Awal Jun lalu, Honda Malaysia mengumumkan pengenalan warna kemasan baru untuk bahagian dalaman bagi HR-V RS, yang kini ditawarkan dengan upholstery kulit berwarna coklat. Lebih menarik, tiada tambahan harga dikenakan; ia kekal dengan harga tanpa SST sehingga 31 Disember ini RM118,581.81 — tidak termasuk insurans.

Balutan kulit berkenaan bukan hanya diberikan pada semua tempat duduk sahaja, sebaliknya meliputi kemasan kulit pada konsol tengah, panel papan pemuka dan juga pada panel pintu. Tiada perubahan pilihan untuk warna badan luar – anda masih ditawarkan dengan tiga warna berbeza iaitu Red Pearl, Modern Steel Metallic dan White Orchid Pearl (ada kos tambahan untuk warna ini).

Honda HR-V RS untuk pasaran Malaysia dijana oleh enjin 1.8 liter SOHC i-VTEC yang menghasilkan 142 PS pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 172 Nm pada takat 4,300 rpm. Kuasa dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik. Selain rupa lebih sporty, model tertinggi RS ini juga menerima sistem stereng dengan nisbah gear bervariasi (VGR) yang tidak ditawarkan pada varian lain.

Senarai kelengkapan lain masih kekal sama, termasuk rim aloi 18-inci, pakej penggayaan RS, lampu hadapan dan lampu kabus LED, skrin Audio Display tujuh-inci, sistem pendingin hawa automatik, brek parkir elektronik, dan juga tempat duduk pemandu larasan elektrik lapan-hala.

Untuk keselamatan, Honda HR-V RS ini dibekalkan dengan enam-beg udara, sistem kestabilan elektronik (VSA), bantuan mula mendaki (HSA), isyarat berhenti kecemasan (ESS) dan juga kamera pemantau titik buta Honda LaneWatch.