Kia Seltos kini dibuka untuk pra-tempahan eksklusif – dua varian, enjin Gamma 1.6L MPI; 123 PS/151 Nm

Kia Seltos kini dibuka untuk pra-tempahan eksklusif – dua varian, enjin Gamma 1.6L MPI; 123 PS/151 Nm

Naza Kia Malaysia telah mengumumkan SUV Seltos telah pun mula dibuka untuk pra-tempahan eksklusif untuk pasaran tempatan. Biar pun masih berahsia mengenai harga yang bakal ditawarkan, namun difahamkan SUV ini memang sedang menanti detik yang sesuai untuk dilancarkan secara rasmi dalam tempoh masa terdekat ini.

Walau bagaimana pun, seperti sedikit perincian yang telah didedahkan sebelum ini, Seltos akan ditawarkan dengan dua varian iaitu model asas EX dan GT Line sebagai varian yang lebih tinggi dan mempunyai penampilan yang lebih sporty. Antara perbezaan bagi dua varian ini adalah bampar, rim dan kemasan tempat duduk.

Bagi penjana kuasanya, menerusi info yang dikongsikan dari laman web Kia Malaysia, hanya satu pilihan enjin yang ditawarkan iaitu unit Gamma 1.6 MPI, dan ia dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan yang menjana kuasa 123 PS dan 151 Nm tork, dengan pacuannya disalurkan ke roda hadapan.

Menerusi foto yang pernah dipaparkan sebelum ini, kelihatan Seltos ini menerima padanan rim 17-inci, lampu utama LED, dua corong ekzos, bumbung panoramik dan tempat duduk kulit tiruan bagi varian GT Line.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan skrin infotainmen lapan-inci, panel instrumen TFT LCD tujuh-inci, butang kawalan pada roda stereng, pengecas tanpa wayar, HUD dan tempat duduk yang boleh dilipat 60:40.

Bagi yang berminat untuk menempahnya, bolehlah menyemak senarai bilik pameran Kia terpilih menerusi laman web rasmi Kia Malaysia. Kedua-dua varian ini juga akan ditawarkan dengan waranti pengeluar selama lima-tahun.

Perincian penuh mengenai adik kepada SUV Sportage ini hanya akan dapat diketahui apabila Kia Malaysia melancarkannya. Agak-agak berapakah harga yang bakal ditetapkan? Dan adakan Seltos ini boleh memberi saingan sengit bagi SUV Proton X50 yang juga akan dilancarkan dalam masa terdekat ini?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required