Selepas dilancarkan secara digital semalam, hari ini UMW Toyota menjemput kami ke Ibu Pejabatnya di Shah Alam untuk membelek sepuas-puasnya hot-hatch yang paling ditunggu-tunggu tahun ini iaitu GR Yaris.

Walaupun saya antara yang bertuah kerana dapat melihat sendiri pendedahan sulung kereta ini untuk peringkat global di Tokyo Auto Salon 2020 Januari lalu, namun pada acara yang menampilkan Presiden Toyota, Akio Toyoda dan prinsipal pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team, Tommi Makinen tersebut agak sesak, dan kami tidak dibenarkan masuk ke kabin kereta tersebut.

Jadi, terima kasih UMW Toyota kerana memberikan peluang kepada kami pagi tadi untuk melihat, duduk dalam, berangan tekan klac dan tukar gear, serta meneliti ruang enjin dan but belakang jentera rali produksi jalan raya ini.

Toyota GR Yaris ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM299,000 dan hadir standard dengan Performance Pack; harga ini agak mengejutkan ramai orang kerana berberapa faktor. Dalam pasaran lain, GR Yaris ini dijual pada harga lebih kurang sama dengan Honda Civic Type R, malah di Jepun versi tertinggi GR Yaris ini sememangnya lebih mahal dari hot-hatch pacuan roda hadapan dari Honda berkenaan.

Manakala di Thailand, GR Yaris dijual pada harga 2.69 juta baht pada pasaran tersebut, atau RM363,596 dalam nilai matawang kita. Pada pasaran Malaysia sendiri, Honda Civic Type R dijual pada harga RM330,002, oleh itu ramai yang menjangkakan Toyota GR Yaris ini mungkin akan dijual pada harga RM350k.

Seperti yang diketahui, Toyota menghasilkan GR Yaris ini bukan hanya mahu menjualnya sebagai satu lagi model prestasi di bilik pameran bersama GR Supra dan Toyota 86. Kereta ini sebenarnya dihasilkan bagi membolehkan mereka membina jentera WRC yang lebih kompetitif pada masa hadapan, manakala sistem mekanikalnya pula adalah hasil apa yang Toyota belajar setelah terlibat semula dalam kejohanan berkenaan pada 2017, dengan bimbingan lagenda WRC, Tommi Makinen.

Walaupun diasaskan dari Yaris biasa pasaran Eropah (lain dengan Yaris ‘Janna Nick’ di Malaysia) dengan platform TNGA-B, model ini menampilkan pelbagai ciri bespoke yang diminta oleh Tommi Makinen. Ia hadir dengan badan tiga-pintu (berbanding lima-pintu pada model standard), bumbung belakang yang lebih rendah bagi tujuan aerodinamik, panel-panel badan lebih kuat dan ringan diperbuat dari aluminium serta bumbung karbon – ini memerlukan GR Yaris dipasang di kilang khas yang digelar GR Factory, terletak di kilang Motomachi, Toyota City.

Malah pada bahagian belakang, sistem torsion beam seperti Yaris standard tidak lagi digunakan, digantikan dengan suspensi belakang jenis double wishbone bagi membolehkan gandar sistem pacuan semua roda disesuaikan pada jentera rali jalan raya ini.

Punya serius Toyota terhadap pembangunan kereta ini, bateri GR Yaris tidak akan anda jumpa pada ruang enjin di hadapan, kerana ia diletakkan di bawah lantai ruang kargo di but belakang bagi memberikan nisbah agihan yang lebih baik. Kombo sistem suspensi lebih jitu, gandar bersama aci pacu sistem AWD dan juga bateri telah menyebabkan ruang but GR Yaris ini hanya berkapasiti 174 liter, berbanding Yaris Eropah standard dengan ruang sebesar 286 liter.

Toyota GR Yaris dijana oleh enjin 1.6 liter tiga-silinder turbo produksi paling berkuasa di dunia buat masa sekarang, namun model pasaran Malaysia ini menampilkan talaan sama seperti versi pasaran Eropah yang menghasilkan 261 PS dan tork maksima 360 Nm, berbeza dengan GR Yaris JDM yang menghasilkan 272 PS/370 Nm.

Ia hanya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dengan fungsi i-MT (memberikan fungsi heel & toe automatik), bagi memastikan ia dimiliki oleh mereka yang benar-benar suka memandu. Ia digandingkan dengan sistem pacuan semua roda GR-Four, dan dengan Performance Pack ia hadir dengan LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang.

Ini membolehkan ‘pocket rocket’ ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j. Ia turut dibekalkan dengan set klac pelbagai lapisan yang membolehkan agihan tork depan dan belakang bermula 60:40 untuk mod Normal, 30:70 untuk mod Sport dan 50:50 untuk mod Track.

Tiada brek parkir elektronik seperti Honda Civic Type R sebaliknya ia diberikan brek tangan manual yang membolehkan anda membuat aksi hand brake turn yang diperlukan oleh sebuah jentara rali. Malah ketika anda menarik brek tangan ini, agihan tork pada gandar belakang juga sebenarnya diputuskan bagi memudahkan anda memulakan aksi drift, dan ia disambung kembali apabila brek berkenaan diturunkan.

Selain dari LSD Torsen, Performance Pack tersebut turut hadir dengan sistem suspensi lebih keras yang fokus untuk pemanduan litar dan juga rim aloi BBS lebih ringan berdiameter 18-inci standard dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 225/40ZR18.

