Kia sahkan kerjasama dengan Bermaz Auto di M’sia – bakal hasilkan model CKD SUV Seltos & MPV Carnival

Kia sahkan kerjasama dengan Bermaz Auto di M’sia – bakal hasilkan model CKD SUV Seltos & MPV Carnival

Selepas pelbagai spekulasi, kini sah Kia Motors memilih Bermaz Auto (BAuto) untuk meneruskan perniagaan mereka di Malaysia selepas dilepaskan oleh Naza Group akhir tahun lalu. Kini, Kia dan Bermaz Auto telah mewujudkan satu syarikat kerjasama baharu yang dikenali sebagai Kia Malaysia Sdn Bhd (KMSB), dan bakal menjalankan operasi pemasangan tempatan (CKD) model-model Kia di Malaysia.

Sebagai permulaan, tiga model akan dipasang secara CKD untuk pasaran Malaysia. SUV Kia Seltos dan MPV Kia Carnival telah disahkan untuk projek awalan ini, tetapi model ketiga akan diumumkan kemudian. Kereta-kereta yang dipasang di Malaysia bukan hanya untuk pasaran tempatan, kerana Kia mahu KMSB bertindak sebagai hab produksi serantau untuk pasaran ASEAN dan pasaran lain yang berpotensi.

Dalam masa yang sama, Kia turut melantik anak syarikat BAuto iaitu Dinamikjaya Motors untuk menjadi pengedar baru kenderaan Kia di Malaysia bagi menggantikan Naza Kia. Dinamikjaya akan menjual model-model Kia tidak kira dalam versi CKD atau CBU, serta mengendalikan servis selepas jualan jenama tersebut di Malaysia.

“Selepas berberapa bulan mencari rakan kongsi yang betul, Kia gembira untuk masuk ke Kia JV dan pengedaran Kia bersama BAuto. Dengan kebolehan BAuto yang sudah terbukti dalam kejayaannya membina jenama automotif di Malaysia dan Filipina serta pengalaman mereka dalam pengilangan automotif, kami percaya kami telah meletakkan jenama Kia kepada tangan yang baik di bawah kepimpinan yang berkebolehan dari pengerusi eksekutifnya Dato Seri Ben Yeoh,” kata Tae Hun (Ted) Lee, presiden dan CEO Kia Asia Pasifik.

“Kenderaan jenama Kia adalah terkenal kerana rupanya yang bergaya, dibekalkan dengan ciri-ciri pintar, facelift yang sentiasa bertukar dan pelancaran-pelancaran baru yang sentiasa memastikan pembeli berpotensi teruja terhadap produknya. Kia JV dan pengedaran Kia akan menggunakan perniagaan kumpulan automotif sedia ada kami dan kami melihat kehadapan untuk kerjasama yang berjaya bersama Kia.” kata Datuk Seri Ben Yeoh, pengerusi eksekutif BAuto.

Perkembangan ini datang hanya sejurus selepas jenama Peugeot diserahkan kepada Berjaya Auto Alliance Sdn Bhd (BAASB), iaitu syarikat kerjasama antara Berjaya Corp dan BAuto setelah jenama Perancis tersebut turut dilepaskan oleh Naza Group. Berjaya Corp mempunyai 51% kepentingan dalam BAASB, manakala BAuto pula memegang saham sebanyak 21%. Sebelum kerjasama-kerjasama ini berlangsung, BAuto merupakan syarikat yang memegang dan menaikkan jenama Mazda di Malaysia buat masa sekarang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required