Hyundai Ioniq 6 dilancarkan di Malaysia – RM289,888-RM319,888, hingga 320 PS/605 Nm, jarak gerak 614 km

Hyundai Ioniq 6 dilancarkan di Malaysia – RM289,888-RM319,888, hingga 320 PS/605 Nm, jarak gerak 614 km

Hyundai Sime Darby Motor (HSDM) hari ini secara rasminya melancarkan model EV ketiga Hyundai untuk pasaran Malaysia iaitu Ioniq 6, selepas menawarkan Kona Electric pada 2021 dan Ioniq 5 sejak Mac tahun lalu. Model baharu ini dilancarkan di Pusat Konvensyen Setia City, yang juga tempat di mana Electric Vehicle Expo (EVx) 2023 yang dianjurkan oleh paultan.org bermula esok, 22 Julai hingga 23 Julai 2023.

Ioniq 6 pasaran Malaysia ini ditawarkan dalam dua varian, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM289,888 untuk model asas Max RWD yang hanya digerakkan dengan satu motor elektrik, diikuti varian Max AWD berharga RM319,888 yang menerima dua motor elektrik.

Model ini juga diberikan jaminan standard dua tahun atau 50,000 km serta jaminan bateri EV lapan-tahun atau 160,000 km. Pakej lanjutan jaminan dan servis ditawarkan dengan kos tambahan RM10,000, dan menjadikan tempoh jaminan lima-tahun atau 100,000 km, dan termasuk penyelenggaraan untuk tiga tahun atau 50,000 km. Jaminan bateri EV kekal sama.

Hyundai Ioniq 6 dilancarkan di Malaysia – RM289,888-RM319,888, hingga 320 PS/605 Nm, jarak gerak 614 km

Kedua-dua varian Ioniq 6 ini datang dengan bateri 77.4 kWj. Bagi model dengan motor elektrik tunggal, motor berkenaan diletak pada gandar belakang untuk memacu roda belakang dengan kuasa 228 PS (168 kW) dan tork maksima 350 Nm . Ini membolehkan ia bergerak sejauh 614 km dalam kitaran WLTP, serta mencatatkan masa 7.4 saat untuk pecutan 0-100 km/j.

Manakala bagi model dua motor elektrik, motor-motor berkenaan masing-masing pada gandar hadapan dan belakang, memberikan pacuan semua roda dengan kuasa keseluruhan 320 PS (239 kW) dan tork maksima 605 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j lebih pantas dalam masa 5.1 saat, namun menawarkan jarak gerak lebih pendek iaitu 519 km dalam kitaran WLTP.

Seperti Ioniq 5, Ioniq 6 ini turut diasaskan dari platform E-GMP yang sama. Platform berkenaan menampilkan asas sistem elektrikal 800-volt yang membolehkan ia menyokong pengecasan 350 kW bagi membolehkan bateri dipenuhkan dari 10 hingga 80% dalam masa hanya 18 minit, dan 73 minit jika menggunakan pengecas DC 50 kW. Manakala dengan pengecas AC 11 kW, bateri boleh dipenuhkan dari 0 hingga 100% dalam masa 7.1 jam.

Berbanding Ioniq 5 yang tampil sebagai sebuah SUV yang nampak seperti hatchback, Ioniq 6 pula dihasilkan sebagai sebuah fastback dengan bentuk unik menampilkan rekaan but belakang seakan Porsche Panamera. Dengan garis-garis bahu dan bumbung yang lengkung seakan menggelembung, rintangan angin pada Ioniq 6 ini menghasilkan pekali seretan hanya 0.21 Cd, iaitu paling rendah berbanding model-model Hyundai lain.

Selain itu, ia juga menerima rekaan bampar yang tirus, dan dilengkapi sirip udara aktif, penutup ruang roda, kamera digital yang nipis bagi menggantikan cermin sisi, spoiler but belakang, bahagian bawah kenderaan yang tertutup sepenuhnya serta sirip angin di beberapa bahagian lain bagi membantu mendapatkan rintangan angin yang rendah tersebut – kesemua ini adalah standard Ioniq 6 pasaran Malaysia.

Kedua-dua varian Ioniq 6 ini turut menerima lampu hadapan dual LED dengan sistem lampu pintar bersama elemen rekaan Parametric Pixels pada lampu nyalaan siang LED hadapan, lampu LED belakang dan juga penderia bawah di hadapan. Namun hanya model Max AWD yang diberikan bumbung suria.

