Toyota Vios 2023 didedahkan di Thailand – platform DNGA, bermula RM68k, ada Toyota Safety Sense

Toyota Vios 2023 didedahkan di Thailand – platform DNGA, bermula RM68k, ada Toyota Safety Sense

Seperti yang diumumkan dua minggu lalu, hari ini model generasi baharu Toyota Vios secara rasminya didedahkan di Thailand. Sama seperti sebelum ini, Vios terus dijual di Thailand menggunakan nama Yaris Ativ, iaitu model dalam versi enjin 1.2 liter bagi membolehkan ia menerima insentif kereta Eco Thai di pasaran berkenaan.

Model generasi keempat ini diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) iaitu platform yang berkait rapat dengan Perodua Ativa dan Alza 2022, bagi menggantikan platform model generasi ketiga yang telah digunakan sejak 2013. Ia menampilkan dimensi panjang keseluruhan 4,425 mm, lebar 1,740 mm, tinggi 1,480 mm dan jarak roda sejauh 2,620 mm.

Jadi berbanding model sebelumnya, sedan segmen-B generasi terkini ini adalah 17 mm lebih pendek, 10 mm lebih lebar dan 5 mm lebih rendah. Walaupun secara keseluruhan model baharu adalah sedikit lebih pendek, namun ia menampilkan jarak roda 70 mm lebih panjang yang tentunya memberi gambaran bahawa bahagian kabinnya dapat dihasilkan lebih luas.

Toyota Vios 2023 didedahkan di Thailand – platform DNGA, bermula RM68k, ada Toyota Safety Sense

Dari segi rupa, muka Vios baharu ini dilihat seperti Corolla Altis dalam skala lebih kecil, dengan menampilkan rekaan lampu LED hadapan bersama jalur LED nyalaan siang bina dalam dan gril atas yang hampir sama. Namun Vios diberikan gril bampar yang lebih tinggi bersama sepasang liang udara sisi unik dengan rekaan lima segi.

Manakala pada profil sisi, Vios generasi keempat ini jelas menggunakan rekaan garis bumbung yang sama seperti model konsep Daihatsu DN-F Sedan yang muncul pada 2017, menampilkan rupa seakan sebuah fastback empat pintu. Cermin sisi untuk model ini masih kekal diletakkan pada bahagian cermin tingkap dan bukan pada pintu. Ia juga diberikan garis badan sisi yang dilihat bersambung dari lampu hadapan melalui pembuka pintu dan berakhir pada lampu belakang.

Bahagian belakang Vios ini diberikan lampu LED dengan rekaan nipis dan bersegi, dan jika dilihat dari video teaser tempoh hari, lampu berkenaan turut menampilkan lampu isyarat membelok jenis sequential. Dengan garis bumbung yang direka seakan fastback, penutup but pada model generasi baharu ini juga dilihat lebih pendek dan sporty, namun ia direka lebih tinggi bagi memberikan ruang kargo yang besar.

Toyota Vios 2023 didedahkan di Thailand – platform DNGA, bermula RM68k, ada Toyota Safety Sense

Perumah nombor pendaftaran kekal diletak pada bahagian atas, manakala bampar model generasi baharu ini menerima liang udara palsu sisi yang seiras dengan bahagian hadapan, serta diberikan diffuser pada bahagian bawah dengan sirip yang agak menonjol.

Rekaan pada bahagian dalaman, terutamanya pada papan pemuka juga telah pun didedahkan pada teaser sebelum ini. Vios kini menerima papan pemuka dengan rekaan yang sangat minimalis, menampilkan skrin infotainmen berdiri sendiri di bahagian tengah (bersaiz sembilan-inci untuk varian-varian lebih tinggi), serta diberikan banyak material sentuhan lembut dan juga perapi-perapi kemasan perak yang nampak premium.

