Toyota Camry 2018 – perincian untuk pasaran Amerika

Toyota Camry 2018 – perincian untuk pasaran Amerika

Toyota Camry 2018 telah diperkenalkan semasa pameran permotoran di Detroit, dan kini ia bersedia untuk masuk ke pusat pameran di Amerika Syarikat, dan penghantaran kepada pelanggan akan bermula pada pengujung musim panas ini. Camry 2018 ini adalah generasi yang kelapan.

Antara matlamat utama yang mahu dicapai pada rekaan Camry 2018 adalah keunikan, titik graviti rendah yang menghasilkan kedudukan tegap dan lebar, profail kabin yang bergaya, praktikal dan penuh emosi, serta imej mewah luar dan dalam. Gabungan harmoni semua aspek ini cuba dihasilkan.

Hasilnya adalah profail yang lebih licin. Titik bahagian pinggang penumpang dalam Camry 2018 direndahkan sehingga hampir 1.0 inci di hadapan, dan 1.2 inci di belakang, seterusnya merendahkan kedudukan keseluruhan mereka. Dengan ini juga, Toyota dapat merendahkan keseluruhan kenderaan, sebanyak sekitar satu inci berbanding model sebelum ini dan menggunakan bumbung yang lebih rendah, tanpa mengorbankan ruang kabin.

Camry 2018 mempunyai dua muka utama yang berbeza iaitu yang menggunakan bukaan lebar pada bahagian tengah bampar pada LE/XLE, dan satu lagi yang nampak tajam di hadapan bersama bampar yang agresif pada SE/SXE. Semasa dibangunkan, satu rekaan ini dihasilkan untuk menjadi lebih sporty manakala yang satu lagi lebih mewah.

Walaupun begitu, kedua-dua muka baru Camry ini masih menggunakan hud aluminium yang 1.6 inci lebih rendah dan gril yang terpecah dua. Lencana Toyota pada model hibrid diwarnakan biru. Pada bahagian belakang pula, terdapat lencana Toyota baru yang diletakkan supaya serasi dengan rekaan radikal baru ini.

Walaupun banyak konsep rekaan yang menimbulkan imej lebih lebar pada kenderaan ini, ia sebenarnya memang betul-betul lebar dengan ukuran 4,859 mm panjang (+10 mm), 1,834 mm lebar (+13 mm) dan 1,440 mm tinggi (-30 mm), dengan jarak roda pula adalah 2,824 mm (+48 mm).

Perubahan di dalam juga agak banyak. Konsep sporty sekali lagi digunakan dan pemandu duduk di dalam kokpit dengan kebanuakan tolok informasi yang ada dihalakan kepada mereka. Elemen visual utama pada papan pemuka ini adalah garisan yang bersambung daripada meter turun ke konsol tengah seperti aliran air terjun.

Menurut Toyota, rekaan dalam Camry 2018 turut mendapat inspirasi daripada perabot rumah, dengan terdapat gabungan tona warna, manakala permukaan yang ada menggunakan bahan premium lembut, bergred tinggi. Tempat duduk depan juga adalah baru, dan kini mampu memberikan keselesaan dengan mudah.

Toyota Camry 2018 – perincian untuk pasaran Amerika

Camry 2018 menampilkan teknologi hubungan manusia dan mesin (HMI) yang terkini oleh Toyota, dengan terdapat skrin yang berhubungan – paparan head-up display berwarna 10 inci, MID tujuh inci pada panel meter dan skrin audio dan navigasi lapan inci di konsol tengah.

Tiga pilihan enjin baru akan ditawarkan untuk Camry 2018 – 3.5 liter V6 dengan sistem suntikan D-4S, 2.5 liter “Dynamic Force” empat silinder dengan transmisi automatik lapan kelajuan baru dan hibrid THS II generasi seterusnya.

Model yang menggunakan enjin Dynamic Force dijangka menjadi pilihan paling popular, dan ia mempunyai kuasa sebanyak 206 hp pada 6,600 rpm dan 253 Nm tork pada 5,000 rpm (176 hp/ 222 Nm untuk versi hibrid). Enjin ini menampilkan sistem VVT-iE pada bahagian kemasukan sementara pada bahagian ekzos, masih menggunakan VVT-i. Ia ditetapkan pada tahap mampatan yang tinggi iaitu 13:1 (strok lebih panjang) untuk meningkatkan kecekapan bahan api dan suhu. Sistem pemasaan injap boleh ubah pula menggunakan motor elektrik berbanding tekanan minyak untuk mengawal pemasaan.

Untuk penggunaan bahan api dan penghasilan kuasa lebih baik juga, enjin ini menggunakan kombinasi Direct Injection (DI) bertekanan tinggi dan Port Fuel Injection (PFI) bertekanan rendah, serta injector enam lubang. Penggunaan bahan api bercampur kereta ini adalah 26% lebih baik berbanding Camry sebelum ini.

Toyota Camry 2018 – perincian untuk pasaran Amerika

Enjin 3.5 liter V6 yang digunakan pada model paling tinggi pula mempunyai kuasa sebanyak 301 hp dan 363 Nm pada 4,700 rpm, dengan penggunaan bahan api 8% lebih baik berbanding sebelum ini. Kedua-dua enjin petrol ini dipadankan dengan transmisi lapan kelajuan Direct Shift baru. Transmisi baru ini mempunyai tahap penguncian torque converter yang lebih luas, dan mampu memberikan lebih rasa kepada pemanduan dan membantu dalam kecekapan bahan api.

Untuk versi hibrid, ia menggunakan transmisi CVT, tetapi mempunyai Sport Mode dengan enam nisbah virtual. Mod ini juga dapat meningkatkan pecutan hasil daripada kuasa elektrik tambahan daripada sistem hibrid itu sendiri. Penggunaan bahan api pula 30% lebih baik.

Camry Hybrid baru dilengkapi dengan pek bateri lithium-ion pada varian LE manakala varian SE dan XLE pula menggunakan bateri Nickel-Metal Hydride (Ni-MH). Pek bateri ini juga telah diubah tempatnya, daripada di ruang belakang ke bahagian bawah tempat duduk belakang. Kedudukan ini mempunyai titik graviti lebih rendah.

Toyota Camry 2018 – perincian untuk pasaran Amerika

Toyota menjanjikan kawalan lebih sporty dan kualiti pemanduan yang dipertingkat pada Camry baru. Antara faktor penyumbangnya adalah ketegaran struktur yang dipertingkat (platform baru, penggunaan lebih banyak besi berkekuatan tinggi), sistem suspensi belakang double-wishbone, dan sistem tapak enjin empat bahagian.

Untuk aspek keselamatan, pakej Toyota Safety Sense P diberikan secara standard pada semua model dan ini merangkumi Pre-Collision System dengan Pedestrian Detection, Full-Speed Range Dynamic Radar Cruise Control, Lane Departure Alert dengan Steering Assist dan Automatic High Beams. Ciri Blind Spot Monitor dan Rear Cross Traffic Alert pula hanya diberi kepada model tertentu. Semua Camry baru mempunyai 10 beg udara dan kamera undur.

Harga untuk Camry baru di Amerika Syarikat ditetapkan bermula $23,495 (RM100,710) untuk varian 2.5L hingga $34,950 (RM149,811) untuk XSE V6. Kereta ini akan dikeluarkan di kilang Toyota di Georgetown, Kentucky.


GALERI: Toyota Camry LE 2018


GALERI: Toyota Camry SE 2018

GALERI: Toyota Camry XLE 2018

GALERI: Toyota Camry XSE 2018

GALERI: Toyota Camry Hybrid 2018

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required