Nissan Almera generasi kedua dilancarkan di Thai – 1.0 liter turbo, 100 PS/152 Nm, harga bermula RM70k

Nissan Almera generasi kedua dilancarkan di Thai – 1.0 liter turbo, 100 PS/152 Nm, harga bermula RM70k

Seperti yang kami laporkan minggu lalu, Nissan Almera generasi baharu kini sudahpun rasmi masuk ke pasaran ASEAN, dan Thailand merupakan pasaran pertama yang menerimanya. Di negara tersebut, Almera hadir dengan lima varian iaitu S, E, EL, V dan VL, namun kesemuanya diberikan enjin 1.0 liter turbo bagi membolehkannya diiktiraf sebagai Kereta Eco Thai Fasa kedua, serta menerima kelengkapan keselamatan yang agak maju.

Model pasaran Thailand ini menampilkan rupa yang hampir sama dengan versi pasaran Amerika Syarikat yang digelar Nissan Versa, didedahkan pada April lalu. Berbanding model sebelum ini yang kelihatan serba tak kena, model generasi kedua ini tampil jauh lebih kacak.

Direka dengan elemen rekaan terbaharu Nissan yang digelar “Emotional Geometry”, Almera ini menerima muka dengan gril V-Motion yang diterapkan elemen sarang lebah bersama lampu hadapan lebih tirus dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah.

Nissan Almera generasi kedua dilancarkan di Thai – 1.0 liter turbo, 100 PS/152 Nm, harga bermula RM70k

Beralih ke sisi, model ini menampilkan garis badan dan garis bumbung yang lebih gagah, dengan rupa yang lebih rendah dan juga garis-garis sisi yang menyerlahkan ‘otot-otot’ badan.

Bermula dari tiang-C, Almera menerima rekaan yang diinspirasikan dari abang besarnya iaitu Nissan Altima/Teana generasi baharu, dengan kemasan hitam bagi memberi ilusi seolah-olah bumbungnya terapung, serta lampu belakang LED tirus yang direka seperti boomerang.

Perbezaan rupa luaran antara Almera dan Versa di Amerika boleh dilihat pada bahagian belakang di mana model pasaran Thailand dalam varian tertinggi VL diberikan diffuser pada bampar dengan kemasan gentian karbon palsu bersama emblem ‘turbo’ yang dilekat pada penutup but.

Nissan Almera generasi kedua dilancarkan di Thai – 1.0 liter turbo, 100 PS/152 Nm, harga bermula RM70k

Untuk perbezaan rupa antara varian pula, model paling rendah S, E dan EL diberikan lampu hadapan halogen, manakala dua varian tertinggi V dan VL diberikan lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED serta lampu isyarat membelok pada cermin sisi. Namun hanya model VL hadir standard dengan lampu kabus LED.

Model S juga hanya diberikan rim besi 15-inci, manakala model E pula dibekalkan rim yang sama tetapi hadir dengan penutup plastik. Varian EL, V dan VL nampak lebih kemas dengan pemadanan rim aloi 15-inci.

Masuk ke kabin, kesemua varian Almera Thailand diberikan roda stereng jenis rata di bawah dengan larasan jenis teleskopik. Model S dan E diberikan upholsteri tempat duduk fabrik manakala EL, V dan VL juga menerima balutan fabrik tetapi hadir dengan kemasan kelabu dan jalur beige.

Bagi model S datang tanpa sistem hiburan (hanya kemasan plastik diletak di tengah papan pemuka), manakala E dan EL diberikan radio tanpa skrin dengan hubungan Bluetooth dan emapt pembesar suara. Ketiga-tiga varian paling rendah ini diberikan sistem pendingin hawa manual, paparan meter analog bersama paparan MID.

Manakala untuk V dan VL diberikan sistem pendingin hawa automatik, sistem infotaimen Nissan Connect dengan skrin sesentuh lapan-inci bersama enam pembesar suara, balutan kulit berwarna beige merentangi papan pemuka serta paparan meter separa digital dengan skrin TFT Fine Vision bersaiz 7-inci.

Seperti yang disebutkan tadi, kesemua varian diberikan unit janakuasa yang sama iaitu enjin HRA0 1.0 liter tiga-silinder dengan pengecas turbo, yang menghasilkan kuasa 100 PS pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 152 Nm bermula 2,400 hingga 4,000 rpm. Tiada transmisi manual ditawarkan, di mana kesemua model diberikan kotak gear Xtronic CVT automatik dengan sistem D-Step Logic.

Nissan Almera generasi kedua dilancarkan di Thai – 1.0 liter turbo, 100 PS/152 Nm, harga bermula RM70k

Untuk sistem keselamatan pula, kesemua varian Almera Thailand didatangkan standard dengan dua-beg udara pada bahagian hadapan, brek ABS bersama sistem EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik (VDC), dan juga bantuan mula mendaki (HSA).

Model EL, V dan VL pula diberikan sistem amaran pelanggaran hadapan (FCW) dan brek kecemasan automatik pintar (IEB), manakala versi V dan VL ditambah dengan monitor pemantau sekeliling pintar (IAVM) serta pengesan objek bergerak (MOD). Hanya model tertinggi VL diberikan tambahan beg udara sisi dan tirai (enam secara keseluruhan), sistem amaran titik buta (BSW) dan amaran lintasan trafik belakang (RCTA).

Untuk pasaran Thai, Almera ditawarkan dalam enam pilihan warna iaitu Radiant Red, Monarch Orange, Storm White, Black Star, Gun Metallic, dan Brilliant Silver. Ia dijual pada harga bermula 499,000 baht (RM69,585) untuk varian paling rendah S hingga 639,000 baht (RM87,799) bagi versi tertinggi VL.

Nissan Almera generasi kedua dilancarkan di Thai – 1.0 liter turbo, 100 PS/152 Nm, harga bermula RM70k

Nissan Thailand juga menawarkan pelbagai aksesori yang dibahagikan kepada tiga pakej. Pertama adalah pakej Sport iaitu kemasan-kemasan luaran dengan elemen gentian karbon pada perumah lampu kabus hadapan, kemasan sisi bawah badan, kemasan merentangi penutup but belakang dan juga spoiler but ‘ekor itik’.

Kedua adalah pakej Utiliti A menampilkan karpet kaki berkembar (dengan lapisan karpet getah di bawah) dan juga tray untuk meletak barang basah pada ruang kargo belakang. Yang terakhir adalah Utiliti B, membariskan peralatan seperti plat bendul pintu aloi, tip ekzos krom dengan tulisan ‘Nissan’, serta visor untuk kesemua kerangka tingkap pintu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required