Model generasi ketiga Auris kini sudah pun ditunjukkan secara rasmi oleh Toyota melalui beberapa gambar, sebelum ia ditampilkan rasmi di Geneva Motor Show nanti. Model ini dibina atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA), dan mencatat ukuran 40 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar dan 25 mm lebih lebih rendah berbanding model sebelum ini.

Bahagian bonet kenderaan ini nampak lebih rendah, dan ia kini menggunakan konsep rekaan baru kenderaan Toyota moden. Lampu LED penuh berbentuk L padanya mengapit gril tengah nipis, manakala di bawahnya terdapat satu bukaan udara dengan corak honeycomb yang besar, bersama lampu kabus di setiap penjuru.

Dilihat dari tepi, kenderaan ini nampak lebih dinamik dengan garisan badan dari depan menaik ke atas di belakang, dan disudahi dengan warna dua tona – bumbung warna hitam. Bahagian belakang juga menggunakan lampu LED berbentuk tajam yang terpisah dua, manakala bamparnya pula kelihatan terbonjol keluar.

Di sebalik badan ini, platform TNGA yang digunakan dapat menjadikan pusat graviti Auris lebih rendah, dengan penggunaan suspensi multi-link di belakang dan badan yang lebih tegar dengan penggunaan besi berkekuatan tinggi di tempat-tempat penting. Semua bahagian ini juga dikatakan dapat menyumbang kepada pengendalian serta stabiliti yang lebih baik. Pakej sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense generasi terkini juga boleh didapati pada model ini.

Perincian lain masih lagi belum disiarkan, tetapi Auris telah disahkan akan dilancar dengan satu sahaja enjin petrol biasa iaitu unit 1.2 liter turbo. Ini mungkin adalah enjin 8NR-FTS sama seperti model facelift generasi sebelum ini, yang dapat menghasilkan 116 PS pada 5,200 hingga 5,600 rpm dan 185 Nm tork antara 1,500 hingga 4,000 rpm.

Berita lebih menarik adalah Toyota akan menawarkan dua varian hibrid untuk satu model buat pertama kali. Satu daripadanya diambil daripada Prius terbaru, iaitu unit 1.8 liter, manakala satu lagi adalah unit 2.0 liter yang dijangka adalah enjin Dynamic Force yang baru diumum dua minggu lepas. Varian 2.0 hibrid tersebut akan mempunyai pedal penukar gear untuk menghasilkan pemanduan yang lebih sporty.

Model Auris hatchback lima pintu ini berkemungkinan besar akan menjadi asas untuk sedan Corolla generasi seterusnya, dan perinciannya juga mungkin jadi hampir. Model Auris sebelum ini sememangnya sudah dipanggil sebagai Corolla Hatchback di beberapa pasaran termasuk Australia dan nama itu juga akan digunakan di UK untuk generasi seterusnya.