Sebelum dilancarkan secara rasmi, hari ini Honda Malaysia membuka ruang kepada pihak media untuk melihat Honda City generasi baharu secara lebih dekat. Walau bagaimanapun, kami hanya dapat melihat bahagian luaran sedan segmen-B ini dan perincian lengkap berkenaan spesifikasi mahupun harga masih belum diumumkan.

Seperti yang diumumkan sebelum ini, kita tidak menerima City dengan enjin 1.0 liter tiga-silinder seperti di Thailand, tetapi Malaysia adalah pasaran pertama di dunia yang akan menerima City dengan unit janakuasa sport hybrid intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) menerusi varian tertinggi e:HEV RS, seperti unit berwarna merah yang diprebiu hari ini.

Tanpa perincian lengkap, Honda Malaysia hanya menyatakan City RS e:HEV ini dibekalkan dengan tork yang cukup kuat iaitu 253 Nm – lebih besar dari tork sebahagian sedan segmen-D dalam pasaran seperti Toyota Camry. Sistem i-MMD ini sebenarnya telah pun diberikan pada Honda Fit Hybrid pasaran Jepun dan Jazz e:HEV pasaran Eropah.

Pada Fit/Jazz, sistem i-MMD berkenaan menampilkan enjin 1.5 liter i-VTEC kitaran Atkinson berkuasa 98 PS/127Nm yang digandingkan dua motor elektrik. Dengan gandingan tersebut, Fit/Jazz Hybrid itu dibekalkan dengan kuasa 109 PS dan tork maksima sama seperti yang diumumkan pada City e:HEV ini iaitu 253 Nm.

Ia berfungsi lebih kurang sama dengan sistem i-MMD pada Accord dan CR-V Hybrid generasi terkini di mana kereta boleh bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya dalam masa yang sama enjin petrol hanya mengecas bateri Lithium-ion, serta enjin dan motor elektrik boleh berfungsi bersepadu untuk memacu roda hadapan.

Disebabkan motor elektrik berkenaan memacu terus roda hadapan dan menyediakan tork 253 Nm tersebut bermula dari 0 rpm seperti kereta elektrik sebenar, tiada kotak gear diberikan pada City RS ini. Ketika mula bergerak, ia akan dimulakan dengan motor elektrik. Tetapi pada kelajuan tinggi, enjin petrol juga boleh memacu roda terus roda hadapan menerusi klac lock-up yang menghubungkannya pada satu set gear kelajuan tunggal.

Secara keseluruhan, City 2020 akan ditawarkan dalam empat varian di Malaysia, di mana varian lain yang lebih rendah akan menerima enjin 1.5 liter. Walau bagaimanapun, enjin petrol konvensional berkenaan bukan diambil sepenuhnya dari model generasi sebelumnya, tetapi ia kini dikemaskini dengan kepala silinder aci sesondol berkembar (DOHC i-VTEC).

Kuasa untuk enjin ini juga masih belum diumumkan, tetapi untuk City generasi baharu pasaran India, ia berupaya untuk menjana 121 PS dan tork maksima 145 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik bagi menghantar kuasa ke roda hadapan.

Untuk kelengkapan, hanya varian RS dan V akan diberi dengan lampu utama LED, sementara lampu DRL dan lampu belakang LED datang secara standard untuk semua varian. Selain itu, RS dan V juga dipadankan dengan rim 16 inci dua tona, sementara pelindung cermin sisi hitam hanya untuk RS. Rupa luaran RS pasaran Malaysia ini juga nampak hampir sama seperti RS Turbo pasaran Thailand, termasuk gril hadapan dan juga spoiler ducktail berwarna hitam.

Honda City 2020 ini turut menerima kamera titik buta Honda LaneWatch untuk varian RS dan V – ciri ini tidak diberikan pada mana-mana varian untuk pasaran Thailand, dan setakat ini ia hanya diberikan pada model pasaran India. Model RS di Malaysia juga menjadi City generasi baharu pertama yang diberikan brek parkir elektrik (varian lain masih diberikan brek parkir biasa).

Apa yang kami nampak hari ini, varian RS untuk pasaran Malaysia turut tampil dengan pakej bantuan pemanduan Honda Sensing seperti pasaran India dan ia tidak ada untuk City di Thailand. Pakej ini sepatutnya terdiri dari sistem seperti brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong dan juga cruise control adaptif dan low-speed follow bersama fungsi stop & go – namun masih belum dapat dipastikan adakah kesemua ciri ini akan disertakan dalam pakej Honda Sensing berkenaan.

Model RS yang didedahkan hari ini juga menampilkan sistem brek cakera pada bahagian belakang, manakala untuk varian lain masih belum dapat dipastikan akan menerima ciri yang sama atau kekal dengan brek dram seperti model sebelumnya.

Walaupun belum dilancarkan secara rasmi, Honda City 2020 ini sudahpun boleh ditempah. Mereka yang membuat tempahan awal akan menerima baucar servis bernilai RM1,000 yang akan sah selama satu tahun.