Ketika ini, untuk pasaran tempatan, sedan segmen B agaknya yang paling menarik perhatian ramai orang. Bukan lagi rahsia bahawa dua model penting dan segar dalam segmen berkenaan akan diperkenalkan secara rasmi. Jika Ogos lalu kita sudah diberi pentunjuk serba sedikit tentang Honda City 2020, kini tumpuan diberikan pula terhadap Nissan Almera generasi keempat terbaru (juga dikenali dengan kod casis N18), yang sebelum ini pernah beberapa kali dilihat sedang diuji di sini.

Seperti di Thailand, tiga varian bakal ditawarkan di sini, iaitu VL yang paling asas, VLP untuk pertengahan dan VLT untuk yang paling lengkap. Harga anggaran setakat ini ketika Almera 2020 mula dibuka untuk tempahan bermula hari ini adalah seperti berikut: RM8x,xxx (VL); RM8x,xxx (VLP); dan RM9x,xxx (VLT).

Paling menarik bagi Almera generasi kedua ini ialah unit enjin yang ditawarkan turut menampilkan enjin 1.0 liter turbo yang datang sekali dengan ciri Electronic Wastegate (yang memperbaiki tekanan turbo) serta Mirror Bore Coating Technology (diwarisi dari Nissan GT-R) yang bertujuan untuk mengurangkan geseran antara permukaan gelang omboh dengan dinding silinder dalam enjin.

Enjin ini menghasilkan sebanyak 100 PS pada 5,000 rpm dan 152 Nm tork dari 2,400 rpm hingga 4,000 rpm, dengan kecekapan penggunaan minyak pada kadar 18.4 km/l. Kapasiti tangki minyak juga kecil, hanya 35 liter. Ini menarik kerana Honda City 2020 walaupun ada enjin dengan kapasiti kecil yang sama seperti yang dijual di Thailand, ia tidak ditawarkan untuk pasaran tempatan.

Almera baru mempunyai ukuran dimensi 4,495 mm panjang, 1,460 mm tinggi dan 1,740 mm lebar serta jarak antara rodanya ialah 2,620 mm. Beratnya pula berbeza antara varian, seperti berikut; 1,090 kg bagi VL hingga 1,114 kg bagi varian paling tinggi VLT. Secara keseluruhannya, Almera baru ini 70 mm lebih panjang, 45 mm lebih lebar dan 40 mm lebih rendah berbanding model generasi pertamanya sebelum ini. Jarak antara rodanya juga ditambah 20 mm.

Bahagian dalamannya moden dan ringkas. Papan pemuka dengan dua tona warnanya lengkap dengan paparan skrin sentuh 8-inci dengan sokongan Apple CarPlay serta tiga slot USB. Kluster instrumen “Gliding Wing” hadir dengan kemasan krom, serta paparan meter digital berwarna untuk pemandu pula bersaiz tujuh-inci, memberikan kejelasan penglihatan kepada pemandu.

Bagi ruang pula, ia luas dan selesa; tempat duduk semi-bucket dari ilham Zero Gravity datang dengan kemasan kelabu. Penyandar belakang pula mempunyai nisbah rebahan 60:40. Saiz ruang barangan di belakang pula ialah 428 liter (didakwa mampu memuatkan empat beg golf), dengan bukaan yang lebih luas serta lantainya yang lebih rendah untuk memudahkan pengguna.

Almera terbaru ini juga dilengkapi lampu belakang dan lampu kabus LED bagi semua varian. Bagi lampu depan, VL datang dengan lampu halogen (On/Off automatik). Bagi VLT dan VLP, lampu depan jenis LED (bagi semua lampu utama, DRL dan lampu kabus). Ia turut membawakan rekaan wajah depan yang seiras dengan model-model jenama ini yang terbaru melalui gril V-Motion khusus daripada Nissan.

Bagi rim pula, VL akan menggunakan rim 15-inci dengan saiz tayar 195/65. Bagi VLP dan VLT pula menggunakan rim 16-inci dengan saiz tayar 205/55. Lain-lain kelengkapan asas bagi VL termasuk kerusi semi-bucket balutan fabrik, pendingin hawa manual, empat-pembesar suara dengan sistem audio sambungan Bluetooth dan stereng daripada urethane.

