Naza sah lepaskan jenama Kia dan Peugeot

Naza sah lepaskan jenama Kia dan Peugeot

Khabar angin yang bertiup kencang sebelum ini mengatakan bahawa Naza Group akan melepaskan dua jenama di bawah divisi automotifnya iaitu Kia dan Peugeot nampaknya benar-benar berlaku. Perkara ini disebut sendiri oleh CEO Naza Corp Holding SM Nasarudin SM Nasimuddin dalam satu temuramah oleh akhbar The Edge baru-baru ini.

Dalam temuramah berkenaan, Nasarudin menyatakan bahawa keputusan untuk menjual perniagaan Kia dan Peugeot tersebut adalah salah satu rancangan untuk menyusun semula model perniagaan mereka kearah kelestarian yang lebih baik. Rancangan ini telah dibuat olehnya sendiri bersama ahli keluarga lain yang juga pemegang saham, serta dinasihatkan oleh jawatankuasa transformasi dan juga firma perakaunan penting.

“Kumpulan ini diasaskan dari perniagaan automotif, tetapi apabila kami terus mara, [industri auto] kini diselia lebih ketat; ia memerlukan banyak pelaburan. Jika saya melabur RM60 juta untuk membangunkan model CKD (pemasangan tempatan), adakah saya akan mendapat keuntungan, saya pun tidak tahu. Ada banyak ketidaktentuan dalam pasaran, dan prinsipal kami sentisa mahu kami melabur. Jadi untuk adil kepada kedua-dua belah pihak, kami beritahu mereka bahawa kami tidak mahu lagi melakukan ini,” jelas Nasarudin.

Beliau turut menyatakan bahawa pandemik Covid-19 adalah titik tolak untuk penyusunan semula perniagaan kumpulan ini, kerana ia memberikan peluang bagi “menilai semula kumpulan dan membuat keputusan penting untuk terus kehadapan.” Pandemik ini telah meninggalkan impak yang sigifikant kepada industri automotif, dengan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menetapkan kembali anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) kepada hanya 407,000 unit berbanding 607,000 unit pada awal tahun ini.

Naza sah lepaskan jenama Kia dan Peugeot

Sudah tentu pandemik ini turut memberikan kesan kepada jualan model Kia dan Peugeot di Malaysia. Berdasarkan data jualan terkini MAA, untuk sembilan bulan pertama 2020, Kia hanya menjual sebanyak 635 unit manakala Peugeot pula hanya 856 unit. Berbanding tempoh sama tahun lalu, Kia berjaya menjual sebanyak 2,890 unit dan Peugeot pula menjual sebanyak 1,526 unit.

Pada 2019, secara keseluruhan Kia berjaya menjual sebanyak 3,432 unit, manakala Peugeot pula menjual sebanyak 1,897 unit. Angka tersebut agak kontra dengan rekod pada 2015 di mana sebanyak 4,674 Kia terjual dan Peugeot pula menjual sebanyak 2,986 unit – menunjukkan angka jualan yang semakin merudum dalam tempoh berberapa tahun walaupun tanpa kehadiran pandemik.

Walau bagaimanapun, angka jualan Peugeot menunjukkan peningkatan pada 2017, manakala Kia turut menerima manfaat ketika ‘cuti cukai’ GST pada 2018.

Dikhabarkan ada berberapa pihak yang sudahpun berminat mengambilalih dua jenama dari Korea dan Perancis berkenaan selepas Naza melepaskan kedua-duanya. Laporan sebelum ini menyebut bahawa Bermaz Auto (BAuto) yang kini menguruskan jenama Mazda di Malaysia antara yang paling berminat terhadap peluang ini.

Naza sah lepaskan jenama Kia dan Peugeot

“BAuto kini sedang dalam perbincangan dengan berberapa pihak, tetapi prinsipal juga sedang berbincang dengan pelbagai pihak lain. Antaranya adalah Sime Darby Motors dan juga DRB-Hicom,” kata satu sumber kepada akhbar berkenaan.

Walau bagaimanapun, CEO Sime Darby Datuk Jeffri Salim Davidson secara terbuka menyatakan bahawa pihaknya tidak berminat untuk mengambil alih perniagaan Kia dan Peugeot di Malaysia. “Kami tidak berminat [untuk mengambil alih] francais pengedaran Kia dan Peugoet di Malaysia. Kami tak mahu. Tapi kami sedang bekerjasama dengan Bermaz Auto untuk memasang kereta Kia secara tempatan di kilang kami di Kulim, Kedah,” jelasnya.

