Toyota Vios 1.2L dikemaskini di Thailand – RM68k hingga RM85k, rupa lebih segar, ada AEB dan LDA

Toyota Vios 1.2L dikemaskini di Thailand – RM68k hingga RM85k, rupa lebih segar, ada AEB dan LDA

Toyota Yaris Ativ, iaitu Vios dalam versi yang dijana enjin 1.2 liter di Thailand kini telah menerima kemaskini terbaharu dan masih ditawarkan dalam tiga varian berbeza iaitu Entry, Sport dan Premium.

Kemaskini ini menyaksikan rupa Yaris Ativ berkenaan sekali lagi menerima sedikit perubahan berbanding versi facelift yang dilancarkan pada tahun lalu. Pada bahagian muka, rekaan bampar diubah dengan diberikan kemasan liang sisi (turut menempatkan lampu sisi) yang jauh lebih besar dari sebelumnya.

Walau bagaimanapun, bentuk gril atas dan bawah serta kluster lampu hadapan masih lagi kelihatan sama. Model asas Entry diberikan lampu hadapan reflektor halogen, manakala varian Sport dan Sport Premium menerima lampu LED multi-reflektor bersama lampu nyalaan siang LED serta fungsi follow-me-home.

Ketiga-tiga varian Yaris Ativ tersebut menerima kemasan hitam berkilat pada gril dan perumah lampu kabus, manakala varian Sport Premium diberikan antena sirip yu yang berbeza dengan dua varian lebih rendah yang masih menggunakan antena biasa.

Yaris Ativ Entry (kiri) dan Sport (kanan)

Model Entry diberikan penutup cermin sisi warna badan, manakala Sport dan Sport Premium diberikan kemasan hitam berkilat pada bahagian sama, serta diberikan lampu isyarat membelok. Dua varian lebih tinggi itu juga didatangkan standard dengan skirt sisi dan belakang, cermin akustik dan penebat bunyi pada bonet.

Untuk roda, kesemua varian Yaris Ativ diberikan set rim 15-inci dengan tayar bersaiz 185/60R15. Namun model asas Entry hanya menerima rim besi dengan penutup hab plastik, manakala model Sport dan Sport Premium diberikan rim aloi kemasan dua tona dengan sedikit perbezaan antara kedua-duanya.

Manakala untuk bahagian kabin, model Entry hanya menerima upholsteri fabrik, berbeza dengan varian Sport yang diberikan upholsteri gandingan fabrik dan kulit buatan bersama serlahan jahitan benang kelabu. Model tertinggi Sport Premium pula diberikan upholsteri kulit sintetik sepenuhnya.

Bagi model asas Yaris Ativ Entry, ia datang dengan kelengkapan standard seperti paparan meter analog, serta pemain audio biasa dengan hubungan Aux dan Bluetooth bersama dua pembesar suara.

Untuk model Sport pula ia ditambah dengan cermin sisi boleh lipat elektrik, pendingin hawa automatik, meter Optitron bersama paparan pelbagai fungsi dan juga sistem hiburan dengan skrin sesentuh 6.7-inci hubungan Smart Device Link, Android Auto, Apple CarPlay bersama fungsi arahan suara serta empat pembesar suara.

Model tertinggi Sport Premium menerima tambahan perincian seperti skrin TFT 4.3-inci pada paparan meter Optitron, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, port USB untuk penumpang belakang dan juga enam pembesar suara untuk sistem audio.

Kesemua varian Yaris Ativ ini menerima kelengkapan keselamatan seperti tujuh beg udara dengan tempat duduk hadapan pengelak whiplash, kawalan kestabilan kenderaan (VSC), traction control, dan bantuan mula mendaki. Manakala varian tertinggi Sport Premium ditambah dengan Sistem Pra-pelanggaran (PCS) yang terdiri dari brek kecemasan automatik (AEB) dan Amaran Keluar Lorong (LDA).

Toyota Vios 1.2L dikemaskini di Thailand – RM68k hingga RM85k, rupa lebih segar, ada AEB dan LDA

Yaris Ativ ini merupakan model khas untuk pasaran Thailand – dihasilkan mengikut undang-undang Kereta Eko Thai yang diwujudkan. Undang-undang tersebut menetapkan syarat kapasiti enjin maksima untuk kelas berkenaan pada maksimum 1,200 cc, oleh itu ia dijana oleh enjin 3NR-FE berkuasa 92 PS dan tork maksima 109 Nm, berbeza dengan Vios sebenar yang dijana oleh enjin 1.5 liter. Enjin berkenaan kemudiannya dipadankan dengan kotak gear automatik Super CVT-i.

Harga untuk ketiga-tiga varian Yaris Ativ ini masih tidak berubah dimana ia dijual pada harga bermula 539,000 baht (RM67,784) untuk model asas Entry, 599,000 baht (RM75,318) untuk varian pertengahan Sport dan 674,000 baht (RM84,749) bagi model tertinggi Sport Premium.

Toyota Thailand juga menawarkan opsyen cat badan istimewa untuk Yaris Ativ Sport Premium iaitu Platinum White Pearl (+7,000 baht/RM880), Platinum White Pearl dengan bumbung hitam (+12,000 baht/RM1,508) serta Red Mica Metallic atau Grayish Blue Metallic dengan bumbung hitam (+5,000 baht/RM628).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required