Toyota dedah enjin Dynamic Force 2.0L, sistem hibrid 2.0L, kotak gear Direct-Shift CVT, sistem 4WD baharu

Toyota telah mendedahkan enjin dan transmisi serta sistem-sistem janaan baharu yang bakal dilengkapi pada platform Toyota New Global Architecture (TNGA) iaitu asas kepada model-model akan datang jenama dari Jepun berkenaan. Ini merupakan langkah seterusnya yang diambil Toyota dalam mengembangkan unit janakuasa untuk platform TNGA tersebut yang bakal menjadi asas kepada sekitar 80% model-model baharu Toyota dan Lexus untuk lima tahun akan datang.

Untuk enjin, siri Dynamic Force kini dihasilkan pula dalam kapasiti 2.0 liter bagi menyertai enjin 2.5 liter yang sudahpun diperkenalkan pada Camry generasi baharu. Enjin tersebut merupakan enjin NA konvensional yang diberikan pelbagai peningkatan membolehkan ia mencapai kecekapan haba maksima 40%, dan 41% untuk versi hibrid – sama seperti unit 2.5 liter.

Antara peningkatan yang dimaksudkan adalah sistem VVT-iE pada bahagian kemasukan udara untuk respon enjin yang lebih baik serta sistem suntikan D-4S yang menampilkan suntikan bahan api pada port kemasukan dan juga terus ke dalam kebuk pembakaran. Bahagian skirt pada omboh menampilkan permukaan yang berkilat bagi mengurangkan geseran, manakala alur dengan corak jejaring silang halus diwujudkan pada permukaan skirt tersebut menggunakan laser bagi memberikan sifat tahan calar yang lebih baik.

Kepala silinder enjin ini direka dengan kedudukan sudut antara injap yang lebih lebar manakala perumah injap (valve seat) kemasukan pula disalut laser. Ini membolehkan aliran udara yang lebih baik dan ia berpusar masuk ke kebuk pembakaran untuk penggunaan bahan api yang lebih baik serta menghasilkan kuasa yang lebih besar.

Toyota dedah enjin Dynamic Force 2.0L, sistem hibrid 2.0L, kotak gear Direct-Shift CVT, sistem 4WD baharu

Enjin ini juga menerapkan rekaan strok omboh yang lebih panjang bagi membolehkan nisbah mampatan setinggi 13:1 dihasilkan (versi hibrid lebih tinggi dengan 14:1). Toyota turut memberikan sistem pengurusan suhu yang lebih baik kepada enjin, menampilkan termostat dan juga pam air yang beroperasi secara elektronik.

Dengan kesemua ciri ini, enjin 2.0 liter Dynamic Force berkenaan mampu menghasilkan 169 hp pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 205 Nm pada takat 4,800 rpm. Manakala versi yang digabungkan dengan sistem hibrid pula menghasilkan kuasa 143 hp pada takat 6,000 rpm serta tork maksima 180 Nm pada takat 4,400 rpm.

Untuk sistem hibrid, enjin 2.0 liter ini akan digabungkan dengan teknologi yang dikenali sebagai Toyota Hybrid System (THS II). Gabungan ini bakal memacu Toyota Auris atau bakal dikenali semula sebagai Corolla Hatchback bagi model generasi seterusnya. Menurut Toyota, sistem hibrid 2.0 liter ini merupakan versi lebih baik dari sistem pada enjin 1.8 liter sedia ada, namun jumlah kuasa keseluruhan yang dihasilkan masih belum didedahkan.

Sistem terkini ini juga menampilkan unit kawalan kuasa (PCU) baharu yang 20% lebih kecil dan 10% lebih ringan berbanding sistem pada unit 1.8 liter terdahulu, membolehkan PCU berkenaan diletakkan terus di atas unit transgandar (transaxle) motor-generator. Motor AC pada sistem ini pula menampilkan struktur gegelung berputar dengan jumlah wayar lebih sedikit serta digabungkan dengan logam magnetik yang baru dibangunkan.

Format baharu pada gear pengurangan selari pula membantu kehilangan kuasa pada transgandar sehingga 25%. Motor pada sistem berkenaan mampu menghasilkan 107 hp dan tork maksima 202 Nm. Kuasa untuk sistem ini dibekalkan dari bateri nikel-logam hidrat, yang lebih kecil dan ringan hasil dari rombakan pada struktur pek bateri serta sistem penyejukkan yang lebih kompak.

