PANDU UJI: Kia Sorento 2023 — 2.5G AWD petrol atau 2.2D AWD diesel lagi cekap? Harga mahal sangat?

PANDU UJI: Kia Sorento 2023 — 2.5G AWD petrol atau 2.2D AWD diesel lagi cekap? Harga mahal sangat?

Melihat kepada barisan kenderaan Kia yang ditawarkan ketika ini untuk pasaran global, agak jelas dapat dilihat arah tujunya berbanding 10 tahun lalu. Kia, sebuah jenama pengeluar kenderaan asal Korea Selatan telah melalui perubahan yang dapat ditandai dengan mudah oleh model-model yang dikeluarkan kebelakangan ini.

Jika dahulu ia hanya menjadi sekadar “sebuah lagi” jenama pengeluar kenderaan yang biasa-biasa, sekarang lain ceritanya. Kia kini ingin menjadi sebuah jenama dengan nilai dan citarasa global dan boleh dikatakan pendekatan yang digunakan itu agak mengena dan berhasil, sekurang-kurangnya jika merujuk kepada model yang diperkenalkan kini. Dirancakkan lagi dengan perkembangan pesat yang dipacu oleh pasaran kenderaan elektrik (EV), Kia mengambil langkah yakin untuk memanfaatkan semua yang ada untuk dijadikan kelebihan.

Perhatikan dua model EV Kia yang ada dalam pasaran tempatan di sini: ada Kia EV6 dan yang paling baru dilancarkan Julai lalu, Kia Niro. Kedua-dua model terbabit tampil dengan rekaan yang berbeza dan terperinci jika dibandingkan dengan model-model Kia dari generasi lain sebelum ini, sesuai dengan imej EV yang selalu berbeza.

PANDU UJI: Kia Sorento 2023 — 2.5G AWD petrol atau 2.2D AWD diesel lagi cekap? Harga mahal sangat?

Ketepikan dulu teknologi yang menggerakkan dua kereta ini dan beri tumpuan kepada bahasa rekaan yang ditampilkannya — sangat berani, segar dan tajam. Pendekatan yang sama itulah juga digunakan untuk model-model bukan EV Kia yang lain, dari generasinya yang terkini. Model yang ingin dibicarakan dalam tulisan ini tentulah SUV Kia Sorento 2023 generasi keempatnya. Jangan tersilap, Sorento versi facelift 2024 sudah ada imejnya yang mula berlegar sebelum ini, tetapi itu bukanlah model yang ada dijual di Malaysia ketika ini — pasaran kita menerima versi sebelum facelift berkenaan.

Walaupun begitu, dapat dilihat yang Sorento 2023 ini tidak lagi ingin ada kena-mengena dengan model terdahulunya. Ia juga meminjam banyak sentuhan dan persamaan arah tuju rekaan yang sama seperti barisan EV yang disebutkan tadi, walaupun untuk Sorento ia hanya menggunakan enjin pembakaran dalaman konvensional. Tetapi, daripada semua model terbaru Kia itu, termasuk yang EV, ada satu persamaan dan pernyataan yang diketengahkan oleh jenama ini — Kia kini ingin menjadi sebuah jenama premium, meninggalkan profil jenamanya yang lama di belakang; terutama melalui barisan kenderaan generasi semasa yang kita sedang lihat kini.

Dilancarkan di Malaysia pada Mac lalu, Sorento 2023 menampilkan penawaran yang disifatkan “premium” itu baik dari segi rekaan luaran mahupun dalaman. Untuk pasaran tempatan, ada tiga varian ditawarkan dengan dua konfigurasi tempat duduk yang berbeza — dengan semuanya versi pemasangan CKD. Pertama, varian 2.5G 2WD (tujuh tempat duduk) yang dijual pada harga RM211,498; diikuti 2.5G AWD enam-tempat duduk pada harga RM235,498; dan yang terakhir 2.2D 4WD enam-tempat duduk pada harga RM255,228. Semua harga ini adalah harga atas jalan, tidak termasuk insuran.

PANDU UJI: Kia Sorento 2023 — 2.5G AWD petrol atau 2.2D AWD diesel lagi cekap? Harga mahal sangat?

Dari tanda harga yang diletakkan ini sahaja sudah cukup untuk menunjukkan yang Kia Sorento 2023 ingin bermain dalam pasaran SUV segmen D dengan menawarkan ciri yang lebih cenderung kepada rasa dan kelengkapan mewah itu. Sebagai perbandingan, kita lihat juga pesaing yang ada dalam segmen sama ketika ini dalam pasaran tempatan.

