Kia EV6 didedah – kereta elektrik sepenuhnya dengan jarak gerak 510 km, caj 80% penuh hanya 18 minit

Kia EV6 didedah – kereta elektrik sepenuhnya dengan jarak gerak 510 km, caj 80% penuh hanya 18 minit

Dengan pengharaman jualan kereta berkuasa bahan api fosil di Eropah yang akan berkuatkuasa tak sampai sedekad lagi, pengeluar-pengeluar automotif perlu bersiap sedia dari sekarang. Sebagai jenama global yang mempunyai pasaran yang besar di benua berkenaan, jenama dari Korea, Kia kini sudahpun mendedahkan model produksi elektrik sepenuhnya (EV) pertama mereka, digelar sebagai Kia EV6.

Model ini dihasilkan dari platform yang dibangunkan khas untuk model-model elektrik Kia iaitu Electric-Global Modular Platform (E-GMP). Menurut Kia, platform E-GMP berkenaan mengurangkan kerumitan bagi membangunkan kereta janaan elektrik sepenuhnya menerusi pendekatan modular dan keseragaman, membolehkan pembangunan yang cepat dan fleksibel untuk pelbagai produk lain kelak.

Kia EV6 tampil dengan tiga varian bermula model asas EV6, EV6 GT-Line dan juga model tertinggi EV6 GT. Untuk saiz, kereta elektrik sepenuhnya ini dihasilkan dengan dimensi panjang 4,680 mm (4,695 mm untuk GT-Line dan GT), jarak roda 2,900 mm, lebar 1,890 mm dan tinggi 1,550 mm (1,545 mm untuk GT). Kapasiti but pula adalah 520 liter, dan bertambah sehingga 1,300 liter jika tempat duduk belakang dilipat.

Kerana ia tiada enjin pembakaran dalaman, bahagian bonet hadapan juga mempunyai ruang storan. Model dengan sistem pacuan semua roda tampil dengan ruang kargo hadapan dengan kapasiti 20 liter, manakala model 2WD untuk pasaran bukan Amerika Utara pula tampil dengan ruang berkapasiti 53 liter. Bagi model pasaran Amerika Utara, tidak kira versi AWD atau 2WD, ruang berkenaan kekal 20 liter.

Kia EV6 didedah – kereta elektrik sepenuhnya dengan jarak gerak 510 km, caj 80% penuh hanya 18 minit

Bagi model EV6 dan EV6 GT-Line, ia ditawarkan dengan pek bateri dalam versi jarak-standard dan jarak jauh, kedua-duanya diberikan pilihan sama ada pacuan dua roda atau semua roda. Manakala untuk model tertinggi EV6 GT, ia hanya ditawarkan dengan pek bateri jarak jauh dan pacuan semua roda.

Model asas EV dan EV GT-Line dalam varian 2WD, pek bateri jarak standard yang dibekalkan berkapasiti 58 kWj, digandingkan bersama motor elektrik berkuasa 125 kW (168 hp) dan tork maksima 350 Nm yang diletakkan pada gandar belakang. Manakala model AWD pula menerima pek bateri yang sama tetapi diberikan satu lagi motor pada gandar hadapan dan menjana kuasa keseluruhan 173 kW (232 hp) dan tork maksima 605 Nm.

Model jarak-jauh pula dibekalkan dengan pek bateri 77.4 kWj dan juga motor elektrik tunggal berkuasa 168 kW (225 hp) dan tork maksima 350 Nm bagi versi pacuan roda belakang. Model AWD untuk versi jarak jauh ini pula menerima dua motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 239 kW (320 hp) dan tork maksima 605 Nm.

Manakala model EV6 GT pula, ia dibekalkan dengan bateri 77.4 kWj, bersama motor elektrik yang diletakkan di gandar hadapan dan belakang, menghasilkan kuasa keseluruhan 430 kW (577 hp) dan tork maksima 740 Nm.

Kia EV6 didedah – kereta elektrik sepenuhnya dengan jarak gerak 510 km, caj 80% penuh hanya 18 minit

Untuk jarak gerak pula, model asas EV6 2WD yang dibekalkan dengan bateri jarak-jauh berupaya untuk bergerak sejauh 510 km dengan satu caj penuh berdasarkan kitaran WLTP, menurut Kia. Manakala untuk prestasi, model asas EV6 dengan AWD dan bateri 58 kWj berupaya memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat, sementara bagi model dengan bateri 77.4 kWj pula membuat pecutan sama dalam masa 5.2 saat.

Model tertinggi EV6 GT menampilkan prestasi yang jauh lebih menakjubkan. Ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.5 saat, dan mencapai kelajuan maksima 260 km/j. Kia menyatakan bahawa dengan kapasiti bateri berada pada paras lebih dari 35%, EV6 mempunyai kemampuan menunda sehingga 1,600 kg.

