Berjaya dan Bermaz sah ambil alih jenama Peugeot di M’sia dari Naza, jualan Citroen dan DS berakhir di sini

Berjaya dan Bermaz sah ambil alih jenama Peugeot di M’sia dari Naza, jualan Citroen dan DS berakhir di sini

Pemilik jenama automotif Perancis – Peugeot, Citroen dan DS – iaitu Groupe PSA telah pun mengumumkan langkah yang diambil setelah Naza Group melepaskan hak pengedaran tiga jenama tersebut di Malaysia; kini jenama Peugeot diserahkan kepada Berjaya Auto Alliance Sdn Bhd (BAASB), manakala Citroen dan DS pula nampaknya tidak lagi berada dalam pasaran tempatan.

BAASB adalah syarikat yang diwujudkan dengan dua pemegang saham terbesarnya adalah Berjaya Corporation dengan 51%, dan juga pengedar jenama Mazda di Malaysia iaitu Bermaz Auto dengan pegangan saham 20%.

Menurut PSA, langkah ini membolehkan strategi Peugeot terus berkembang di Malaysia. Syarikat berkenaan kini sedang merancang untuk melancarkan pelbagai model baharu termasuk Peugeot 2008 terkini, serta mengesahkan Malaysia masih menjadi hab eksportnya untuk rantau Asia Tenggara.

“Kami mensasarkan untuk terus merevolusikan pengalaman pelanggan bersama dengan rakan kerjasama baharu kami, BAASB dan mengutamakan komitmen kami kepada pelanggan menerusi servis jualan dan selepas jualan yang cemerlang,” kata naib presiden Groupe PSA untuk Asia Tenggara, Laurence Noel.

“Kolobrasi baharu ini akan melengkapkan kewujudan kumpulan kami dalam perniagaan automotif, iaitu HR Owen dan Berjaya China Motor. Kami percaya kerjasama antara BerjayaCorp, Bermaz dan Groupe PSA akan membawa manfaat sinergi positif untuk semua pihak,” kata CEO BerjayaCorp, Datuk Sri Robin Tan Yeong Chin.

“Kami rasa terhormat apabila Groupe PSA dan BerjayaCorp mengiktiraf kebolehan dan kepakaran Bermaz Group dalam industri automobil dan gembira untuk menyertai kolobrasi baharu ini, yang dijangka akan memberikan sumbangan positif terhadap asas pendapatan masa hadapan kami,” kata pengerusi eksekutif Bermaz, Datuk Seri Ben Yeoh.

Kerjasama ini walau bagaimanapun tidak membawa sekali jenama Citroen dan divisi lebih premiumnya iaitu DS yang sebelum ini turut diuruskan oleh Naza Group untuk pasaran Malaysia. Buat masa sekarang, konsortium tempatan hanya mempunyai hak untuk menyediakan servis selepas jualan dan juga alat ganti. Ini menandakan berakhirnya jualan kereta baharu untuk dua jenama Perancis ini di Malaysia buat masa sekarang.

Awal bulan lalu Naza Group mengumumkan bahawa mereka kini sedang menstrukturkan kembali perniagaan mereka dan melepaskan tiga jenama Perancis berkenaan dan juga satu lagi jenama Korea iaitu Kia. Masih lagi belum jelas adakah BAASB turut akan mengambil alih Kia, namun difahamkan bahawa Bermaz kini sedang menjadi entiti utama bagi rundingan mendapatkan hak ke atas jenama Korea tersebut di Malaysia.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Kelawarman on Dec 02, 2020 at 5:41 pm

    Naza leaving is good news for Peugeot and many Peugeot owners.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 1
 

Add a comment

required

required