Hyundai Ioniq 6 dilancarkan di Malaysia – RM289,888-RM319,888, hingga 320 PS/605 Nm, jarak gerak 614 km

Model Max RWD dibekalkan dengan set rim aloi Aero 18-inci bersama tayar 225/55 R18, manakala varian Max AWD pula datang dengan set rim aloi Performance 20-inci dengan tayar 245/40 R20.

Dari segi saiz, fastback ini dihasilkan dengan panjang 4,855 mm, lebar 1,880 mm, tinggi 1,495 mm dan jarak roda sejauh 2,950 mm. Berbanding Ioniq 5 yang seakan hatchback, Ioniq 6 ini adalah 220 mm lebih panjang dengan jarak roda 50 mm lebih jauh, tetapi 10 mm kurang lebar serta 110 mm lebih rendah dari Ioniq 5.

Dalam kabin, Ioniq 6 menampilkan papan pemuka dengan rekaan mendatar, bersama tempat duduk khas yang direka 30% lebih nipis kerana lantainya yang tebal untuk menempatkan bateri. Perincian dalaman untuk kedua-dua varian pasaran Malaysia ini adalah sama.

Ia menerima skrin berkembar masing-masing berukuran 12.3inci – satu sebagai paparan instrumen pemandu dan satu lagi untuk infotainmen – bersama sokongan Android Auto, Apple CarPlay serta Bluetooth yang boleh disambung dengan beberapa peranti dalam masa sama.

Ioniq 6 pasaran Malaysia ini juga dibekalkan dengan sistem audio Bose dilengkapi lapan pembesar suara, sistem pendingin hawa automatik dua zon, pengecas tanpa wayar, empat port USB Type C, lampu suasana kabin 64 warna, upholsteri kulit, tempat duduk hadapan Premium Relaxion dengan larasan kuasa dengan dan sokongan lumbar, tempat duduk belakang boleh lipat dengan nisbah 60:40 dan pintu tailgate belakang berkuasa.

Pemandu pula akan menerima perincian seperti penukar gear shift-by-wire, pedal untuk kawalan regenerative braking pada roda stereng, paparan head-up, sistem kunci pintar dengan butang pemula, kamera pemantau sekeliling, empat mod pemanduan (Eco, Normal, Sport dan Snow), dan pengelap cermin automatik.

Bagi sistem keselamatan, Ioniq 6 hadir standard dengan tujuh beg udara, bantuan mula mendaki, brek parkir elektronik, sistem pemantau tekanan angin tayar, dan juga pengingat penumpang belakang.

Sistem bantuan pemanduan Hyundai SmartSense juga diberikan dengan fungsi termasuk bantuan titik buta, bantuan kekal lorong, bantuan pengelak pelanggaran hadapan, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, bantuan had kelajuan manual dan pengelak pelanggaran ketika parkir.

Ioniq 6 ini juga diberikan sistem bantuan parkir pintar jarak jauh yang membolehkan anda menggerakkan kereta ini ke hadapan atau belakang menggunakan kunci kawalan jauh dari luar, membantu untuk anda masuk/keluar dari kereta pada petak parkir yang sempit.

Ia juga dilengkapi fungsi vehicle-to-load (V2L), membolehkan ia bertindak seperti ‘powerbank gergasi’ bagi membekalkan kuasa ke peralatan elektik lain.

Lima warna badan ditawarkan untuk Hyundai Ioniq 6 pasaran Malaysia ini iaitu Abyss Black Pearl, Nocturne Grey Matte, Biophilic Blue Pearl, Dive Blue Solid dan Gravity Gold Matte. Menurut pengarah urusan HSDM Low Yuan Lung, 30 pembeli Ioniq 6 terawal di Malaysia akan diberikan kad keahlian Shell Recharge Gold bagi mendapatkan kadar bayaran istimewa untuk sistem pengecasan yang disediakan oleh syarikat tersebut.

Hyundai Ioniq 6 ini akan terus dipamerkan di Pusat Konvensyen Setia City ini sepanjang berlangsungnya EVx 2023 sehingga hujung minggu ini.

GALERI: Hyundai Ioniq 6 Max AWD 2023

GALERI: Hyundai Ioniq 6 Max RWD 2023

GALERI: Pilihan warna Hyundai Ioniq 6 2023 pasaran Malaysia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required