Dengan menggunakan sistem elektrikal 800-volt, EV6 mampu dicaj semula dengan kaedah ultra-laju tanpa penggunaan penyambung atau komponen tambahan. Menyatakan bahawa model jarak-jauh 2WD dengan bateri 77.4 kWj boleh dicaj dari 10% kepada 80% dalam masa hanya 18 minit, atau jarak sejauh 100 km dapat ditambah dengan caj tak sampai empat minit setengah.

Kia juga mendakwa bahawa unit kawalan pegecaj bersepadu (ICCU) pada EV6 ini membolehkan ia memberi fungsi kenderaan kepada beban (V2L), yang boleh membekalkan tenaga elektrik 3.6 kW dengan jumlah sama seperti menghidupkan TV 55-inci dan pendingin hawa lebih dari 24 jam, atau mengecaj semula kereta elektrik lain jika diperlukan.

Kia EV6 didedah – kereta elektrik sepenuhnya dengan jarak gerak 510 km, caj 80% penuh hanya 18 minit

Kia EV6 diberikan pedal di belakang roda stereng yang nampak seperti pedal penukar gear pada kereta janaan enjin pembakaran dalaman yang mempunyai kotak gear. Namun pedal tersebut sebenarnya untuk digunakan pemandu bagi memilih enam tahap pemulihan tenaga termasuk mod automatik dan i-Pedal.

Mod i-Pedal tersebut adalah mod pemanduan menggunakan hanya satu pedal – tekan pedal pendikit untuk bergerak, dan lepas untuk brek regenerative tanpa memerlukan pedal brek untuk perlahan atau berhenti.

Paparan digital pada kabin EV6 ini menampilkan dua skrin bersaiz 12-inci untuk panel instrumen digital pemandu dan skirn infotainmen, yang direka melengkung dan menggunakan teknologi termaju bagi mengurangkan silau. Kedua-dua skrin berkenaan dihubungkan dengan hanya satu panel kaca yang diperkuat.

Manakala untuk paparan head-up, imej visual secara realiti terimbuh (VR) dipancarkan terus di cermin hadapan bagi memudahkan pemandu menerima maklumat seperti sistem bantuan pemanduan, kelajuan, serta arahan dari sistem navigasi.

Kia EV6 didedah – kereta elektrik sepenuhnya dengan jarak gerak 510 km, caj 80% penuh hanya 18 minit

Model ini juga menerima sistem Kia Connect (sebelum ini dikenali sebagai Uvo), menawarkan servis kereta terhubung masa sebenar dan kemaskini perincian secara over-the-air (OTA), mampu untuk mencari lokasi dan memberi informasi harga tempat mengecaj EV, memberikan status caj, merancang jadual mengecaj dan radius jarak pergerakan berdasarkan tahap caj sedia ada.

Kia EV6 ini juga menerima sistem bunyi surround dari Meridian dengan 14-pembesar suara, termasuk rekaan bunyi aktif yang didakwa oleh Kia mampu “memberikan pemandu tindak balas boleh dengar” untuk kelajuan semasa kereta, dan ia boleh dikawal menerusi antaramuka pengguna.

Bagi sistem bantuan pemanduan keselamatan pula, EV6 menerima sistem Highway Driving Assist 2 (HDA 2), iaitu gabungan sistem cruise control adaptif, bersama bantuan kekal lorong yang turut boleh berfungsi pada selekoh di lebuh raya. HDA2 ini juga mampu untuk menjaga jarak antara kenderaan bersebelahan bagi mengelakkan sebarang pelanggaran. Ia juga boleh mengubah lorong dengan pemandu hanya perlu mengaktifkan lampu isyarat membelok.

Kia EV6 didedah – kereta elektrik sepenuhnya dengan jarak gerak 510 km, caj 80% penuh hanya 18 minit

Ketika parkir, pemandu juga boleh menggunakan sistem remote smart parking assist (RSPA) yang membolehkan EV6 ini dikawal dari luar untuk masuk ke petak parkir. Ia juga diberikan sistem Safe Exit Assist (SEA) yang memberikan amaran kepada pemandu dan penumpang sekiranya ada kenderaan lain yang menghampiri ketika mereka mahu keluar dari kabin.

Kia EV6 ini diproduksi di Korea Selatan, dan bakal dijual pada pasaran global terpilih bermula separa kedua tahun ini. Kia mengumumkan bahawa pelanggan pada pasaran terpilih berkenaan sudah pun boleh membuat tempahan atas talian mereka bagi memilik EV ini.

Jenama berkenaan turut menyebut EV6 hanyalah permulaan kerana selepas ini sejumlah 11 model elektrik sepenuhnya akan dilancarkan sehingga 2026 nanti – tujuh daripadanya adalah model baharu yang menggunakan platform E-GMP, manakala empat model lain dibangunkan dari model-model sedia ada.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required