menarik tuil brek berkenaan terasa agak sedikit pelik, kadang kala membuatkan tangan saya ‘tercari-cari’ tuil tersebut ketika diperlukan.

Aspek pencahayaan di dalam kabin juga agak memuaskan. Anda tidak perlu meraba-raba ketika berada di dalam kereta ini pada malam hari kerana boleh dikatakan setiap butang elektronik dan ruang storan akan menyala setelah lampu utama dihidupkan, begitu juga dengan bahagian lantai kaki hadapan, pembuka pintu sebelah dalam dan ruang penyimpanan dipintu yang turut dibekalkan dengan lampu.

Tahap premium binaan komponen dan balutan kulit bahagian dalaman Focus boleh dibandingkan dengan kereta segmen-C buatan Jepun setaraf dengannya. Tetapi jika dibandingkan dengan jenama lebih premium dari Eropah seperti Volkswagen Golf, ia agak sedikit ketinggalan.

Jika bercerita mengenai ruang di dalamnya, jika duduk sebagai penumpang di tempat duduk belakang, ia agak kurang selesa jika melibatkan individu bertubuh besar atau tinggi. Ruang kaki dan ruang kepalanya tidak begitu luas. Malah varian Sport+ dan Titanium+ tidak ada bezanya daripada segi ruang di dalam kabin. Jika hendak dibandingkan varian Titanium+ sedan dengan model pesaingnya iaitu Honda Civic dan Toyota Altis, jauh bezanya. Di mana kedua-dua model pesaingnya memiliki ruang dalaman yang lebih luas dan jauh lebih selesa.

Aspek keselamatan, Focus Ecoboost dilengkapi dengan enam beg udara, sistem brek ABS dengan fungsi EBA, EBD serta dibantu dengan Program Stabiliti Elektronik (ESP), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan juga Bantuan Mula Mendaki (HLA).

Walaupun hanya keluar sebagai versi facelift, Ford Focus terbaharu ini menampilkan unit janakuasa serba baharu. Enjin 2.0 liter tanpa induksi paksaan beserta kotak gear enam-kelajuan klac berkembar sebelum ini digantikan dengan enjin 1.5 liter turbo EcoBoost dipadankan dengan kotak gear torque converter SelectShift automatik enam-kelajuan.

C346 Focus FL Hatch MY-76

Enjin tersebut walaupun lebih kecil dari segi kapasiti, ia mampu menjana kuasa 180 PS dan tork maksima 240 Nm, lebih berkuasa dari enjin sebelum ini iaitu 170 hp pada 6,500 rpm dan tork 202 Nm pada 4,550 rpm. Ia memberikan letusan tork dari turbo bermula dari 1,600 rpm hingga 5,000 rpm dengan bunyi enjin yang agak sporty.

Kuasa yang dihantar ke roda hadapan walaupun tidak memberikan rasa terus – kadang kala terasa sedikit ‘lag’ terutama dalam posisi ‘D’, ia masih lagi agak responsif serta dapat dikawal secara manual dengan pedal penukar gear pada roda stereng (juga responsnya sedikit lambat selepas suis penukar gear ditekan).

Untuk aspek ekonomikal pula, saya menguji kereta ini dalam pemanduan urban kawasan bandar dan juga perjalanan jarak jauh menggabungkan laluan lebuhraya dan jalan kampung. Jika dipandu secara santai, pemanduan dalam bandar mampu mencatatkan tahap penggunaan petrol sebanyak 9.7 liter untuk setiap 100 km perjalanan. Manakala untuk pemanduan jarak jauh pula bacaan serendah 8.7 liter petrol untuk setiap 100 km mampu untuk dicapai.

Saya agak terkejut dengan talaan suspensi pada hatchback Sport+ ini yang pada awalnya saya jangka agak sama dengan varian sedan Titanium+. Persepsi awal saya jelas meleset, berbanding Titanium+, Sport+ ditala dengan lebih rigid.

C346 Focus FL Hatch MY-2

Olengan badan yang jelas terasa pada Titanium+ tiada pada Sport+ di mana ia mampu meredah selekoh pada kelajuan tinggi dengan lebih stabil dan meyakinkan. Talaan tersebut turut membuatkan kereta ini berasa agak stabil tanpa rasa ‘berbuai’ ketika dipandu di atas permukaan beralun pada kelajuan tinggi.

Ia juga agak lincah semasa dikendali serta understeer yang agak minimal dan mudah untuk dijangka. Stereng juga memberikan respons yang lebih pantas kerana sistem stereng berkuasa elektrik ditala bagi membolehkan arah kereta berubah dengan putaran roda stereng yang minimal tanpa mengorbankan aspek respons kepada pemandu.

