Toyota Alphard 2.4T Exec Lounge, Vellfire 2.5L 2023 dibuka untuk tempahan di M’sia, jangkaan dari RM438k

Toyota Alphard 2.4T Exec Lounge, Vellfire 2.5L 2023 dibuka untuk tempahan di M’sia, jangkaan dari RM438k

UMW Toyota kini secara rasmi mengumumkan tempahan untuk Toyota Alphard dan Vellfire 2023 sudah dibuka. Model ini baru sahaja didedahkan kepada dunia bulan lalu dan ia dibina atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA) versi GA-K yang menjadikannya lebih tegap berbanding model generasi sebelumnya.

Sama seperti senarai harga yang terdedah awal baru-baru ini, Alphard 2023 ditawarkan di Malaysia dalam versi Executive Lounge dengan enjin empat silinder 1.4L turbo dan transmisi automatik lapan kelajuan. Meskipun tidak dinyatakan secara jelas dalam siaran akhbar, enjin ini besar kemungkinan adalah unit T24A-FTS dengan kuasa 279 PS (275 hp atau 205 kW) dan tork 430 Nm.

Perlu diketahui bahawa Alphard yang kita terima adalah berbeza dengan apa yang ditawarkan di Jepun. Di sana, Alphard tidak datang dengan enjin turbo, dan pilihan yang disediakan hanyalah enjin NA ataupun hibrid.

Toyota Alphard 2.4T Exec Lounge, Vellfire 2.5L 2023 dibuka untuk tempahan di M’sia, jangkaan dari RM438k

Pergi pula kepada Vellfire, pasaran Malaysia menerima versi dengan enjin 2.5L dan transmisi Super CVT-i dengan gear virtual tujuh kelajuan. Tidak dinyatakan sama ada ini adalah enjin NA ataupun hibrid, tetapi MPV yang lebih sporty ini datang dengan Front Performance Brace yang dikatakan dapat membantu penyampaian kuasa lebih cekap sambil memastikan pengendalian serta stabiliti yang mantap.

Antara kelengkapan standard yang dinyatakan terdapat pada kedua-dua MPV baru ini adalah termasuk lampu utama LED penuh dengan lampu penunjuk arah sequential, tempat duduk balutan kulit, kemasan kayu di dalam, bumbung panoramik penuh, lampu suasana 64 warna serta lampu membaca.

Di hadapan pemandu terdapat panel instrumen digital 12.3 inci serta head-up display, sementara perincian lain yang dapat membantu keselesaan penumpang adalah seperti tempat duduk yang mempunyai liang udara bersama fungsi penyejuk dan pemanas.

Alphard Executive Lounge yang datang dengan tetapan tempat duduk 2-2-3 dijadikan lebih mewah dengan terdapat fungsi mengurut pada tempat duduk kapten baris kedua. Tersedia juga sistem Hybrid Long Slide yang membolehkan tempat duduk baris kedua dilungsur sehingga 480 mm (secara elektrik atau manual pada Alphard, manual pada Vellfire).

Pakej keselamatan Toyota Safety Sense diberikan secara standard pada Alphard dan Vellfire 2023 ini, dengan termasuk fungsi Dynamic Radar Cruise Control, Lane Departure Alert, Road Sign Assist, Adaptive High-beam System dan Autonomous Emergency Braking.

Berkenaan warna, UMWT menyediakan empat pilihan warna iaitu Platinum White Pearl, Precious Metal dan Black, manakala Precious Leo-Blond adalah eksklusif untuk Alphard dan memerlukan bayaran tambahan RM1,000. Berkenaan harga, kami hanya menerima harga jangkaan sahaja, iaitu RM538,000 untuk Alphard 2.4T Executive Lounge dan RM438,000 untuk Vellfire 2.5 (tidak termasuk insurans).

GALERI: Toyota Alphard dan Vellfire 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required