ford-territory

Pada tahun 1925, Ford Motor Company menjadi pengeluar automotif terbesar pertama yang mula memproduksi kenderaan di Australia. Namun setelah 91 tahun bertapak di sana, kilang pengeluaran bagi model Ford Falcon dan SUV Territory yang terletak di utara Melbourne akhirnya ditutup. Sebelum ini, Ford turut menamatkan operasi bagi kilang pengeluaran enjin di sana.

Pesaing Ford di Australia, Holden, turut menamatkan pengeluaran bagi Chevrolet Cruze generasi sebelumnya, namun masih meneruskan penghasilan model Commodore tetapi turut dijangka akan menutup operasinya pada akhir 2017 ini.

Manakala Toyota yang turut memiliki kilang pengeluaran bagi model Camry di negara berkenaan juga, dijangka akan menamatkan operasinya pada tahun 2018.

Menurut Motor Authority, penutupan ketiga-tiga kilang pengeluaran berkenaan juga pastinya menjejaskan periuk nasi hampir 15,000 hingga 20,000 tenaga kerja.

Ford dan Holden Australia, kedua-duanya telah mencatatkan keuntungan yang tidak memberangsangkan sejak beberapa yahun ini, disebabkan faktor permintaan yang berkurangan serta kos pengeluaran yang semakin tinggi. Manakala Toyota yang menerima faedah daripada program bagi eksport untuk Camry pemasangan Australia, pula berkata permintaan bagi rantaian bekalan mula berkurangan.

Menurut Ford, buat masa ini mereka belum membuat sebarang keputusan untuk menggantikan model Falcon, tetapi akan terus mengimport model Edge dan Everest bagi menggantikan Territory. Menurut rekod, sejak tahun 1960, Ford telah menghasilkan sebanyak 3.4 juta unit Falcon.