Nissan Almera Turbo sudah boleh ditempah – bermula RM8x,xxx, 100PS/152 Nm, 3 varian, Safety Shield 360

Nissan Almera Turbo sudah boleh ditempah – bermula RM8x,xxx, 100PS/152 Nm, 3 varian, Safety Shield 360

Ini berita baik untuk mereka yang jiwa kacau selepas kali pertama melihat Nissan Almera generasi kedua didedahkan di Amerika Syarikat April tahun lalu – Edaran Tan Chong Motor (ETCM) hari ini mengumumkan tempahan untuk sedan segmen-B yang kacak ini sudah pun di buka untuk pelanggan di Malaysia.

Almera generasi baharu ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu VL, VLP dan VLT, dan kesemuanya akan dijana oleh enjin 1.0L tiga silinder dengan pengecas turbo sama seperti pasaran Thailand. Tiada pilihan kotak gear manual diberikan, di mana kesemua varian menerima kotak gear CVT Xtronix automatik dengan D-Step Logic untuk memacu roda hadapan.

Untuk lebih spesifik, Almera ini diberikan enjin HRA0 yang menjana 100 PS pada takat 5,000 rpm, dan tork puncak 152 Nm bermula seawal 2,400 hingga 4,000 rpm. Oleh itu, enjin ini menghasilkan sekitar 2 PS kurang dari enjin HR15DE 1.5 liter NA pada model generasi pertama, namun ia menghasilkan lebih 13 Nm tork yang dicapai jauh lebih cepat (139 Nm pada 4,000 rpm pada enjin lama).

Menurut Nissan, enjin ini menerima teknologi Mirror Bore Coating yang sama seperti pada enjin VR38DETT Nissan GT-R R35 pada silinder, yang membantu mengurangkan geseran antara gegelang omboh dan dinding silinder, seterusnya akan meningkatkan ketahanan dan pengurusan suhu yang lebih baik.

Nissan Almera Turbo sudah boleh ditempah – bermula RM8x,xxx, 100PS/152 Nm, 3 varian, Safety Shield 360

Dari segi rupa, pasaran Malaysia menerima rekaan seiras dengan Almera pasaran Thailand dan juga Versa pasaran Amerika Syarikat. Tiada lagi rupa pelik seperti model generasi pertama, dan Almera kini merupakan antara sedan paling kacak dalam kelasnya.

Direka dengan elemen rekaan terbaharu Nissan yang digelar “Emotional Geometry”, Almera ini menerima muka dengan gril V-Motion yang diterapkan elemen sarang lebah bersama lampu hadapan lebih tirus dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah.

Pada bahagian sisi, model ini menampilkan garis badan dan garis bumbung yang lebih gagah, dengan rupa yang lebih rendah dan juga garis-garis sisi yang menyerlahkan ‘otot-otot’ badan.

Bermula dari tiang-C, Almera menerima rekaan yang diinspirasikan dari abang besarnya iaitu Nissan Altima/Teana generasi baharu, dengan kemasan hitam bagi memberi ilusi seolah-olah bumbungnya terapung, serta lampu belakang LED tirus yang direka seperti boomerang.

Semua varian Almera pasaran Malaysia akan menerima lampu kabus LED, lampu belakang LED, dan juga cermin sisi boleh-lipat berkuasa bersama lampu isyarat membelok LED. Model VL dan VLP menerima lampu hadapan automatik dan lampu nyalaan siang halogen, manakala model VLT pula komponen tersebut menerima teknologi LED.

Istimewa lagi bagi model tertinggi Almera VLT, ia turut diberikan spoiler lid pada but belakang berwana hitam. Untuk set roda pula, model asas VL diberikan rim 15-inci dengan tayar 195/65R15, manakala dua varian lebih tinggi pula diberikan rim 16-inci kemasan dua tona dengan tayar 205/55R16.

