K’jaan lanjut tempoh pengecualian SST hingga 30 Jun 2021 – 100% untuk kereta baharu CKD, 50% untuk CBU

Kerajaan telah mengumumkan menerusi memo yang baru dikeluarkan kepada Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan Persatuan Pengimpot Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) bahawa pengecualian cukai jualan bagi kereta baharu dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021. Kami turut mendapatkan pengesahan berhubung perkara ini dengan MAA, dan ternyata ia adalah sahih.

Pengecualian cukai jualan, yang dilaksanakan sejak 15 Jun lalu, pada asalnya dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2020. Menurut memo terbabit, peratusan bagi pengecualian cukai jualan kekal seperti mana yang diumumkan sebelum ini, dengan 100% bagi kereta pemasangan tempatan (CKD) dan 50% untuk model import sepenuhnya (CBU).

Sebelum ini, MAA mendedahkan permintaan pihaknya untuk mendapatkan tempoh lanjutan pengecualian cukai jualan tersebut ditolak, namun akhirnya kerajaan telah membuat keputusan sebulat hati untuk menunaikannya.

Pengecualian cukai jualan bagi kenderaan baharu ini adalah sebahagian daripada program Penjana oleh kerajaan bagi memacu permintaan dalam pasaran automotif tempatan. Malahan pengecualian cukai jualan ini telah menyebabkan penurunan harga untuk kenderaan penumpang, walaupun trak pikap tidak layak menerima manfaat tersebut kerana ia diklasifikasikan sebagai kenderaan komersil.

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.