Budi Diesel mula hari ini — 700,000 pengguna dijangka nikmati manfaat harga bersubsidi RM2.10 seliter

Pelaksanaan program Budi Madani Diesel (Budi Diesel) yang bermula hari ini dijangka akan memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung Malaysia dan 300,000 lagi di Sabah, Sarawak dan Labuan, jelas Kementerian Kewangan.

Ini merupakan peningkatan ketara berbanding pelaksanaan Budi Diesel Individu sebelumnya, yang melibatkan kira-kira 180,000 penerima bantuan tunai bulanan di Semenanjung Malaysia untuk menampung sebahagian daripada kos pembelian diesel pada harga pasaran, memetik satu kenyataan yang dikeluarkan petang semalam.

Kementerian juga menambah bahawa akses awal untuk penerima yang layak di Semenanjung Malaysia — yang bermula pada 27 Jun — berjalan lancar, tanpa sebarang isu serius yang dilaporkan oleh penerima subsidi. Sistem pengesahan MyKad juga berfungsi dengan baik.

Dari segi perubahan jumlah sejak tempoh akses awal bermula, kementerian itu memaklumkan sehingga tengah hari semalam (30 Jun), kira-kira 80,000 transaksi telah direkodkan, melibatkan pembelian sekitar 3.2 juta liter diesel bersubsidi bernilai hampir RM7 juta pada harga akses awal RM2.15 seliter, menjelang peralihan hari ini dengan harga RM2.10 seliter yang ditetapkan di bawah program Budi Diesel.

Kementerian juga menambah, pemilik trak pikap dan SUV berkuasa diesel yang layak boleh memohon tambahan 100 liter sebulan melalui portal rasmi Budi Madani, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan. Ia berkata bahawa sehingga jam 9 pagi 30 Jun, lebih daripada 22,000 permohonan telah diterima melalui portal untuk peruntukan bulanan tambahan.

Bagi pemindahan kelayakan Budi Diesel untuk kenderaan yang digunakan oleh ahli keluarga terdekat pula, kementerian itu berkata hampir 1,000 permohonan pemindahan telah diterima oleh kementerian setakat jam 9 pagi semalam.