Aspek keselamatan, Almera turut dilengkapi dengan Nissan Safety Shield 360. Ia terdiri terutamanya daripada ciri amaran perlanggaran hadapan pintar serta brek kecemasan automatik (AEB, untuk semua varian!) dan amaran titik buta. Selebihnya, Almera baru ini ini juga (bagi varian paling tinggi) datang dengan enam beg udara SRS (dua beg udara bagi VL), peninjau sekeliling dengan pengesanan pintar objek bergerak serta amaran lintasan trafik di belakang.

Selain daripada itu, Almera baru ini juga dilengkapi dengan ciri seperti kawalan kestabilan kenderaan (VDC), kawalan cengkaman, ABS, EBD, bantuan brek, bantuan mula mendaki serta dua Isofix sebagai ciri standard bagi semua varian. Enam pilihan warna badan ditawarkan – lima metalik dan satu warna solid. Ini termasuk Radiant Red, Monarch Orange, Dark Metal Grey, Diamond Black dan Tungsten Silver, sementara warna solid tunggal ialah Brilliant White.

    Perincian mengikut spesifikasi:

    Nissan Almera VL

    Ciri standard:

    Mekanikal

  • Enjin HR10 DET 1.0 liter
  • 999 cc turbocas tiga-silinder
  • 100 PS pada 5,000 rpm
  • 152 Nm dari 2,400 rpm hingga 4,000 rpm
  • Xtronic CVT (dengan D-Step Logic dan mod Sport)
  • Cakera brek berliang (depan), dram (belakang)
  • Luaran

  • Rim aloi 15-inci (perak) dengan tayar 195/65
  • Lampu utama halogen dengan On/Off automatik
  • Lampu nyalaan siang halogen, lampu kabus depan
  • Lampu belakang dan lampu kabus belakang LED
  • Gril depan krom
  • Pemegang pintu warna badan, diffuser belakang
    Antena radio in-glass
  • Dalaman

  • Kerusi semi-bucket Zero Gravity
  • Kemasan fabrik dengan hiasan kelabu
  • Pendingin hawa manual
  • Empat pembesar suara, sistem radio/USB (dengan auxiliary dan sambungan Bluetooth)
  • Stereng urethane dengan kawalan audio
  • Larasan stereng Tilt/telescopik
  • Tiga slot USB
  • Lapan ruang cawan
  • Nisbah lipatan penyandar kerusi 60:40
  • Ruang barangan 482 liter
  • Keselamatan

  • Dua beg udara
  • Intelligent Forward Collision Warning (FCW) dan Intelligent Forward Emergency Braking (AEB)
  • Kawalan kestabilan kenderaan (VDC) dan kawalan cengkaman
  • ABS, EBD, bantuan brek
  • Bantuan mula mendaki
  • Cagak Isofix
  • Nissan Almera VLP

    Tambahan:

    Luaran

  • Rim aloi 16-inci (dua tona) dengan tayar 205/55
  • Dalaman

  • Kemasan kulit dengan hiasan kelabu
  • Papan pemuka dua tona dengan permukaan lembut
  • Pendingin hawa automatik
  • Sistem Nissan Connect Infotainment, enam pembesar suara dengan sokongan Apple Carplay
  • Paparan skrin sentuh lapan-inci
  • Panel instrumen digital berwarna tujuh-inci
  • Stereng balutan kulit dengan kawalan audio
  • Keselamatan

  • Enam beg udara
  • Kamera pandangan belakang
  • Nissan Almera VLT

    Tambahan

    Luaran

  • Lampu utama LED dengan On/Off automatik
  • Lampu nyalaan siang dan lampu kabus LED
  • Spoiler dalam warna hitam berkilat
  • Dalaman:

  • Kawalan melayar (cruise control)
  • Keselamatan

  • Intelligent Around View Monitor (kamera 360-darjah) dengan pengesanan objek bergerak
  • Amaran titik buta
  • Amaran lintasan trafik belakang
  • Enam pilihan warna:

    Metalik

  • Radiant Red
  • Monarch Orange
  • Dark Metal Grey
  • Diamond Black
  • Tungsten Silver
  • Solid

  • Brilliant White

Nissan Almera VLT 2020

Nissan Almera VLP 2020

Nissan Almera VL 2020