Setelah didedahkan buat pertama kali April lalu, Nissan Amerika Syarikat kini mengumumkan lebih perincian sedan empat-pintu Nissan Versa (atau dikenali sebagai Almera di Malaysia) untuk pasaran berkenaan. Dengan rupa dan teknologi yang jauh berbeza dari model generasi sebelumnya, Versa kini bukan lagi kereta paling mampu milik di negara berkenaan.

Hadir dalam empat varian iaitu versi Versa S MT dijual pada harga USD 14,370 atau sekitar RM60k, hingga model paling sporty Versa SR berharga USD 18,240 atau sekitar RM76k. Kesemua model akan dijana oleh enjin petrol NA 1.6 liter empat-silinder berkuasa 122 hp/154 Nm.

Versa S diberi pilihan sama ada kotak gear manual lima-kelajuan atau Xtronic CVT automatik, manakala versi pertengahan SV dan SR hanya digandingkan dengan transmisi CVT.

Muka hadapan model generasi baharu ini kelihatan lebih lebar, dan ia sebenarnya hampir seiras dengan versi hatchbacknya iaitu Nissan March pasaran Eropah. Direka dengan elemen rekaan terbaharu Nissan yang digelar “Emotional Geometry”, Versa sedan ini menerima gril V-Motion yang diterapkan elemen sarang lebah bersama lampu hadapan lebih tirus dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah.

Lapan warna luaran ditawarkan untuk Versa di AS termasuk Electric Blue Metallic, Monarch Orange Metallic dan Scarlet Ember Tintcoat. Model generasi baharu ini turut menampilkan garis badan dan garis bumbung yang lebih gagah, dengan rupa yang lebih rendah dan juga garis-garis sisi yang menyerlahkan ‘otot-otot’ badan.

Bermula dari tiang-C, Versa sedan menerima rekaan yang diinspirasikan dari abang besarnya iaitu Nissan Altima/Teana generasi baharu, dengan kemasan hitam bagi memberi ilusi seolah-olah bumbungnya terapung, serta lampu belakang LED tirus yang direka seperti boomerang.

Model tertinggi SR dilengkapkan standard dengan set rim aloi bersaiz 17-inci dibaluti tayar 205/50R17, lampu hadapan LED, lampu kabus dan pelbagai lagi.

Masuk ke kabin, Versa Sedan 2020 menerima papan pemuka lebih tersendiri berbanding March, dan ia direka dengan elemen lebih melintang dengan ‘sayap’ yang merentangi papan pemuka tersebut, bersama rekaan panel instrumen digital yang digelar ‘Gliding Wing‘. Roda stereng pelbagai fungsi rata di bawah turut diberikan bersama skrin infotaimen baharu pada bahagian tengah papan pemuka.

Varian pertengahan SV dan tertinggi SR diberikan ciri-ciri lebih premium seperti sistem kunci pintar bersama suis penghidup enjin dan juga skrin infotaimen ‘terapung’ tujuh-inci yang menyokong Siri Eyes Free.

Kedua-dua model ini juga hadir standard dengan sistem keselamatan bantuan pemanduan Nissan Safety Shield 360 yang terdiri dari sistem seperti Brek Kecemasan Automatik dengan Pengesan Pejalan Kaki, Brek Automatik Belakang, Amaran Keluar Lorong, Bantuan Lampu Tinggi, Amaran Titik Buta dan Lintasan Trafik Belakang serta Cruise Control Pintar.

Nissan Versa Sedan akan mula dijual pada pasaran Amerika bermula musim panas tahun ini. Model generasi baharu ini juga hanya akan dipasarkan dalam versi sedan di negara berkenaan, tanpa ditemani model hatchback seperti model sebelum ini.

Menurut laporan portal Thailand, headlightmag, Almera generasi baharu ini mungkin akan diperkenalkan di China (dikenali sebagai Sunny) selepas ini. Seterusnya pasaran Thailand menjelang suku keempat 2019, dan mungkin akan dijual menerusi undang-undang Kereta Eco Thailand fasa kedua – ini bermaksud negara berkenaan mungkin akan menerima enjin petrol NA 1.0 liter tiga-silinder seperti March, yang menjana 71 hp/95 Nm.

Mei lalu, pengedar Nissan di Malaysia iaitu Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah mengesahkan bahawa Versa ini turut akan di bawa ke Malaysia bagi menggantikan Nissan Almera sedia ada. Namun perincian seperti spesifikasi dan juga tarikh pelancarannya masih lagi belum didedahkan.