Sime Darby kini memiliki saham majoriti dalam kilang di Kulim, yang memasang BMW, Mazda, MINI dan Hyundai. Kilang berkenaan dioperasikan oleh Inokom Corp, yang juga dimiliki bersama oleh BAuto (29%), Hyundai Motor Korea Utara (15%) dan juga Hyundai Sime Darby (5%).

Apabila ditanya apa perasaan berkenaan kekurangan pendapatan dari divisi automotif Naza Group selepas melepaskan francais Kia dan Peugeot, Nasarudin menyatakan bahawa mereka juga kini sedang berbincang dengan berberapa jenama lain. “Satu atau dua jenama mahu masuk ke pasaran, jadi kami mahu kembali ke asas perniagaan,” katanya.

Naza sah lepaskan jenama Kia dan Peugeot

“Kami ada sejarah yang panjang bersama Kia dan Peugeot. Kami agak beremosi untuk berpisah dengan mereka, tetapi kami mempunyai sebab di mana, untuk adil kepada kedua-dua pihak, kami tidak merasakan nilai dalam melabur dan kami tidak nampak pulangan yang kami mahu,” tambahnya.

Naza Group turut mengendalikan jenama berkelas tinggi iaitu Ferrari dan Maserati, dan Nasarudin mengesahkan bahawa kedua-dua jenama mewah Itali tersebut akan kekal di bawah portfolio kumpulan automotif berkenaan. “Itu akan kami kekalkan. Kedua-duanya agak baik, sangat baik untuk kami, dan itu adalah juga profil yang kami mahu kekalkan,” katanya.

Jenama lain yang turut berada di bawah kumpulan automotif Naza Group termasuk Mercedes-Benz (NZ Wheels), Citroen dan DS (Naza Euro Motors), Ducati (Next Bike) dan Indian Motorcycle (Harmony Fabolous).

Penglibatan Naza Group dalam industri automotif bukan sekadar jualan konsumer, ia juga mempunyai konsesi dengan pembekal kenderaan kerajaan, seperti yang diumumkan pada awal tahun ini. “DNA Naza Group adalah automotif, jadi walaupun kami berpisah dengan Kia atau Peugeot, ketika ia menghasilkan keuntungan yang besar kepada kumpulan, kami masih berada dalam perniagaan automotif, lebih besar dan lebih kuat dalam lapangan lain,” kata Nasarudin.

Naza Group turut mempunyai kepentingan dalam Naza Automotive Manufacturing (NAM), yang mengoperasikan kilang pemasangan di Gurun, Kedah dengan kapasiti pengeluaran tahuan sebanyak 50,000 unit dan ia telah dibangunkan dengan kos RM700 juta.

Naza sah lepaskan jenama Kia dan Peugeot

Sebelum ini pada Februari 2018, PSA Group telah mengambil alih kepentingan majoriti 56% dalam NAM, sebagai salah satu rancangan bagi menjadikan Malaysia sebagai hab eksport untuk pasaran ASEAN. Dengan keputusan Naza Group untuk melepaskan Kia dan Peugeot ini, ada lagi persoalan lain timbul khususnya apa yang akan terjadi pada NAM, yang berkemungkinan akan kekurangan produksi berbanding kapasiti sebenarnya.

Menurut data dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), PSA Group kini mempunyai ekuiti lebih besar dalam NAM dengan pegangan sebanyak 61.4%, dengan kepentingan Naza Group berkurang kepada hanya 38.6%. Pada akhir 2018, NAM mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak 1.69 juta dari pendapatan berjumlah RM56.92 juta.

Menurut Nasarudin, keuntungan pada tahun-tahun berikutnya adalah jauh lebih rendah daripada 2018 kerana margin tipis dan situasi yang mencabar, di mana Kumpulan Naza tidak dapat membuat banyak keputusan penting. “Margin adalah terhad, malah penentuan harga juga ditentukan prinsipal, jadi ada banyak faktor risiko,” jelasnya. Ini mungkin akan menyebabkan NAM turut akan dijual seperti Kia dan Peugeot.

“Sasaran saya adalah untuk menyiapkan keseluruhan proses transformasi ini pada Disember tahun ini, dan [mahu] sehingga suku pertama tahun hadapan untuk benar-benar menentukan halatuju kehadapan untuk kumpulan. Kami perlu meneliti apa strategi pelaburan untuk kumpulan maju kehadapan. Dengan semua pelupusan yang telah dibuat ini, kami perlu menjadi selektif bagaimana kami mahu membawa kumpulan kehadapan,” simpul Nasarudin.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Harap servis lepas juala Peugeot lebih baik lepas ni. Sayang, model cantik, features bagus, harga pun tak jauh dengan jenama Jepun tapi imej jenama di Malaysia teruk

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required