Ford Focus baharu dilancarkan- dari RM119k, varian Trend, Sport+ hatch dan Titanium+ sedan

2016-Ford-Focus-facelift-launch-1

Hari ini Ford dan pengedar tempatannya, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) telah melancarkan Focus baharu. Ditawarkan pada harga atas jalan (tidak termasuk insurans) bagi Focus Trend (5-pintu) RM118,888 (Semenanjung Malaysia) dan RM123,388 (Malaysia Timur). Manakala Focus Titanium+ (4-pintu) dan Sport+ (5-pintu) pula berharga RM139,888 (Semenanjung Malaysia) dan RM144,588 (Malaysia Timur).

Dikatakan sebagai kereta kompak paling berkuasa di Malaysia, Focus baharu ini turut dijanakan oleh enjin petrol EcoBoost 1.5 liter empat-silinder. Ia juga menggunakan teknologi utama EcoBoost iaitu pengecas turbo, pancitan bahan api terus bertekanan tinggi dan pemasaan injap boleh ubah bebas berkembar (Twin-independent Variable Cam Timing) demi menawarkan prestasi yang optimum.

Dengan enjin ini, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 180 PS dan tork 240 Nm. Penghantaran kuasa ini dibantu oleh transmisi automatik enam-kelajuan SelectShift baharu yang ringan dan efisien. Sementara pedal penukar gear yang diletakkan di bahagian belakang stereng memberikan pemanduan sporty yang sebenar.

C346-Focus-FL-Hatch-MY-1

Focus baharu turut membawakan DNA dinamik pemanduan dan keseronokan ke satu tahap baru dengan pengendalian yang telah dipertingkatkan hasil suspensi dan penyerap hentak yang ditala dengan lebih khusus untuk membuatkan kereta ini berasa lebih mantap serta responsif.

Sistem Electric Power Assisted Steering (EPAS) yang lebih tepat turut meningkatkan pengalaman pemanduan. Ia juga mengurangkan rasa redaman yang tidak perlu dan menawarkan maklum balas terbaik kepada pemandu.

Dilengkapi sehingga enam beg udara, Focus baharu memberikan pemandu lebih keyakinan bersama pelbagai teknologi bantuan pemandu seperti Enhanced Transitional Stability. Teknologi itu mampu menjangkakan gelinciran dan bertindak lebih awal untuk mengelak daripada kemungkinan berlakunya masalah hilang kawalan dan meningkatkan ciri Active City Stop.

C346 Focus FL Sedan MY-9

Focus juga menjadi satu-satunya model kompak yang menampilkan sistem Active Park Assist yang telah dipertingkatkan dan Blind Spot Information System (BLIS) dengan Cross Traffic Alert.

Bagi membolehkan pemandu menggalakkan tabiat pemanduan selamat, Focus baharu ini turut dilengkapi dengan ciri Ford MyKey. Di mana para pemilik Focus baharu boleh memprogramkan kunci simpanan untuk mengurangkan kelajuan maksimum, mendapat amaran awal tentang takat bahan api, mengehadkan suara sistem hiburan di dalam kereta atau mematikannya terus jika tali pinggang keledar tidak dipakai. Teknologi ini boleh memberi lebih jaminan kepada pemilik apabila meminjamkannya kepada pemandu yang kurang berpengalaman.

Tampil dengan imej yang lebih bergaya dan sofistikated, model facelift ini menerima lampu utama baharu yang lebih nipis, bonet yang dipertingkatkan dan juga bampar baharu. Malah gril pemisah hadapan juga telah disambungkan dengan gril trapezoidal honeycomb, menyerlahkan lagi imejnya. Selain itu, lampu kabus segi empat tepat juga ditampilkan, bagi menggantikan yang lama iaitu berbentuk bulat.

Pada bahagian belakang pula, kesemua varian turut dilengkapi dengan lampu aharu dengan profil yang lebih nipis dan bamparnya juga telah diprofil semula. Ia turut menampilkan lampu kabus dan reflektor yang lebih besar.

Menjengah bahagian kabinnya, ternyata ia lebih ringkas dan intuitif. Ini membolehkan pemandu mengawal ciri-ciri kenderaan dengan mudah. Ini termasuklah konsol ubah suai boleh menempatkan pelbagai bentuk botol minuman dan cawan. Ruang itu juga boleh menempatkan botol minuman berkapasiti satu liter dan cawan 400ml.

Focus baharu menawarkan tahap kualiti kesenyapan kabin yang mengagumkan. Ini adalah hasil penggunakan material penyerap bunyi seperti kaca cermin utama, kaca tingkap dan karpet lebih tebal, peningkatan penebat pada kemasan pintu dan enjin agar lebih senyap.

“Focus baharu telah mengalami evolusi pada hampir semua segi termasuk reka bentuk, teknologi pintar, dinamik pemanduan, rangkaian kuasa dan kehalusan buatannya. Kami yakin semua ini akan menguatkan lagi tarikannya kepada pelanggan di Malaysia,” kata Pengarah Urusan Sime Darby Auto Connexion, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz.

Ia hadir dalam enam warna menarik iaitu Frozen White, Panther Black, Ingot Silver, Candy Red, Magnetic dan Winning Blue. Selain dari itu, semua pemilik kenderaan Ford juga kini boleh menikmati rebat tunai sebanyak RM3,000 apabila mereka membeli Ford Focus baharu mulai hari ini hingga 30 April 2016.

GALERI: C346 Ford Focus Mk3 facelift, Sport+ hatchback

GALERI: Ford Focus Mk3 facelift, Titanium+ sedan

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required