Chery Tiggo 8 Pro 2023 rasmi di Malaysia – RM160k, SUV 7-tempat duduk, 2.0T berkuasa 250 hp/390 Nm

Chery Tiggo 8 Pro 2023 rasmi di Malaysia – RM160k, SUV 7-tempat duduk, 2.0T berkuasa 250 hp/390 Nm

Selepas didedahkan kepada umum ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow di MAEPS Mei lalu, hari ini secara rasmi SUV segmen-D tujuh-tempat duduk Chery Tiggo 8 Pro 2023 dilancarkan ke pasaran Malaysia. Model ini dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD), ditawarkan hanya dalam satu varian iaitu Premium, dijual pada harga atas jalan RM159,800.

Harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran. Hanya dua warna badan ditawarkan untuk SUV ini iaitu Dark Black dan Khaki White. Ia dilindungi waranti pengeluar selama tujuh tahun atau 150,000 km yang mana sampai dulu, serta ditawarkan dengan servis percuma selama lima tahun (secara berselang-seli, hanya untuk kos buruh).

Bagi 3,000 pelanggan terawal, Chery Malaysia turut akan memberikan waranti tambahan untuk enjin selama 10 tahun atau 1 juta km yang mana sampai dulu. Untuk pelanggan selepas itu, waranti enjin yang diberikan adalah sama dengan waranti kenderaan iaitu 7 tahun/150,000 km. Namun pelanggan yang mahukan waranti enjin 10 tahun/1 juta km berkenaan boleh membelinya dengan bayaran tambahan RM2,000.

Chery Tiggo 8 Pro 2023 rasmi di Malaysia – RM160k, SUV 7-tempat duduk, 2.0T berkuasa 250 hp/390 Nm

Model sebenar untuk pasaran Malaysia ini menerima Tiggo 8 yang dikemaskini, berbeza dari versi yang dipratonton kepada media pada Oktober tahun lalu. Ia kini menampilkan gril “galaxy” baharu pada bahagian muka, manakala di belakang ia hadir dengan lampu bar LED yang merentangi sepenuhnya bersama lampu brek ketiga berbentuk-T.

Tiggo 8 Pro ini juga diberikan ciri standard lain termasuk lampu hadapan LED automatik bersama lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, serta set roda juga dipertingkat dengan rim 19-inci, berbanding hanya 18-inci yang ditunjuk sebelum ini.

Di China, model ini digelar sebagai Chery Tiggo 8 Pro Max, namun untuk pasaran Malaysia perkataan “Max” digugurkan untuk nama yang lebih ringkas. Ia turut diberikan lencana 390T (merujuk kepada jumlah tork yang dihasilkan oleh enjin) pada pintu tailgate belakang.

Chery Tiggo 8 Pro 2023 rasmi di Malaysia – RM160k, SUV 7-tempat duduk, 2.0T berkuasa 250 hp/390 Nm

Bahagian dalam Tiggo 8 ini juga dilihat menerima perincian yang agak mewah dengan inspirasi rekaan ala-Mercedes Benz. Ia menerima papan pemuka dengan elemen melintang, bersama skrin gergasi berkembar dengan saiz 24.6-inci secara keseluruhan untuk sistem infotainmen dan paparan instrumen digital penuh.

Pengaruh Mercedes turut boleh dilihat pada suis-suis kawalan, kemasan kayu pada papan pemuka dan juga gril pembesar suara dengan gaya Burmester pada pintu jalur LED untuk lampu suasana kabin dan juga corak balutan kulit pada tempat duduk. Ia juga menerima roda stereng baharu, menampilkan tulisan ‘Chery’ bagi menggantikan logo rasmi serta diberikan lapan-pembesar suara dari Sony dan sembilan beg-udara.

Antara perincian lain yang turut dibekalkan untuk Tiggo 8 Pro pasaran Malaysia ini termasuk brek parking elektonik bersama fungsi auto-hold, lampu selamat datang bersama lampu suasana kabin pelbagai warna, tempat duduk hadapan larasan elektrik dengan pemanas/liang udara, fungsi memori pada tempat duduk pemandu, pendingin hawa automatik dua-zon dengan liang kabin belakang, pintu tailgate berkuasa, bumbung suria panaromik elektrik, pengecas tanpa wayar serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Untuk enjin, Tiggo kini adalah antara model yang paling berkuasa dalam kelasnya – dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api penuh (T-GDI) menghasilkan 250 hp dan tork maksima 390 Nm. Kuasa dari enjin berkenaan hanya disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, serta diberikan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.

Bagi kelengkapan keselamatan pula, model ini datang dengan sistem bantuan pemanduan termaju penuh yang memberikan fungsi termasuk amaran keluar dan pengekal lorong, pengesan titik buta, amaran buka pintu, amaran lintasan trafik belakang, cruise control adaptif, amaran pelanggaran hadapan dan brek kecemasan automatik.

Ia juga dilengkapi dengan sistem kamera 540 darjah yang bukan sahaja memberikan pantauan sekeliling kereta, malah turut dilengkapi dengan kamera di bawah lantai kenderaan.

GALERI: Brosur rasmi Chery Tiggo 8 Pro 2023 pasaran Malaysia

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required