Yang pertama, Mazda CX-8 yang dilancarkan pertengahan tahun lalu dan dijual dari harga antara RM177,674 hingga RM212,225, bergantung kepada varian. Kemudian ada juga satu lagi daripada jenama Korea Selatan juga: Hyundai Santa Fe yang dijual antara RM188,888 hingga RM209,888. Ini dua pesaing yang paling hampir, dengan sasaran penawaran premium yang hampir sama.

Untuk pilihan yang lebih murah pula ada dua lagi model yang mungkin perlu juga disebutkan. Yang pertama ialah Proton X90 — juga menawarkan konfigurasi enam dan tujuh-tempat duduk — tetapi dengan enjin 1.5L Turbo dengan sistem 48V mild-hybrid yang dijual dari harga RM123,800 hingga RM152,800. Kedua, ada juga Chery Tiggo 8 Pro yang datang hanya dalam satu varian dengan enjin 2.0L turbo dan berharga RM159,800.

PANDU UJI: Kia Sorento 2023 — 2.5G AWD petrol atau 2.2D AWD diesel lagi cekap? Harga mahal sangat?

Ternyata, daripada semua pesaing yang paling hampir dengannya, Kia Sorento 2023 terpisah daripada semua model tersebut oleh tanda harga yang paling mahal. Jadi, apa yang sebenarnya ada pada Sorento sehingga harga jualannya diposisikan sebegitu?

Kia Sorento 2023 hadir dengan sebuah penampilan yang sangat gagah. Ia juga nampak besar: dengan ukuran dimensi 4,810 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,695 mm tinggi (+5 mm bagi varian diesel) dan jarak antara roda mencecah 2,815 mm. Ia mempunyai jarak kelegaan tanah sebanyak 176 mm. Rekaan luarannya juga cukup menarik, dan untuk mata kami sendiri, ia bahkan ada lebih banyak kelebihan dari segi rekaan berbanding Mazda CX-8 — dengan pendekatan yang lebih berkotak dan mungkin sedikit konvensional, tetapi setiap perincian dan garis badan diberikan ketelitian yang terperinci.

Sorento ini jika dilihat dari sudut mana pun akan menyerlahkan rekaan maskulin yang tegap. Bahagian depan misalnya, sangat ketara memberi tanggapan sebagai wajah yang besar dengan rekaan gril yang luas dan hitam, rekaan perumah lampu LED yang tirus dengan tiga kluster yang memberikan tanggapan tajam yang disertakan sekali dengan jalur DRL, dan tidak lupa bahagian bawah bamparnya yang hadir dengan bukaan udara yang luas memberikan rasa “besar” itu dengan lebih jelas.

PANDU UJI: Kia Sorento 2023 — 2.5G AWD petrol atau 2.2D AWD diesel lagi cekap? Harga mahal sangat?

Dari bahagian sisi SUV ini juga nampak tegap. Ia panjang, dengan pendekatan rekaan berelemen kotak yang moden, disertai garis badan yang membuatkan Sorento nampak tidak terlalu berotot, tetapi cukup untuk memberikannya imej yang gagah dan besar. Bahagian belakang juga tidak terlalu sibuk, dengan rekaan moden dan minimal — dan boleh dikatakan unik juga dengan rekaan lampu belakang yang petak dan tidak terlalu besar. Kebanyakan SUV ketika ini lebih senang dengan rekaan lampu belakang yang tirus dan merentang lebar sepenuhnya atau menegak panjang.

Semua itu tiada untuk Sorento: yang menghubungkan lampu belakang kiri dan kanannya adalah lekuk yang kelihatan seperti spoiler, yang turut menempatkan lencana nama Kia dengan cukup besar. Mungkin ini juga yang memberikan kelainan dari segi rekaan Sorento ini — bentuk umumnya mungkin boleh dikatakan konvensional, tetapi perincian yang diberikan pula sangat berbeza dan segar, yang jarang-jarang ada pada SUV lain. Jika ada perkara yang kami tidak terlalu suka di belakang ini, itu adalah rekaan bahagian bawah bamparnya: agak sibuk dengan dengan kemasan krom yang ada, dan jika ia lebih ringkas, mungkin lebih menarik kerana bahagian tengah di belakang ini sudah ada banyak perkara yang diletakkan.