Selain daripada rupa dan prestasi, pendapat saya, sebab utama jika seseorang itu memilih untuk membeli Ford Focus berbanding pesaing terdekatnya yang lain ialah ciri elektronik yang dilengkapi. Untuk kereta segmen-C dengan lingkungan harga yang sama dengannya, Focus dilengkapi dengan bantuan parkir aktif (yang membantu pemandu memarkir pada kedudukan selari dan mengundur), active city stop, sistem Informasi Titik Buta (BLIS), yang tiada pada pesaing terdekatnya.

Kesemua sistem tersebut telah diuji juga pada sesi uji pandu sebelum ini kecuali satu lagi ciri elektronik iaitu sistem Cross Traffic Alert, yang saya rasa kewujudannya sangat-sangat membantu.

Sistem tersebut yang berkolaborasi dengan sistem BLIS memberikan info kepada pemandu ketika mahu keluar dari petak parkir dalam keaadan mengundur, di mana ia akan memberitahu dengan tepat sekiranya terdapat kenderaan yang tidak dapat dilihat akan melintas dari arah belakang, membolehkan pemandu keluar dengan selamat.

Ford Focus 1.5L Ecoboost Sport+ hadir dengan empat warna untuk dipilih iaitu Putih Frozen, Hitam Panther, Merah Candy dan Biru Winning. Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insurans yang sama seperti Titanium+ iaitu RM139,888. Bagi mereka dengan bajet yang lebih rendah, varian asas Focus EcoBoost Trend hatchback boleh dipilih dengan harga bermula RM118,888 (atas jalan tanpa insuran).

Walau pun kapasiti enjinnya dikecilkan berbanding model terdahulu, namun harga bagi Focus 2016 ini ternyata lebih mahal. Di mana Focus Sport+ dan Titanium+ bagi model terdahulu ialah RM128,888 (harga atas jalan, tanpa insurans) iaitu RM11,000 lebih murah berbanding model 2016. Mungkinkan atas dasar faktor penyusutan nilai Ringgit di peringkat global. Mungkin!

Pandu uji Ford Focus EcoBoost Titanium+ oleh Izwaashura Sadali

Seperti mana yang dinyatakan sebelum ini, penjana kuasa bagi Ford Focus EcoBoost 2016 bagi ketiga-tiga varian – Trend, Sport+ dan Titanium+ adalah sama iaitu 1.5 liter EcoBoost dengan padanan transmisi automatik enam-kelajuan dengan SelectShift. Malah ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 180 PS pada 6,000 rpm dan tujahan tork 240 Nm antara 1,600 hingga 5,000 rpm.

Pemilihan gear SelectShift, bukanlah yang paling responsif tetapi tidak juga lengah menukar gear dan memang ia pantas. Malah peningkatan dari gear rendah ke tinggi juga lancar dan tidak teragak-agak. Membuatkan ia bersatu dengan terjahan enjin dalam keadaan yang boleh disifatkan sebagai sempurna.

Malah dengan adanya pedal penukar gear (paddle shifter) di belakang roda stereng juga bertindak cukup bagus – ia mampu memberikan respons yang lebih pantas jika diingini. Tetapi jika anda tidak memandu dalam keadaan yang agresif, penggunaan pedal penukar gear untuk mempercepatkan lagi penukaran gear tidak diperlukan.

C346 Focus FL Sedan MY-3

Namun Titanium+ ini terasa agak kurang dinamik jika hendak dibandingkan dengan varian Sport+, sudah pasti disebabkan hasil talaan suspensi yang berbeza. Selain dirasakan Titanium+ agak lambat memberikan rentak pacuan yang diingini berbanding Sport+, suspensi juga lebih berorientasikan keselesaan. Sebab itulah ia lebih sesuai untuk kegunaan individu yang berkeluarga kerana mampu memberikan pemanduan yang lebih santai, tenang dan sederhana tanpa terjahan pacuan agresif.

Namun, olengan badan pada Titanium+ agak terasa terutamanya jika melalui permukaan jalan yang beralun atau pun melalui jalan berselekoh. Serapan hentakannya tidak sehebat Sport+. Titanium+ dipadankan dengan roda yang lebih kecil (paling kecil dalam kelasnya) berbanding Sport+ iaitu 16-inci yang dibaluti tayar Goodyear Assurance Fuel Max 205/60 R16.

