Budi Diesel — KPDN tarik balik arahan had jualan diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menarik balik arahan yang mengetatkan penjualan bahan api diesel untuk kenderaan pengangkutan darat di Sabah, Sarawak dan Labuan, termasuk had 50 liter, 100 liter dan 150 liter, berkuat kuasa hari ini, lapor Bernama.

Pembatalan arahan yang dikeluarkan pada Mac lalu itu ada susulan pengumuman harga bahan api diesel bersubsidi yang diseragamkan pada harga RM2.10 seliter di seluruh negara berkuat kuasa hari ini, 1 Julai 2026, kata Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDN, Datuk Azman Adam.

“Semua pemegang lesen runcit yang menjual petrol atau diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan dinasihatkan bahawa arahan sekatan penjualan diesel sebelum ini tidak lagi berkuat kuasa mulai tarikh tersebut,” kata Azman dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa kementerian yakin bahawa kaedah subsidi baru ini akan memastikan pengagihan diesel bersubsidi yang disasarkan dan cekap, di samping memudahkan transaksi untuk pengguna yang layak.

Akses awal Budi Diesel untuk pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia telah bermula pada 27 Jun, yang membolehkan warganegara Malaysia — yang mempunyai kad pengenalan (MyKad) dan lesen memandu (LMM) yang sah serta memiliki kenderaan diesel milik persendirian dengan cukai jalan (LKM) yang sah — untuk mendapat akses kepada diesel pada harga RM2.15 seliter, sama seperti di Sabah, Sarawak dan Labuan untuk tempoh masa yang singkat sebelum pelaksanaan 1 Julai di seluruh negara yang menjadikan harganga RM2.10 seliter diesel.

Kementerian Kewangan juga memaklumkan, portal Budi Madani telah menerima lebih daripada 18,000 permohonan untuk kuota diesel bersubsidi tambahan 100 liter setakat Ahad, 28 Jun. Subsidi bahan api diesel juga diperluaskan kepada kenderaan diesel milik persendirian dengan cukai jalan yang sah, termasuk kenderaan jenis badan pikap dan jip.