Apabila Tokyo Motor Show membuka tirai hari ini, akhirnya Honda Jazz serba baru juga didedahkan secara penuh. Hatchback generasi keempat ini dijual sebagai Fit di Jepun dan Amerika Syarikat, dan ia akan mula berada di pasaran pada bulan Februari 2020 di Jepun.
Honda memberitahu model baru ini dibangunkan dengan lebih “nilai emosional”, dengan mengambil penting keselesaan serta hubungannya dengan manusia. Secara keseluruhannya ada lima varian Fit yang diperkenalkan iaitu Basic, Home, Ness, Luxe dan Crosstar.
Seperti diketahui daripada namanya, Basic adalah varian permulaan, dengan kit serta rekaan yang asas seperti rim besi. Varian Home pula menggunakan rim yang lebih bergaya, jalur krom pada gril, tempat duduk fabrik serta stereng yang dibalut dengan kulit manakala Ness mempunyai pilihan warna lebih menarik, fabrik kalis air di dalam serta lapisan lembut di atas panel instrumen.
Paling ranggi adalah varian Crosstar, yang menggunakan gaya crossover serta kelengkapan seperti rim 16 inci, rel atas bumbung, cermin sisi krom, serta tambahan kemasan plastik di bawah pintu serta lengkuk tayar. Varian ini juga menggunakan fabrik kalis air di dalam serta lapisan lembut di atas panel instrumen.
Varian Luxe adalah varian yang paling mewah, dengan bahagian luarnya mempunyai kemasan krom di side skirt, gril serta cermin sisi, rim 16 inci serta kemasan hitam berkilat di bampar. Pada bahagian dalam, ia menggunakan tempat duduk yang dibalut kulit.
Setakat ini masih belum ada perincian tentang penggerak Jazz/Fit baru ini, tetapi Honda ada memberitahu bahawa sistem hibrid i-MMD dua motor baru padanya akan diperkenalkan sebagai sebahagian daripada barisan model e:HEV baru jenama itu.
Sebagaimana yang boleh dilihat, rekaan Jazz baru ini telah berubah sepenuhnya berbanding model sebelum ini, termasuk lampu hadapan yang lebih besar, A-pillar yang lebih nipis untuk memberi penglihatan lebih jelas kepada pemandu serta lampu belakang yang lebih konvensional berbanding menegak sebelum ini.
Pada bahagian dalam, panel instrumen mempunyai bahagian atas yang lebih rata manakala tempat duduknya adalah rekaan baru yang ditingkatkan dengan ciri penstabilan badan – kurang letih bagi pemandu dan pengguna. Tetapan tempat duduk belakang masih sama, tetapi kusyennya ditambah lebih tebal supaya lebih selesa.
Antara ciri keselamatan serta sistem bantuan baru untuk Jazz 2020 ini adalah termasuk kamera pandangan luas di hadapan, sebagai tambahan kepada pakej Sensing yang diberikan secara standard untuk semua varian. Jazz baru ini juga menjadi model pertama yang dilengkapi dengan modul komunikasi dalaman Honda CONNECT.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.