Toyota dedah Camry generasi baharu di Detroit – tampil lebih agresif, buang imej ‘sedan untuk ayah’

Toyota dedah Camry generasi baharu di Detroit – tampil lebih agresif, buang imej ‘sedan untuk ayah’

Setelah ditemui sedang diuji dan imej teasernya disiarkan, Toyota akhirnya mendedahkan Camry generasi terbaharu pada North American International Auto Show (NAIAS) di Detroit. Model terbaharu tersebut didedahkan sendiri oleh presiden global Toyota, Akio Toyoda.

Pada bahagian luaran, Camry baharu ini jelas sangat agresif jika dibandingkan dengan model sedia ada. Lampu dan gril hadapannya direka tirus bagi mendapatkan rupa yang lebih tajam. Muka Camry ini diberikan elemen rekaan berbentuk-X, menampilkan gril bawah bersaiz besar dengan bahagian bawah lebih lebar, mengambil inspirasi dari model-model terbaharu Lexus. Hud hadapan juga diberikan garisan yang lebih jelas dan banyak bagi memberikan imej yang lebih gagah.

Beralih ke bahagian sisi, garis bahu Camry ini juga direka lebih jelas, bermula dari fender hadapan dan mengalir terus ke lampu belakang. Tiang-C juga direka landai, bagi memberikan bayangan sisi yang lebih sporty.

Toyota dedah Camry generasi baharu di Detroit – tampil lebih agresif, buang imej ‘sedan untuk ayah’

Garisan bahu tadi kelihatan lebih jelas dibahagian belakang. Seperti juga bahagian hadapan, lampu belakang Camry baharu ini direka lebih tirus. Kemasan seperti liang udara diberikan pada setiap sisi bampar, yang kelihatan bersambung dari grafik putih di dalam lampu kombinasi. Ia turut diberikan diffuser pada bahagian bawah bampar, yang turut menempatkan dua buah tip ekzos berkembar di setiap sisi.

Masuk ke bahagian kabin, Toyota turut menyajikan evolusi rekaan yang lebih moden dan tidak lagi membosankan. Dua meter analog utama ditempatkan pada panel instrumen, mengapit paparan informasi 7-inci di bahagian tengah. Ciri yang paling menonjol papan pemuka Camry ini adalah pada bahagian tengah, yang menempatkan skrin infotaimen Entune 3.0 bersaiz 10-inci, yang turut berfungsi sebagai panel kawalan penghawa dingin HVAC.

Pembahagian ruang pada bahagian ini tidak dibuat secara bersegi, sebaliknya direka dengan lembut menampilkan garisan berlengkuk bermula dari panel meter ke konsol tengah, manakala pada bahagian sebelah lagi bermula dari liang penghawa dingin sisi. Ciri lain yang diberikan termasuk paparan head-up bersaiz 10-inci dan juga brek parkir elektronik. Ciri on-board Wi-Fi dan juga sistem bunyi JBL turut ditawarkan sebagai opsyenal.

Toyota dedah Camry generasi baharu di Detroit – tampil lebih agresif, buang imej ‘sedan untuk ayah’

Camry generasi baharu ini dibina berasaskan platform Toyota New Generation Architecture (TNGA) yang baharu. Platform baharu ini membolehkan Camry direka dengan pusat graviti yang lebih rendah, ketegaran kilasan yang lebih tinggi serta menempatkan sistem suspensi bebas sepenuhnya pada bahagian belakang.

Model dengan spesifikasi tertinggi bakal dijana enjin petrol V6 3.5 liter, manakala untuk varian di bawahnya, ia akan dijana enjin 2.5 liter NA empat-silinder suntikan bahan api terus. Tiada enjin berkapasiti kecil dengan pengecas turbo diberikan pada Camry, sebaliknya enjin 2.5 liter yang digelar “Dynamic Force Engine” tersebut diolah semula bagi mendapatkan nisbah mampatan yang lebih tinggi menerusi strok omboh yang direka lebih jauh, diberikan sistem penyejukkan bervariasi serta sistem pemasaan injap bervariasi-pintar elektrik (VVT-iE) yang baharu.

Tiada angka kuasa kuda diumumkan, tetapi Toyota “menjanjikan kuasa dan tork yang lebih baik bersama penggunaan petrol terbaik dalam kelasnya”. Kedua-dua enjin berkenaan bakal dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan baharu, memacu roda hadapan.

Bagi model hibrid pula, Camry turut menerima enjin 2.5 liter tersebut dipadankan dengan kotak gear CVT yang diolah semula menampilkan mod Sport yang mampu memberikan enam-kelajuan maya. Mod Sport ini turut akan memberikan tujahan tambahan dari motor elektrik, dan memberikan daya pecutan yang lebih baik.

Pek bateri hibrid ini juga telah dipindahkan dari but belakang ke bahagian bawah tempat duduk. Ini bukan sahaja dapat memberikan ruang kargo yang lebih besar, malah turut memberikan pusat graviti yang lebih baik seterusnya menyumbang kepada dinamik keseluruhan kereta ini.

Untuk keselamatan, kesemua varian Camry pasaran Amerika Syarikat bakal diberikan pakej anti-pelanggaran Toyota Safety Sense yang menampilkan Amaran Pelanggaran Hadapan dengan fungsi brek kecemasan automatik dan pengesan pejalan kaki, Amaran Keluar Laluan dengan fungsi stereng automatik, adaptive cruise control dan juga lampu tinggi automatik.

Toyota Camry generasi baharu akan menerjah masuk bilik-bilik pameran di Amerika Syarikat bermula musim panas tahun ini. Manakala untuk pasaran Australia pula, Camry akan diimport dari Jepun (Toyota Australia bakal menamatkan operasi kilang pemasangannya pada tahun hadapan) dan akan mendarat di pasaran berkenaan pada akhir tahun ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required