Jadi tidak hairanlah karakter antara Sport+ dan Titanium+ agak berbeza daripada segi pengendalian dan suspensinya. Selain talaan sistem suspensi yang berbeza, penggunaan getah tayar juga berlainan membuatkan Titanium+ tidak sehebat Sport+ daripada segi cengkaman. Malah dalam kelajuan yang tinggi sekitar 180 km/j, Titanium+ boleh terasa macam tidak begitu stabil dan teroleng-aling.

C346 Focus FL Sedan MY-9

Bagi kawalan sterengnya, ia mirip dengan Sport+ iaitu menggunakan sistem stereng berkuasa elektrik yang boleh dikatakan agak responsif dan memberikan keselesaan sewaktu pemanduan. Sistem breknya juga responsif apabila diperlukan.

Bagi aspek keselamatan, ia adalah sama dengan Sport+ termasuk enam beg udara, sistem Titik Buta (BLIS) dengan pemantuan lintasan trafik, kawalan kelajuan termasuk fungsi had kelajuan, sistem anti-kecurian pasif (EPAS), ABS dengan EBD, bantuan mula mendaki, bantuan parkir aktif dan sebagainya.

Bagi imej luarannya, Titanium+ memang seiras dengan Sport+ dari pandangan hadapan. Ia juga dilengkapi dengan lampu utama halogen reflektor (hairan juga kenapa bukan xenon projektor?) dan lampu nyalaan siang LED, selain gril pemisah hadapan juga telah disambungkan dengan gril trapezoidal ‘sarang lebah’. Malah lampu kabus segi empat tepat juga ditampilkan, bagi menggantikan yang lama iaitu berbentuk bulat. Malah Focus 2016 ini tidak dilengkapi dengan bumbung matahari, tidak seperti model sebelumnya.

Pada bahagian belakang pula, ia turut dilengkapi dengan lampu baharu dengan profil yang lebih nipis jenis mentol (bukan LED) dan bamparnya juga telah diprofil semula. Ia turut menampilkan lampu kabus dan reflektor yang lebih besar.

Yang membezakannya adalah Sport+ adalah hatchback dan Titanium+ merupakan sedan, ringkas. Varian Titanium+ sedan memiliki ukuran panjang 4,534 mm, lebar 1,823 mm, tinggi 1,484 mm serta jarak roda 2,648 mm. Manakala hatchback Sport+ pula berukuran 4,358 mm panjang, lebar 1,823 mm, tinggi 1,484 mm serta jarak roda 2,648 mm.

Namun jika ditanya secara peribadi, saya lebih menggemari bahagian kabin Sport+ berbanding Titanium+ yang kelihatan biasa-biasa sahaja. Dengan rekaan dalaman Medium Light Stone, memang ia sedikit elegan tetapi tidak begitu menarik perhatian terutamanya pemilihan warna kuning langsat (beige) pada balutan kulit tempat duduk, papan pemuka dan panel pintu. Kerana warna hitam arang pada Sport+ lebih menyerlah dan menambat perhatian.

Lain-lain padanan di dalam kabin adalah sama seperti Sport+ termasuk penghawa dingin dua-zon, roda stereng teleskopik balutan kulit dan pedal penukar gear.

Tidak seperti Sport+ yang pelarasan tempat duduk pemandu sekadar manual, untungnya Titanium+ tampil dengan pelarasan elektronik dengan empat-cara.

Bagi ruang kargonya, Titanium+ berkapasiti 421 liter, manakala Sport+ pula 316 liter (kedua-duanya dengan keadaan tempat duduk belakang secara normal).

Jika Sport+ hadir dengan empat pilihan warna, Titanium+ pula ditawarkan dengan tiga sahaja iaitu Frozen White, Ingot Silver dan Magnetic (kelabu).

Secara konklusi, sememangnya Focus EcoBoost 1.5L 2016 ini menampilkan perspektif yang lebih positif, khususnya daripada segi pemanduan (terutamanya varian Sport+). Malah ia mempunyai senarai kit dan teknologi bantuan pemanduan yang terkini, walau pun masih menggunakan lampu utama halogen yang ‘kelihatan’ agak ketinggalan.

Malah gabungan antara enjin dan transmisi juga dilihat memang seiring sejalan dan berpadanan. Sistem mekanikalnya boleh dikatakan terbaik malah mampu memberikan pemanduan yang lebih selesa. Dan ia dilihat mampu memberikan persaingan sengit dengan Honda Civic 1.5 liter pengecas turbo yang bakal tiba di negara ini tidak lama lagi.

GALERI: Ford Focus 1.5L EcoBoost Sport+

GALERI: Ford Focus 1.5L EcoBoost Titanium+

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required