Nissan Almera, Kicks sah akan masuk pasaran M’sia

Nissan Almera, Kicks sah akan masuk pasaran M’sia

The all-new high tech 2020 Nissan Versa features Nissan Safety Shield 360 and a new design with lower, wider and longer exterior dimensions.

Ketika sesi pandu uji media untuk model SUV Nissan X-Trail 2019 ke Belum, Gerik kelmarin, Edaran Tan Chong Sdn Bhd (ETCM) mengesahkan ada beberapa model menarik yang sudah dipertimbangkan untuk dibawa ke pasaran Malaysia dalam tempoh terdekat.

Paling kurang, kita boleh menjangkakan dua model segmen B – satu untuk SUV kompak dan satu untuk sedan – bakal menjengah pasaran tempatan; yang dimaksudkan ialah Nissan Almera N18 generasi keempat dan juga Nissan Kicks. Perkara ini dikongsi sendiri oleh Pengarah Pemasaran ETCM, Chris Tan, yang menjelaskan kedua-dua model berkenaan memang sudah ada dalam senarai untuk ke pasaran Malaysia.

Walaupun belum ada tempoh tertentu yang dinyatakan, berdasarkan perkembangan mutakhir Nissan di sini, ia mungkin tidak memerlukan masa yang lama sebaik sahaja kedua-dua model berkenaan diperkenalkan dirantau Asean. “X-Trail 2019 ini sebagai contoh. Ia dipekenalkan di Thailand Februari lalu, dan kami memperkenalkannya di Malaysia pada April. Bagi model-model akan datang, paling lewat pengenalannya di Malaysia adalah dalam tempoh enam bulan selepas negara-negara jiran memperkenalkannya,” tambah Chris.

Nissan Almera, Kicks sah akan masuk pasaran M’sia

Nissan Almera yang dimaksudkan sebelum ini sudah pun diperkenalkan untuk pasaran Amerika Utara dengan nama Versa bulan lalu. Ia menggunakan platform Common Modular Family (CMF-B) oleh Pakatan Renault-Nissan. Nissan Sylphy terbaru juga akan diperkenalkan di sini, selepas Almera.

Jika melihat kepada barisan model ETCM di Malaysia, tiada lagi model-model sedan dalam pasaran kecuali Almera. “ETCM tidak akan meneruskan lagi penawaran model sedan segmen D yang diwakili Nissan Teana, dan akan memberi lebih tumpuan kepada model SUV yang giat berkembang ketika ini.

“Ini corak pasaran yang dapat dilihat di seluruh dunia, bukan hanya di Malaysia,” tambah Chris lagi. Untuk itu, Nissan X-Trail 2019 yang baru diperkenalkan kini ada empat varian, berbanding hanya dua varian sebelum ini dan ditambah pula dengan versi hibrid sebagai varian paling tinggi.

Nissan Almera, Kicks sah akan masuk pasaran M’sia

Beliau juga memaklumkan, model elektrik sepenuhnya Nissan LEAF kekal dengan perancangan asal dan akan dilancarkan pertengahan tahun nanti. Ketika ini, Nissan di Malaysia hanya menawarkan empat model; SUV X-Trail, MPV Serena S-Hybrid, sedan Almera dan trak pikap Navara.

Bagi model-model generasi baru Nissan yang telah diperkenalkan dalam masa terdekat – ini termasuk Versa dan Kicks – telah mengalami evolusi rekaan yang agak radikal, dan tampil dengan imej yang sama sekali berbeza dan jauh lebih menarik.

Teliti rekaan Almera/Versa misalnya, imej semasanya nampak begitu jauh ditinggalkan. Arah tuju terbaru ETCM untuk pasaran kita ini juga nampak macam meyakinkan. Adakah kita sedang menyaksikan kebangkitan semula jenama Nissan di Malaysia? Toyota dan Honda rasanya sudah tak boleh bertenang sangat, kan?

Nissan Versa 2020

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required