Jika rekaan luarnya sudah memberikan gambaran sisi elegan SUV ini, tunggu hingga anda masuk ke dalam. Ruang kabinnya lebih nyaman, ringkas yang tidak terlalu kosong, serta menempatkan banyak perkara yang kedudukannya yang betul dan memudahkan pengguna. Sebagai contoh, lihat rekaan papan pemukanya — besar, ya, tetapi juga menunjukkan kompleksiti dan ketelitian yang tersendiri. Ia melintang penuh di bahagian depan dalam beberapa lapisan rekaan yang sangat dominan. Kemudian, rekaan corong pendingin pula dibuat menegak, dan terbahagi kepada dua bahagian. Ini rupanya satu pendekatan yang menarik kerena pengguna boleh menghalakan corong yang sama ke dua ketinggian dan arah yang berbeza.

Skrin yang tersedia juga semuanya digital, satu untuk kluster instrumen pemandu, dengan saiz 12.3-inci berwarna yang berdefinisi tinggi yang memudahkan pemandu untuk melihat maklumat dengan jelas, dan untuk sistem hiburan di tengah pula ialah skrin sentuh 10.25-inci yang juga lancar untuk kendalikan. Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar menambahkan lagi kesenangan pengalaman bersama SUV ini. Jika ada satu perkara yang mungkin kurang sedikit berdasarkan penggunaan dan pemerhatian ketika mencuba SUV ini, sambungan Apple CarPlay-nya ada waktu agak sukar disambungkan, mungkin disebabkan keserasian versi iOS telefon yang digunakan. Tetapi itu bukanlah masalah yang terlalu besar.

Tentang kluster instrumen pemandu, ciri paparan video untuk titik butanya juga akan ditunjukkan di situ, menjadikannya proses untuk memastikan sudut sukar kenderaan ini lebih senang dan mudah: mata tidak perlu dialihkan ke arah lain ketika melakukannya. Ini sangat membantu dalam pemanduan. Lihat juga konsol tengahnya yang tinggi dan besar, menempatkan tombol gear dengan rekaan model dan penyudah krom, serta suis-suis kawalan lain termasuk mod pemanduan dan pilihan permukaan pacuan yang ada. Semuanya mudah dicapai dan jelas kelihatan.

Kami sempat memandu uji dua varian Kia Sorento 2023 berturut-turut dalam satu rentang waktu yang tidak terlalu jauh, membolehkan beberapa perbandingan dilakukan sekaligus. Yang pertama adalah varian pertengahan, Sorento 2.5G AWD Petrol, dan kedua ialah varian paling tinggi, 2.2D AWD Diesel. Dan ruangan kabin kedua-dua varian paling atas ini, ia hadir dengan konfigurasi enam-tempat duduk dengan captain seat di barisan tengah. Dengan ruang besar yang ada pada Sorento ini, keselesaan bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk ia berikan. Cuma seperti biasa, tempat duduk barisan ketiga ruangnya mungkin lebih layak untuk diduduki oleh remaja atau kanak-kanak berbanding orang dewasa.

Ada banyak ciri yang ada dalam ruang kabin Sorento ini boleh diberi pujian, yang jelas menunjukkan kesungguhan pengeluarnya untuk memberikan penawaran premium sebagai nilai yang disediakan oleh SUV ini. Sebagai contoh, sistem audio yang digunakan adalah dari Bose, dengan 12-pembesar suara, ada juga pengecas telefon tanpa wayar, corong pendingin barisan ketiga, slot USB termasuk untuk penumpang barisan ketiga dan kamera pandangan sekeliling. Untuk keselesaan, selain ruang, rekaan kerusi yang ada juga cukup memuaskan untuk membolehkan sesiapa sahaja untuk sentiasa berada dalam keadaan rehat, termasuk pemandu.

Bagi model petrol, ia menggunakan enjin Smartstream 2.5L AWD yang menjana kuasa sebanyak 177 hp pada 6,000 rpm dan 232 Nm tork pada 4,000 rpm. Enjin ini digandingkan pula dengan transmisi automatik enam-kelajuan. Setiap varian yang turut melibatkan perbezaan berat, dengan varian pertengahan ini mempunyai berat keseluruhan 1,771 kg. Untuk sistem pacuan semua roda pula, ia menggunakan sistem kawalan elektronik yang akan sentiasa menilai situasi dan hasrat pemandu dan kemudiannya mengagihkan tork yang sewajarnya ke gandar depan dan belakang. Ini juga turut melibatkan multi-terrain control yang tersedia bagi Sorento — SNOW, MUD dan SAND. Ini adalah tambahan pula kepada mod pemanduan yang ia miliki — ECO, COMFORT, SPORT dan SMART.

