Untuk KLIMS 2018, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) membawakan Nissan Leaf. Penampilan sulung kereta elektrik generasi kedua ini boleh dianggap sebagai pengenalan awalnya untuk pasaran Malaysia, yang dijangka akan dilancarkan pertengahan 2019 nanti.

Untuk pasaran Malaysia nanti, Nissan Leaf dijangka akan dipasangkan di sini bagi memanfaatkan insentif bagi kenderaan cekap tenaga (EEV) dan menjadikan harga jualannya lebih rendah. Apa pun, perkara ini hanya akan dapat disahkan bila tiba masa pengenalan rasminya nanti.

Juga, penilaian semula Dasar Automotif Nasional yang sedang dirangka akan memberi lebih banyak kelebihan kepada jenis kendearan elektrik seperti ini.

Leaf baru ini hadir dengan ukuran dimensi 4,480 mm panjang, 1,790 mm lebar dan 1,540 mm tinggi dan mampu menjana kuasa yang lebih banyak berbanding model generasi pertama – motor elektrik EM57 baru kini menghasilkan 38% lebih kuasa dan 26% lebih tork (148 hp dan 320 Nm).

Bateri lithium-ion 40 kWh yang digunakan meningkatkan jarak perjalanan sehingga 400 km (atau 378 km bagi kitaran NEDC) berbanding 195 km (atau 250 km) oleh model awal sebelum ini. Menurut Nissan, tempoh mengecas model ini memerlukan lapan jam untuk satu cas penuh dengan aliran elektrik 6 kW.

Turut tersedia ialah kit pengecas pantas, yang mampu membekalkan sehingga 80% tenaga hanya dalam masa 40 minit melalui soket pengecas CHAdeMO. Kadar cas AC maksimum ialah 6.6 kW, atau 50 kW bagi pengecas DC.

Ia turut dilengkapi dengan teknologi pemanduan autonomous ProPilot, yang boleh mengawal jarak dari kereta hadapan berdasarkan kelajuan yang ditetapkan pemandu (antara 30 km/j hingga 100 km/j). Stereng pula akan mengekalkannya berada di tengah lorong. Ia juga boleh memberhentikan kereta sepenuhnya dan kembali bergerak selepas itu, sama seperti yang boleh dilakukan Honda Sensing.

Selain parkir ProPILOT, turut tersedia ialah e-Pedal, fungsi mudah untuk memulakan, memecut, memperlahankan, memberhentikan serta mengekalkan kedudukan kereta menggunakan pedal minyak sahaja.

Leaf juga lengkap dengan enam beg udara, sistem Nissan Safety Shield yang merangkumi ciri intelligent lane intervention, amaran pertukaran lorong, brek kecemasan pintar, amaran titik buta, mengesanan papan tanda trafik, amaran lintasan trafik di belakang, monitor 360-darjah pintar serta bantuan kecemasan bagi kesilapan aplikasi pedal pemijak.