Bulan lalu, Toyota Auris generasi ketiga sudahpun didedahkan. Kini tiba pula giliran “kembar”nya, Toyota Corolla Hatchback untuk diperkenalkan di pasaran Amerika Syarikat. Seperti juga Auris, ia menggunakan platform yang sama; Toyota New Global Architecture (TNGA).

Dimensinya berukuran 4,370 mm panjang (+40 mm dari versi sebelumnya), 1,790 mm lebar (+30 mm) serta 1,450 mm tinggi (-25 mm). Jarak antara rodanya pula kini ialah 2,640 mm. Ini membolehkannya untuk tampil lebih rendah dengan rekaan yang memikat.

Rekaan luaran Auris dikekalkan juga untuk model ini. Dengan bentuk gril atas yang lebih tirus, penggunaan lampu utama LED sepenuhnya serta penggunaan gril bawah yang lebih besar dalam bentuk trapezoid memberikan imej sporty yang khusus untuknya.

Ia mempunyai rekaan dan penggayaan dinamik. Bahagian belakang lebih kompak, dengan garis bumbung dan cermin belakang yang rendah. Rekaan lampu LED sepenuhnya yang melengkapinya juga memberikan imej yang lebih lebar. Bahagian tailgate berkenaan diperbuat daripada Toyota Super Olefin Polymer (TSOP) dan plastik ABS untuk lebih ringan.

Tujuh warna ditawarkan; warna baru Rival Blue dan Blizzard Pearl, Silver Metallic, Midnight Black, Galactic Aqua Mica, Scarlet, dan Oxide Bronze. Tidak seperti Auris, tiada pilihan skim warna dwi-tona untuk Corolla Hatchback.

Ruang dalamannya pula nampak sama dengan yang ada pada model C-HR. Papan pemukanya menampilkan rekaan berlapis dengan sistem infotainmen terapung. Perincian dalam warna perak kesar dan hitam berkilau menghiasi bahagian berkenaan – rekaan yang ditampilkan lebih ringkas dan kemas.

Konsol tengah dijadikan lebih panjang untuk menempatkan lebih banyak ciri, misalnya pengecas tanpa wayar Qi. Bagi tempat duduk depan, kusyennya diperkemas untuk memberikan posisi pemanduan yang lebih baik.

Antara kelengkapan standard yang ada pada model asas SE adalah seperti rim 16-inci, sistem tanpa kunci, kawalan pendingin satu zon, paddle shifter, brek parkir elektronik dan dua slot USB di depan. Bagi varian XSE pula, lebih banyak kemasan krom digunakan pada gril depan, lampu kabus LED dan rim 18-inci.

Turut hadir ialah kawalan pendingin dua zon, upholstery kulit dan fabrik, pemanas kerusi di depan, tempat duduk larasan lapan-cara bagi pemandu dan paparan multi-info 7-inci antara yang diberikan. Bagi model XSE CVT, ia turut ada ciri lampu utama adaptif.

Sistem audio datang dengan ciri standard Entire 3.0 lengkap dengan skrin sentuh lapan-inci, Entire 3.0 App Suite Connect, Safety Connect, WiFi, Apple CarPlay dan Amazon Alexa dengan enam pembesar suara. XSE menerima tambahan sistem Audio Plus dengan HD Radio, Sirius XM, Entune 3.0 Connected Services dan lain-lain.

Bagi enjin, berbeza dengan Auris yang ditawarkan dalam tiga enjin iaitu 1.2 liter turbo, 1.8 liter atau 2.0 liter hibrid, Corolla Hatchback hanya ditawarkan dengan satu pilihan enjin sahaja sebagai permulaan – enjin bari M20A-FKS 2.0 liter Dynamic Force empat-silinder petrol. Ia lebih kecil dan ringan dari unit 1.8 liter sebelum ini, dan dilengkapi dengan ciri suntikan terus D-4S dan VVT-iE.

Enjin baru ini lebih senyanp, berish, berkuasa dan menjimatkan bahan api. Bagaimanapun, maklumat lanjut tentang outputnya belum lagi didedahkan. Pilihan transmisi pula ialah Direct-Shift CVT – dengan gear pemula – serta Intelligent Manual Transmission (iMT) enam-kelajuan.

Suspensi MacPherson di depan menggunakan geometri yang diperbaharui, dengan kadar penyerap hentak dan spring yang juga baru untuk mengurangkan geseran pada bahagian itu. Begitu juga dengan suspensi multi-link dibelakang – semua ini menyumbang kepada 40% geseran yang lebih rendah dan kedudukan kenderaan yang juga 20 mm lebih rendah.

Ciri-ciri keselamatan yang melengkapi kereta ini pula terdiri daripada sistem Toyota Safety Sense (TSS) generasi kedua, yang mengandungi Pre-Collision System dengan brek autonomous serta pengesanan pejalan kaki dan pengayuh basikal, Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Departure Alert (LDA) dengan bantuan stereng, Automatic High Beam (AHB) dan Lane Tracing Assist (LTA). Bagi model XSE, ciri Blind Spot Monitoring (BSM) adalah standard.