Bukan sahaja tampil dengan rupa yang lebih sedap mata memandang, Almera generasi baharu ini juga dihasilkan dengan saiz lebih besar dari model sebelumnya. Ia kini 70 mm lebih panjang dengan jarak roda 20 mm lebih jauh, serta 45 lebih lebar dan 40 mm lebih rendah bagi memberikan rupa yang lebih sporty.

Kabin Almera 2020 ini juga nampak jauh lebih sporty dengan papan pemuka yang dihasilkan dengan elemen melintang, di mana model VLP dan VLT menerima papan pemuka dua tona. Semua varian Almera diberikan tempat duduk semi-bucket dan juga roda stereng rata di bawah, namum hanya dua varian paling tinggi diberikan uphosteri balutan kulit.

Nissan Almera Turbo sudah boleh ditempah – bermula RM8x,xxx, 100PS/152 Nm, 3 varian, Safety Shield 360

Model paling rendah diberikan kluster paparan meter analog sepenuhnya, pemain audio tanpa skrin bersama 4 pembesar suara dan sistem penghawa dingin manual.

Manakala varian VLP dan VLP diberikan paparan instrumen separa-digital dengan skrin berwarna tujuh-inci, sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh lapan-inci menyokong fungsi Apple Carplay, enam-pembesar suara dan juga sistem pendingin hawa automatik.

Untuk keselamatan, semua varian Almera Turbo 2020 akan dibekalkan standard dengan sistem brek ABS, EBD dan BA, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) bersama Traction Control (TC), Bantuan Mula Mendaki (HSA), dan juga cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix. Model asas VL diberikan hanya dua beg udara, manakala dua varian lebih tinggi diberikan enam-beg udara.

Model paling mampu milik dari Nissan ini juga kini hadir dengan sistem bantuan pemanduan Nissan Safety Shield 360, di mana kesemua varian termasuk varian paling rendah dilengkapkan dengan sistem Amaran Pelanggaran Hadapan Pintar (IFCW) bersama Brek Kecemasan Automatik (AEB).

Nissan Almera Turbo sudah boleh ditempah – bermula RM8x,xxx, 100PS/152 Nm, 3 varian, Safety Shield 360

Walau bagaimanapun, hanya model tertinggi VLT diberikan fungsi penuh Safety Shiled 360 ini yang merangkumi sistem Monitor Pemantau Sekeliling Pintar (IAVM) dengan Pengesan Objek Bergerak (IMOD), Sistem Amaran Titik Buta (BSW), dan juga Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA). Model pertengahan VLP pula diberikan kamera undur.

Model ini ditawarkan dalam enam warna badan iaitu tiga warna baharu Radiant Red, Monarch Orange, dan Dark Metal Grey, dan tiga lagi warna dari model sebelum ini iaitu Brilliant White, Diamond Black dan Tungsten Silver.

ETCM masih lagi belum mendedahkan harga sebenar Nissan Almera Turbo 2020 ini. Namun harga anggaran diumumkan RM8x,xxx untuk model asas VL, RM8x,xxx untuk model pertengahan VLP, dan RM9x,xxx untuk varian tertinggi VLT. Ia hadir dengan jaminan selama lima-tahun, tanpa had perbatuan.

Menurut Nissan, Almera generasi kedua ini mencatatkan jualan yang sangat laris di seluruh dunia, iaitu lebih 100,000 unit di 30 negara sehigga 19 Ogos lalu, di mana ia model terlaris dalam kelasnya di Amerika Syarikat dan Mexico, serta kedua di Thailand.

Sebelum ia dilancarkan secara rasmi, kereta ini boleh diprebiu dan dipandu uji oleh orang ramai di bilik-bilik pameran terpilih dari 5 hingga 6 September dan juga dari 11 hingga 13 September 2020.

Untuk perincian lebih khusus berkenaan spesifikasi dan kelengkapan bagi kesemua varian Nissan Almera Turbo 2020 pasaran Malaysia, anda boleh bacanya pada PAUTAN INI.

Nissan Almera VLT 2020

Nissan Almera VLP 2020

Nissan Almera VL 2020

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required