Ada terasa berat ketika memandu varian ini, dengan respon yang ada waktunya dirasakan agak terbeban terutamanya ketika ingin mengerah SUV ini untuk menjadi lebih responsif. Penyelesaiannya tentulah dengan mengalihkan mod pemanduan yang ada, dengan posisi Sport sentiasa menjadi pilihan jika inginkan lebih tenaga dan lonjakan. Duduk memandu didalamnya juga memang boleh dirasakan yang Sorento ini sebuah SUV yang agak besar.

PANDU UJI: Kia Sorento 2023 — 2.5G AWD petrol atau 2.2D AWD diesel lagi cekap? Harga mahal sangat?

Jika membawa kapasiti penumpang yang maksimum, hal berat ini mungkin akan jadi lebih ketara. Olengan badan Sorento juga ketika di selekoh perlu diberi perhatian. Ia memang berat, tetapi suspensi yang dengan ketetapan untuk mementingkan keselesaan itu ada kalanya terasa sedikit lembut dan membuai badan SUV. Sekadar permerhatian terhadap penggunaan minyaknya pula, kami mencatatkan bacaan 9.4L/100 km sepanjang menggunakan SUV ini.

Dan, ada sebab kenapa Kia memilih untuk menjadikan versi diesel SUV ini sebagai penawaran paling tinggi. Ia hadir dengan enjin 2.2L Turbo CRDi, memanfaatkan diesel bersih Euro 5 B7, yang menjana lebih banyak kuasa dengan 199 hp pada 3,800 rpm dan 440 Nm tork dari 1,750-2,750 rpm. Bagi transmisi pula, ia digandingkan dengan DCT lapan-kelajuan. Berat varian ini juga berbeza dari versi petrol, dengan 1,856 kg.

Beralih dari versi petrol kepada versi diesel ini memang banyak perbezaannya dari segi prestasi pemanduan dan respon enjin. Dengan kabin yang senyap, dan juga enjin diesel moden yang tidak terlalu bising, ia menjadi satu kombinasi yang cukup baik yang sekaligus turut memberikan penjimatan bahan api yang lumayan.

Tentang perkara ini, bacaan yang sempat kami perhatikan ketika memandu versi diesel — termasuk kesempatan untuk memandunya bagi perjalanan jauh — adalah 6.6L/100 km. Dengan baki minyak yang hanya kurang sedikit dari takuk suku yang terakhir (kapasiti tangki minyak ialah 67 liter), kami ketika itu sudah pun berjalan sejauh 876 km, tanpa melibatkan sebarang isian semula diesel. Jika ada kelebihan kenderaan diesel yang masih belum boleh diatasi oleh mana-mana sistem janaan kenderaan yang lain, ia adalah hal penjimatan bahan api yang digunakannya.

Sebagai sebuah SUV yang ingin bermain-main dalam segmen pasaran premium, Sorento juga tidak ketinggalan dari sudut kelengkapan ciri keselamatan canggih. Selain sistem keselamatan pasif seperti tujuh beg udara, ABS, EBD, ESC, TC dan sebagainya, Sorento ini juga penuh dengan ciri keselamatan aktif yang canggih. Antara ciri yang dimaksudkan ialah Multi Collision Braking (MCB), High Beam Assist (HBA), Blind Spot Collision Avoidance Assist (BCA), Rear Cross-Traffic Collision Avoidance Assist (RCCA), Fordward Collision-Avoidance Assist (FCA) dengan Junction Turning, Lane Keeping Assist (LKA), Lane Following Assist (LFA) dan Smart Cruise Control (SCC).

Kia Sorento datang dengan jaminan lima-tahun dan juga servis percuma untuk tempoh masa yang sama — ini termasuklah kos buruh, alat ganti dan minyak pelincir percuma.

Jadi, adakah tanda harga yang diberikan untuk Sorento ini berbaloi? Mungin ya, tetapi dengan barisan pesaingnya yang turut memberikan nilai yang berbeza bahkan lebih, Sorento berada dalam kedudukan yang agak sukar kerana harganya ini (ini belum lagi masuk kepada hal-hal untuk menjual semula dll). Tetapi, sebagai sebuah produk, ia memberikan banyak nilai yang menarik untuk dipertimbangkan, terutama bagi varian diesel yang ada. Anda rasa macam mana? Ok untuk pilih Sorento ini?

Kia Sorento 2.2D AWD 2023

Kia Sorento 2.5G AWD 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required