Secara keseluruhan, papan pemuka baharu ini menampilkan rekaan dengan elemen melintang, termasuk rekaan untuk liang pendingin hawa. Ia juga diberikan pad pada sebelah kanan konsol tengah, bagi ‘mengasingkan’ pemandu untuk rupa kokpit yang tertumpu kepada pemandu. Jika anda perhati dengan teliti, sedan dengan platform DNGA ini menerima roda stereng, paparan instrumen digital tujuh-inci dan tombol gear yang seiras dengan Perodua Alza dan Ativa. Malah rekaan elemen quilted pada perapi-perapi pada konsol gear Vios ini juga nampak seiras seperti elemen kemasan dalaman pada Ativa.

Selain itu, papan pemuka model generasi baharu tersebut turut diberikan kawalan pendingin hawa digital, butang untuk sistem penapis udara (PM2.5), brek parkir elektronik (dengan fungsi auto brake hold), dua suis untuk mengawal lampu suasana kabin dengan pilihan 64-warna, sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin.

Yaris Ativ pasaran Thailand ini dilihat turut ditawarkan dengan kabin dua tona merah-hitam dengan upholsteri merah bersama elemen quilted, serta menyokong hubungan Android Auto dan Apple CarPlay. Varian dengan upholsteri hitam keseluruhannya juga dilihat ditawarkan.

Untuk keselamatan, varian-varian lebih tinggi datang dengan pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense. Pakej tersebut memberikan fungsi termasuk sistem brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, amaran pergerakan kenderaan hadapan, cruise control adaptif untuk semua kelajuan, kawalan salah operasi pedal dan lampu tinggi automatik – kesemuanya kelihatan sepadan dengan sistem ASA 3.0 yang ditawarkan oleh Perodua untuk Alza 2022.

Seperti yang disebutkan tadi, Yaris Ativ pasaran Thailand ini terus dijana oleh enjin 1.2 liter NA Dual VVT-i berkuasa 94 PS pada takat 9,000 rpm dam tork maksima 110 Nm pada takat 4,400 rpm – peningkatan 2 hp/1 Nm berbanding model generasi sebelumnya. Ia digandingkan dengan kotak gear Super CVT-i bagi memacu roda hadapan.

Tiga mod pemanduan diberikan untuk unit rangkaian kuasa ini iaitu Eco, Normal dan Sport. Menurut Toyota, gandingan berkenaan membolehkan Yaris Ativ 2023 ini mencapai penggunaan bahan ap 23.3 km/l serta memenuhi standard emisi Euro 5.

Yaris Ativ 2023 ditawarkan dalam empat varian di Thailand, bermula dengan varian asas Sport dijual pada harga 539,000 baht (RM67,700), diikuti varian Smart berharga 584,000 baht (RM73,377), Premium berharga 659,000 baht (RM82,794) dan varian tertinggi Premium Luxury dijual pada harga 689,000 baht (RM86,563).

Toyota turut terus memperkenalkan aksesori untuk Yaris Ativ generasi baharu ini dalam pelbagai pakej. Ia termasuk pakej Lusso menampilkan skrit sisi dua-tona bersama spoiler belakang berharga 19,900 baht (RM2,500), pakej Chiaro yang hadir dengan banyak elemen krom berharga 8,690 baht (RM1,092), manakala pakej Presto menampilkan pelekat-pelekat sporty serta jalur dua-tona pula berharga 17,500 baht (RM2,198).

Untuk pasaran lain termasuk Malaysia, Vios berkemungkinan akan terus menerima enjin 1.5 liter. Namun dengan platform DNGA, ia tentunya tidak mempunyai masalah untuk dipadankan dengan enjin 1.0 liter turbo yang sama dengan Ativa bukan? Buat masa sekarang, apa pendapat anda berkenaan Vios baharu ini? Lebih menarik dari saingan utamanya, Honda City? Kongsikannya pada ruang komen di bawah mahupun di laman sosial kami.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required