Ini merupakan Toyota Corolla Hatchback 2019 serba baharu untuk pasaran Amerika Syarikat (US). Kembar kepada Auris telah ditampilkan buat pertama kalinya pada Mac lalu dan dijangka akan memulakan penjualannya di Amerika Utara pada musim panas ini bagi menggantikan Corolla iM, dengan menawarkan dua varian iaitu SE dan XSE.
Dibina dengan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), larasan suspensi Corolla ini termasuk dengan topang MacPherson di hadapan dan multi-links di belakang dengan palang penstabilan. Ketegaran kilasannya telah dipertingkatkan iaitu sebanyak 60% berbanding model sebelumnya.
Di bawah bonetnya terletak enjin baharu M20A-FKS 2.0 liter Dynamic Force naturally-aspirated empat-silinder petrol dengan hamburan kuasa 168 hp dan tork 205 Nm. Secara fizikalnya, ia adalah lebih ringan dan lebih kecil berbanding enjin 1.8 liter sebelum ini, didatangkan dengan sistem port suntikan terus Toyota D-45 serta VVT-iE electric variable valve timing pada bahagian pengambilan (VVT-i untuk ekzos).
Enjin ini turut didatangkan dengan Direct Shift-CVT (Toyota USA menggelarkannya Dynamic-Shift CVT) atau Intelligent Manual Transmission (iMT) enam-kelajuan.
Bagi penggayaannya, Corolla mengalami olahan yang agak radikal berbanding model sebelumnya, dengan garisan yang lebih agresif termasuk yang ditonjolkan ialah lampu utama LED dan lampu belakang berbentuk-J secara standard bagi semua gred, tetapi varian XSE CVT didatangkan dengan Sistem Pencahayaan Hadapan Adaptif (AFS).
Lain-lain elemen yang eksklusif untuk XSE termasuklah roda 18-inci, lampu kabus LED, gril hadapan krom dan spoiler belakang. Pilihan warna termasuklah Blue Flame, Blizzard Pearl, Silver Metallic, Midnight Black, Galactic Aqua Mica, Scarlet dan Oxide Bronze, sementara saiz rodanya dari 16- hingga 18-inci, bergantung pada pilihan gred.
Bagi elemen dalamannya, SE didatangkan dengan skrin sesentuh multimedia lapan-inci, sistem informasi Entune 3.0 Audio, enam pembesar suara, kekemasan hitam pekat dan perak serta jahitan kontras, kawalan suhu zon-tunggal, brek parkir elektronik, sistem SmartKey dan dua port USB di hadapan.
Sementara XSE pula dihadirkan dengan kawalan suhu dwi-zon, tempat duduk balutan kombinasi kulit, tempat duduk hadapan dengan lapan-cara larasan dengan fungsi haba, jahitan unik pada panel instrumen dan pintu serta paparan pelbagai-info TFT tujuh-inci. Entune 3.0 Audio Plus juga standard bagi XSE (pilihan untuk SE CVT), ditambah dengan servis yang berkaitan. Manakala Entune 3.0 Audio Premium juga hadir sebagai pilihan, dengan fungsi tambahan dan sistem audio JBL lapan-pembesar suara.
Bagi aspek keselamatan, Toyota Safety Sense (TSS) 2.0 hadir secara standard buat Corolla Hatchback, dan didatangkan dengan sistem berikut: Sistem Pra-Pelanggaran dengan Pengesan Pejalan Kaki, Kawalan kelajuan Radar Dinamik Kelajuan Penuh (Full-Speed DRCC), Kawalan Kelajuan Radar Dinamik (DRCC), Kepekaan Ketibaan Lorong dengan Bantuan Stereng, Lampu Tinggi Automatik (AHB), Bantuan Mengesan Lorong (LTA) dan Bantuan Isyarat Jalan (RSA) di mana dua yang terakhir itu adalah tambahan baharu.
Lain-lain termasuklah tujuh beg udara bagi Toyota Star Safety System, Bantuan Kestabilan Kenderaan Dipertingkatkan (VSC), kawalan cengkaman, EBD, bantuan brek, ABS dan Smart Stop Technology. Paparan Titik Buta (BSM) adalah standard bagi XSE dan boleh didapati pada SE.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.