Manakala untuk brek, GR Yaris dibekalkan standard dengan cakera brek hadapan yang dilarik two-piece bersama angkup monoblok empat omboh, dan di belakang pula diberikan cakera yang juga dilarik bersama angkup dua-omboh.

GR Yaris ini mungkin tidak diberikan kit aero yang begitu agresif seperti Honda Civic Type R, namun setiap rekaan panel badan kereta ini mempunyai tujuan tertentu. Bampar hadapan kereta menampilkan liang pengambilan udara yang cukup besar, dan ia adalah liang sebenar dan bukan palsu seperti pada Civic Type R.

‘Mulut’ utama pada bahagian tengah bampar tersebut akan mengalirkan udara segar terus kepada unit intercooler yang kelihatan sedang tersengih di belakang gril. Manakala dua lagi liang udara pada setiap sisi gril utama itu pula mengalirkan udara terus ke sistem brek hadapan.

Untuk kelengkapan standard lain, GR Yaris pasaran Malaysia ini menerima lampu hadapan, lampu isyarat membelok, lampu nyalaan siang, lampu kabus dan lampu belakang kesemuanya dengan teknologi LED. Ia juga diberikan pengelap cermin automatik dan juga muffler dengan tip berkembar untuk sistem ekzos.

Kabin GR Yaris ini mungkin akan mengundang kluster ‘baik beli’ dan ‘demo dok kena bare’ melontarkan pelbagai kritikan. Ini kerana kereta ini dihasilkan semata-mata untuk dipandu laju, dan ia sangat ringkas tanpa sebarang ciri-ciri mewah kerana Toyota mahu kereta ini dihasilkan seringan yang boleh.

Paparan meter dihasilkan sangat ringkas tanpa paparan digital ‘kereta-kereta mahal’ buat masa sekarang. Ia diberikan sepasang meter analog utama untuk bacaan RPM enjin dan juga kelajuan kereta, bersama satu skrin MID berwarna di tengah dengan saiz hanya 4.2-inci.

Namun Toyota masih memberikan paparan head-up yang dipancarkan ke cermin hadapan bagi memudahkan pemandu melihat maklumat pemanduan yang diperlukan tanpa mengalihkan pandangan ke bawah.

Papan pemuka juga direka sangat ringkas dan nampak hampir ‘kosong’. Ia diberikan sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh kapasitif tujuh-inci berdiri sendiri yang terletak di tengah. Sistem berkenaan disokong Apple Carplay dan Android Auto serta dihubungkan kepada enam-pembesar suara.

Tiada sistem digital sepenuhnya untuk kawalan penghawa dingin dua zon GR Yaris ini, dan ia menampilkan dua suis putar utama, skrin paparan di tengah dan pilihan mod boleh dipilih menerusi butang fizikal kecil di bawahnya. Manakala untuk menukar mod sistem pacuan semua roda GR-Four, ia perlu dibuat menggunakan satu lagi suis putar diletakkan di bawah panel pendingin hawa.

Walaupun ia diberikan tempat duduk semi-bucket balutan Alcantara dengan sulaman logo GR, tiada larasan elektrik diberikan – ke depan, ke belakang, tinggi atau rendah semua perlu dilaras dengan kederat manusia.

Ciri-ciri lain yang turut diberikan termasuk roda stereng GR pelbagai fungsi balutan kulit, tombol gear balutan kulit, set pedal aloi, cermin pandang belakang elektrokrmomik sistem pendingin hawa dua-zon dan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin. Satu plat GR yang menyatakan bahawa jentera ini dihasilkan untuk WRC turut ditampal berhampiran pemegang cawan

Untuk keselamatan, jentera rali jalan raya ini di hadir dengan enam-beg udara, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, sistem pemantau tekanan tayar, penderia parkir belakang, serta sistem kestabilan elektronik (VSC) dan Traction Control (TRC) bersama brek ABS, EBD dan BA.

Malah kereta ini juga hadir dengan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang terdiri dari sistem seperti Pre- Crash System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Departure Alert (LDA), Lane Tracing Assist (LTA) dan Auto High Beam (AHB). UMW Toyota turut menawarkan sistem telematik VTS secara opsyen.

Jika anda betul-betul berminat dengan jentera ini, jangan terlalu berlengah untuk menempahnya. Ini kerana ia hanya dihasilkan sebanyak 25,000 unit untuk seluruh dunia, dan pasaran Malaysia hanya menerima 200-unit di mana setiap satunya akan didatangkan dengan plat nombor istimewa eksklusif.

Malah sebagai meraikan ketibaan model ini ke pasaran tempatan, UMW Toyota Motor Sdn Bhd turut menawarkan Pakej Pembeli Terawal yang akan menyaksikan pembeli GR Yaris menerima beg topi keledar eksklusif, model skala GR Yaris dan mengikuti aktiviti Pengalaman Memandu GR Yaris 2021, dengan keseluruhan pakej berkenaan bernilai RM5,000.

Toyota GR Yaris pasaran Malaysia ini ditawarkan dalam pilihan tiga warna badan iaitu Platinum White Pearl, Emotional Red 2 dan Precious Black. Walaupun ia sebuah model berprestasi tinggi, GR Yaris masih dilindungi waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan. Sama juga seperti GR Supra, GR Yaris hanya dijual di pengedar-pengedar terpilih yang mempunyai fasiliti GR-Garage.

GALERI: Gambar rasmi Toyota GR Yaris pasaran Malaysia