Kapasiti bateri berkenaan masih lagi sama pada unit yang dipadankan untuk sistem 1.8 liter iaitu 6.5 Ah. Namun dengan jumlah sel 180 pada versi baharu berbanding 168 pada versi sebelumnya, ia mampu menghasilkan voltan lebih tinggi iaitu 216 V berbanding 201.6 V sebelumnya.

Beralih kepada transmisi, Toyota memperkenalkan kotak gear CVT baharu digelar Direct-Shift CVT yang didakwa sebagai transmisi pertama yang menggunakan gear berlepas (launch gear) pada sistem CVT. Gear berkenaan membantu memperbaiki kecekapan transmisi pada nisbah gear rendah di mana ketika ini kebiasaannya keberkesanan pada tali sawat konvensional CVT adalah tidak baik.

Gear ini berfungsi ketika kereta mula bergerak setelah berhenti sepenuhnya membolehkan pemandu dapat merasakan pecutan yang lebih baik dan menghilangkan perasaan yang kurang responsif pada CVT biasa. Ketika kereta mula laju, sebuah pam jenis ram (vane pump) dengan respon yang tinggi akan menukar pergerakan sistem dari gear kepada tali sawat CVT.

Dengan tambahan gear rendah berkenaan, nisbah maya untuk CVT ini juga lebih luas dan menurut Toyota, ia menawarkan nisbah maya sehingga 7.5 untuk kelas 2.0 liter – tertinggi dalam kelasnya. Dengan penggunaan gear khas ini juga membolehkan beban input yang lebih rendah diberikan, secara tidak langsung juga membenarkan penggunaan komponen pulley dan tali sawat yang lebih kecil bersama sudut tali sawat lebih tirus (dari 9 darjah kepada 11 darjah), menghasilkan penukaran nisbah gear yang 20% lebih pantas.

Menurut Toyota, Direct-Shift CVT ini menawarkan prestasi yang sama atau lebih baik dari kotak gear klac berkembar (DCT) yang dihasilkan oleh pengeluar lain. Penggunaan bahan api juga didakwa lebih baik sehingga 6%.

Untuk pasaran yang masih mahukan kotak gear manual seperti Eropah, Toyota telah memperkenalkan transmisi enam-kelajuan baharu. Kotak gear tersebut dibina dengan 7 kg lebih ringan serta 24 mm lebih pendek dari transmisi manual sedia ada, hasil dari hub-hub yang lebih nipis, penghenti gear yang dirombak, perumah lebih nipis dan penyisihan galas-galas jenis jarum.

Selain rombakan pada rekaan mekanikal, kotak gear manual baharu ini juga diberikan sistem elektronik baharu digelar Intelligent Manual Transmission (iMT), memberikan fungsi rev-match sama ada ketika menaikkan gear atau menurunkan gear bagi memberikan penukaran gear yang lebih lancar. Kotak gear dengan berat keseluruhan 40 kg ini mampu menerima tork sehingga 280 Nm.

Toyota sebelum ini telah mengumumkan untuk memperkenalkan sembilan enjin dalam 17 variasi, empat sistem transmisi dalam 10 variasi serta enam sistem hibrid dalam 10 variasi menjelang akhir 2021. Enjin 2.0 liter Dynamic Force, sistem 2.0 liter THS II, Direct-Shift CVT dan kotak gear enam-kelajuan manual baharu ini adalah sebahagian dari kesemua komponen yang dirancang berkenaan.

Tetapi bukan hanya empat sistem ini didedahkan, Toyota juga turut memperkenal dua sistem 4WD baharu. Yang pertama digelar Dynamic Torque Vectoring AWD, bakal dilengkapkan pada model-model janaan enjin petrol. Sistem ini membolehkan tork diagihkan pada tayar kiri dan kanan berdasarkan keadaan permukaan jalan. Jika diperlukan, klac-klac jenis ratchet-type dog pada syaf roda hadapan dan belakang akan menghentikan putaran sistem, dan akan menghantar kuasa keseluruhan kepada roda belakang dalam mod 2WD.

Yang kedua pula adalah sistem E-Four baharu yang direka khas untuk dipadankan pada model dengan janakuasa hibrid. Sistem ini akan menaikkan tork keseluruhan pada roda belakang sehingga 30% berbanding versi sedia ada. Sistem kawalan baharu akan mengagihkan tork dengan lebih optimal kepada roda belakang berdasarkan permukaan jalan.

Kedua-dua sistem ini adalah sebahagian dari tiga sistem 4WD yang bakal dihasilkan dalam lapan variasi yang telah dirancang oleh Toyota bagi digunakan pada kenderaan penumpang, kenderaan komersial dan juga kenderaan hibird elektrik.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required