Dilancarkan pada waktu yang sama jentera hangat Vios GR Sport dan GR Yaris diperkenalkan secara rasminya menerusi siaran digital malam tadi, kehadiran Vios 2021 bersama kembarnya, hatchback Yaris 2021, sudah bersedia memberikan cabaran buat pesaing dalam segmen masing-masing. Sudah pun berada di bilik pameran Toyota, malahan UMW Toyota (UMWT) juga telah membuka tempahan bagi sedan segmen-B ini sejak sebulan yang lalu.

Pencabar bagi model Honda City 2020 dan Nissan Almera Turbo 2020 ini hadir dengan tiga varian iaitu Vios 1.5J, Vios 1.5E dan Vios 1.5G. Dengan pengecualian cukai jualan sehingga 31 Disember ini, ia ditawarkan pada harga RM74,623 bagi varian asas 1.5J, diikuti dengan RM82,593 untuk 1.5E serta 1.5G pula berharga RM87,584. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans dan turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan.

Galeri foto ini membawakan varian tertinggi iaitu Vios 1.5G. Dengan penawaran harga yang paling tinggi, pastinya varian ini diberikan ciri dalaman dan luaran yang lebih lengkap serta bergaya. Ia turut ditampilkan dengan rekaan bahagian hadapannya yang dirombak semula dan diperkemaskinikan. Ini termasuk dengan rekaan bampar, gril dan juga aerokit yang agak mirip dengan rekaan Corolla dan Camry baharu.

Selain itu, daya tarikan lain yang ditonjolkan ialah dengan kehadiran lampu hadapan LED “triple bezel” baharu dengan fungsi ‘Follow-Me-Home’. Lampu nyalaan siang dan lampu kabus juga menggunakan unit LED.

Menambahkan lagi imej ranggi pada pandangan sisi, Vios 1.5G ini juga dipadankan dengan roda aloi 16-inci dengan balutan tayar 195/50R16. Bahagian belakangnya, lampu dan bamparnya tidak diberikan sebarang perubahan, malah unit lampu LED masih dikekalkan.

Dengan tambahan kos RM2,500, pelanggan juga boleh memilih kit aero yang ditawarkan secara pilihan, di mana ia ditambahkan dengan lips pada bampar hadapan dan belakang serta boot lid lip spoiler. Jika kit aero ini masih lagi ‘gagal’ menawan hati anda, boleh juga pilih pakej GR-S yang diinspirasikan dari model Vios GR-S yang berharga RM97.5k itu. Pakej ini didatangkan dengan gril GR Sport, suspensi talaan sport, kit aero spesifik GR-S, tempat duduk sport balutan kulit dan suede, rim aloi 17-inci dengan pertambahan kos RM7,700. Apa yang membezakan Vios anda itu dengan versi original GR-S ialah jentera prestasi tersebut menerima mod manual 10-kelajuan!

Menjengah bahagian kabin, tidak banyak perubahan yang dilakukan, masih lebih kurang sama macam model terdahulu. Ciri kelengkapan yang diberikan untuk varian 1.5G termasuklah kulit upholstery, roda stereng dan tombol gear balutankulit, sistem Display Audio tujuh-inci (dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay), enam pembesar suara, cermin pandang belakang electrochromic, tempat duduk belakang boleh dibaringkan dengan nisbah 60:40, kluster instrumen Optitron dengan paparan 4,2-inci, pendingin hawa automatik, kemasukan pintar dan butang penghidup enjin.

Lain-lain ciri yang turut diberikan termasuklah mod pemanduan Eco dan Sport, dua port pengecasan USB, pencahayaan iluminasi bahagian kaki dengan rona biru dan Sistem Telematik Kenderaan (VTS). Pengecas tanpa wayar pada bahagian storan perehat tangan pula didatangkan secara pilihan dengan kos tambahan RM490.

Untuk pasaran tempatan, Vios 2021 yang merupakan model pemasangan tempatan (CKD), masih kekal dengan varian Vios 1.5J, Vios 1.5E dan Vios 1.5G. Juga tiada perubahan mekanikal, ia masih menggunakan enjin 1.5L 2NR-FE empat-silinder sebaris, DOHC, 16-injap dengan Dual VVT-i dengan hamburan kuasa 107 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada 4,200 rpm. Turut digandingkan dengan transmisi CVT automatik tujuh-kelajuan.

Bagi aspek keselamatannya, ciri keselamatan standard yang diberikan termasuklah tujuh beg udara SRS, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), ABS dengan EBD, Bantuan Brek (BA), Isyarat Henti Kecemasan (ESS), Peringatan Tali Keledar Belakang, Kawalan Mula Mendaki (HAC) dan cagak Isofix.

Varian 1.5G turut menerima ciri keselamatan tambahan iaitu Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Brek Kecemasan Sendiri (AEB) dan Amaran Penukaran Lorong (LDA) yang boleh dinyahaktif sekiranya tidak diperlukan.

Selain itu, ia turut diberikan ciri baharu iaitu sistem Peninjau Pemandangan Panoramik (PVM) yang telah dinaik taraf kepada jenis 3D (sebelum ini hanya 2D). Ia dilengkapi juga oleh kamera belakang, penderia parkir, Peninjau Titik Buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik di Belakang (RCTA).

Toyota Vios 2021 masih ditawarkan dalam lima warna, di mana dua daripadanya adalah warna baharu. Warna Dark Blue Metallic, Red Mica Metallic dan Silver Metallic adalah warna-warna yang sudah sedia ada pada model asal, manakala warna putih Super White II digantikan dengan Platinum White Pearl. Namun untuk warna merah Red Mica Metallic telah digugurkan bagi digantikan dengan satu lagi warna cerah iaitu Orange Metallic.