Kia Seltos dilancarkan di Malaysia — varian EX dan GT-Line, 1.6L NA, 123 PS/151 Nm, dari RM116-RM134k

Kia Seltos dilancarkan di Malaysia — varian EX dan GT-Line, 1.6L NA, 123 PS/151 Nm, dari RM116-RM134k

Setelah beberapa ketika ditunjuk dan kemudiannya dibuka untuk tempahan pada September 2020, akhirnya model SUV kompak segmen B Kia Seltos dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Seltos adalah pesaing terbaru bagi model-model sedia ada dalam pasaran seperti Honda HR-V, Toyota C-HR dan Mazda CX-3, dan diposisikan di bawah Sportage dalam barisan model Kia sendiri.

Untuk pasaran Malaysia, Kia Seltos dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) dan hadir dengan dua varian berbeza iaitu model asas Seltos EX dan varian tertinggi Seltos GT-Line. Kedua-dua varian ini masing-masing dijual pada harga RM115,888 (EX) dan RM133,888 (GT-Line).

Pasaran Malaysia tidak menerima varian yang dijana oleh enjin 2.0 liter NA dan 1.6 liter turbo; yang kita terima adalah versi enjin Gamma 1.6 liter MPI NA, berkuasa 123 PS pada takat 6,300 rpm dan tork maksima 150.7 Nm pada takat 4,850 rpm.

Kia Seltos dilancarkan di Malaysia — varian EX dan GT-Line, 1.6L NA, 123 PS/151 Nm, dari RM116-RM134k

Tiada pilihan bagi sistem pacuan semua roda ditawarkan di sini, dan kuasa dari enjin hanya dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear enam-kelajuan automatik. Kia Seltos mempunyai ukuran dimensi 4,315 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,645 mm tinggi serta jarak roda 2,610 mm. Jadi jika dibandingkan dengan Honda HR-V, ia 19 mm lebih pendek (4,334 mm), 28 mm lebih lebar (1,772 mm) dan 40 mm lebih tinggi (1,605 mm), manakala jarak roda antara kedua-dua model ini pula adalah sama.

Seltos diberikan muka dengan gril “hidung harimau” bersaiz besar dengan lampu hadapan dua baris yang unik. Model asas EX hadir standard dengan lampu hadapan automatik jenis projektor disertakan lampu nyalaan siang LED binaan dalam, bersama gril dalam kemasan hitam biasa, dan juga skid plate kemasan perak.

Manakala untuk versi tertinggi GT-Line, ia hadir dengan lampu hadapan LED penuh, jalur lampu LED sambungan pada gril, lampu kabus LED serta gril dalam kemasan hitam berkilat. Model ini juga diberikan skid plate serta trim tambahan pada bampar belakang dalam kemasan krom satin, kemasan sekeliling pintu krom serta serlahan jalur merah pada bahagian bawah pintu, bampar hadapan dan belakang.

Kia Seltos dilancarkan di Malaysia — varian EX dan GT-Line, 1.6L NA, 123 PS/151 Nm, dari RM116-RM134k

Untuk warna badan, kedua-dua varian hadir dengan bumbung berwarna hitam dan boleh dipilih dengan padanan warna utama Glacier White Pearl dan Gravity Grey. Bagi warna Intense Red pula, ia hanya ditawarkan untuk model EX manakala warna Intelligency Blue hanya untuk varian GT-Line.

Kedua-dua varian ini juga hadir standard dengan landasan bumbung yang berfungsi, serta rim aloi 17-inci dengan tayar 215/60R17. Namun, rekaan rim untuk kedua-duanya berbeza — GT-Line diberikan kemasan lebih gelap bersama penutup tengah dengan kemasan merah sekeliling dengan angkup brek yang juga berwarna merah.

Di bahagian dalaman, semua varian hadir standard dengan tempat duduk balutan kulit, stereng rata di bawah balutan kulit dengan suis pelbagai fungsi, cermin pandang belakang chromic automatik, brek tangan manual, kemasan-kemasan hitam berkilat, liang pendingin hawa kabin belakang, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin dan juga sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan-inci bersama sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Kia Seltos dilancarkan di Malaysia — varian EX dan GT-Line, 1.6L NA, 123 PS/151 Nm, dari RM116-RM134k

Pada sebelah tuil penukar gear, kedua-dua varian Seltos diberikan suis dail untuk memilih mod pemanduan — Normal, Eco, Sport — dan juga mod untuk Traction Control bagi menyesuaikan karekter kuasa yang dihantar ke roda dengan permukaan jalan dengan pilihan Snow, Mud atau Sand.

Semua varian Seltos juga hadir standard dengan lampu Sound Mood, iaitu lampu pelbagai warna yang diletakkan pada pembesar suara hadapan yang akan menyala mengikut alunan muzik pada sistem audio dan juga tema yang dipilih sendiri oleh pengguna.

Bagi membezakan penawaran antara varian, model EX diberikan sistem pendingin hawa manual dan juga paparan pelbagai info dengan skrin TFT LCD supervision bersaiz 3.5 inci yang terletak pada bahagian tengah panel meter analog. Manakala model GT-Line pula, ia hadir dengan tambahan sistem pendingin hawa automatik, panel LFT LCD lebih besar bersaiz tujuh-inci, head-up display, tempat duduk pemandu larasan elektrik lapan-hala, tempat duduk hadapan dengan liang udara pendingin hawa, sistem pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi dan juga set pedal aloi.

Kia Seltos dilancarkan di Malaysia — varian EX dan GT-Line, 1.6L NA, 123 PS/151 Nm, dari RM116-RM134k

Varian GT-Line juga menerima rekaan kemasan tempat duduk yang berbeza, serta diberikan sulaman ‘GT-Line’ pada perehat badan dan juga serlahan jahitan benang merah yang turut hadir pada bahagian lain seperti kemasan pintu, perehat tangan hadapan dan juga roda stereng.

Untuk bantuan pemanduan, semua varian Seltos hadir standard dengan sistem Cruise Control konvensional, penderia parkir belakang dan juga kamera undur. Tambahan untuk varian GT-Line, ia diberikan sekali dengan amaran parkir hadapan. Manakala untuk sistem keselamatan pula kedua-dua varian menerima kelengkapan yang sama terdiri dari enam-beg udara, cagak ISOFIX, sistem brek ABS, sistem pengurusan kestabilan kenderaan (VSM), sistem kawalan kestabilan elektronik (ESC), sistem Traction Control (TCS) dan juga bantuan mula mendaki (HAC).

GALERI: Kia Seltos GT-Line

GALERI: Kia Seltos EX

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required