Nissan Almera Turbo 2020 ditawarkan pada harga bermula RM79,906 bagi pasaran Malaysia

Nissan Almera Turbo 2020 ditawarkan pada harga bermula RM79,906 bagi pasaran Malaysia

Pada 4 September lalu, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah mula membuka tempahan bagi Nissan Almera Turbo, namun demikian, ketika itu harganya masih belum didedahkan lagi. Pagi ini, barulah ETCM mendedahkan harga bagi ketiga-tiga varian Almera Turbo untuk pasaran Malaysia.

Bagi varian paling asas, VL, ia ditawarkan dengan harga bermula RM79,906, manakala bagi model pertengahan, VLP pila berharga RM85,715 dan RM91,310 bagi model spesifikasi penuh,VLT. Menurut ETCM, kesemua harga tersebut adalah harga atas jalan bagi Semenanjung Malaysia, tanpa insurans dan termasuk dengan potongan cukai jualan sehingga 31 Disember 2020 ini.

Ia turut ditawarkan dengan waranti lima-tahun dengan perbatuan tanpa had kenderaan untuk semua varian Almera Turbo serba baharu. Ia turut didatangkan bersama servis penyelenggaraan percuma sebanyak lima kali (berselang-seli) termasuk alat ganti dan kos buruh dalam tempoh lima-tahun.

Almera generasi baharu ini dijana oleh enjin HRA0 1.0L tiga-silinder dengan pengecas turbo sama seperti pasaran Thailand. Tiada pilihan kotak gear manual diberikan, di mana kesemua varian menerima kotak gear CVT Xtronix automatik dengan D-Step Logic untuk memacu roda hadapan.

Nissan Almera Turbo 2020 ditawarkan pada harga bermula RM79,906 bagi pasaran Malaysia

Bagi imejnya, ia ditampilkan dengan elemen rekaan terbaharu Nissan yang digelar “Emotional Geometry”, di mana Almera ini menerima muka dengan gril V-Motion yang diterapkan elemen sarang lebah bersama lampu hadapan lebih tirus dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah.

Pada bahagian sisi, model ini menampilkan garis badan dan garis bumbung yang lebih gagah, dengan rupa yang lebih rendah dan juga garis-garis sisi yang menyerlahkan ‘otot-otot’ badan.

Bermula dari tiang-C, Almera menerima rekaan yang diinspirasikan dari abang besarnya iaitu Nissan Altima/Teana generasi baharu, dengan kemasan hitam bagi memberi ilusi seolah-olah bumbungnya terapung, serta lampu belakang LED tirus yang direka seperti boomerang.

Barisan Almera untuk Malaysia akan menerima lampu kabus LED, lampu belakang LED, dan juga cermin sisi boleh-lipat berkuasa bersama lampu isyarat membelok LED. Walau bagaimana pun varian VL dan VLP akan menerima lampu hadapan automatik dan lampu nyalaan siang halogen, manakala model VLT pula menerima teknologi LED bagi komponen terbabit.

Untuk set roda pula, model asas VL diberikan rim 15-inci dengan tayar 195/65R15, manakala dua varian lebih tinggi pula diberikan rim 16-inci kemasan dua tona dengan tayar 205/55R16. Almera VLT juga menerima spoiler lid pada but belakang berwana hitam.

Kabin Almera 2020 ini juga nampak jauh lebih sporty dengan papan pemuka yang dihasilkan dengan elemen melintang, di mana model VLP dan VLT menerima papan pemuka dua tona. Semua varian Almera diberikan tempat duduk semi-bucket dan juga roda stereng rata di bawah, namum hanya dua varian paling tinggi diberikan uphosteri balutan kulit.

Nissan Almera Turbo 2020 ditawarkan pada harga bermula RM79,906 bagi pasaran Malaysia

Model paling rendah diberikan kluster paparan meter analog sepenuhnya, pemain audio tanpa skrin bersama empat-pembesar suara dan sistem penghawa dingin manual. Manakala varian VLP dan VLP diberikan paparan instrumen separa-digital dengan skrin berwarna tujuh-inci, sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh lapan-inci menyokong fungsi Apple Carplay, enam-pembesar suara dan juga sistem pendingin hawa automatik.

Untuk keselamatan, semua varian Almera Turbo 2020 akan dibekalkan standard dengan sistem brek ABS, EBD dan BA, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) bersama Traction Control (TC), Bantuan Mula Mendaki (HSA), dan juga cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix. Model asas VL diberikan hanya dua-beg udara, manakala dua varian lebih tinggi diberikan enam-beg udara.

Model paling mampu milik dari Nissan ini juga kini hadir dengan sistem bantuan pemanduan Nissan Safety Shield 360, di mana kesemua varian termasuk varian paling rendah dilengkapkan dengan sistem Amaran Pelanggaran Hadapan Pintar (IFCW) bersama Brek Kecemasan Automatik (AEB).

Nissan Almera Turbo 2020 ditawarkan pada harga bermula RM79,906 bagi pasaran Malaysia

Walau bagaimanapun, hanya model tertinggi VLT diberikan fungsi penuh Safety Shiled 360 ini yang merangkumi sistem Monitor Pemantau Sekeliling Pintar (IAVM) dengan Pengesan Objek Bergerak (IMOD), Sistem Amaran Titik Buta (BSW), dan juga Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA). Model pertengahan VLP pula diberikan kamera undur.

Model ini ditawarkan dalam enam warna badan iaitu tiga warna baharu Radiant Red, Monarch Orange, dan Dark Metal Grey, dan tiga lagi warna dari model sebelum ini iaitu Brilliant White, Diamond Black dan Tungsten Silver.

Bagi yang berminat untuk memiliki mana-mana varian Almera Turbo ini, ETCM turut menawarkan pakej sewa beli istimewa melalui Promosi Pembiayaan Flexi iaitu RM688 sebulan bagi varian VL, RM738 sebulan untuk VLP dan VLT pula RM788 sebulan. Ini adalah berdasarkan harga atas jalan bagi Semenanjung Malaysia dengan jumlah pinjaman 90%, tempoh pinjaman selama sembilan tahun dan sah sehingga 31 Disember 2020.

Nissan Almera VLT 2020

Nissan Almera VLP 2020

Nissan Almera VL 2020

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required