SPYSHOT: Nissan Almera 2020 ditemui lagi diuji di KL

SPYSHOT: Nissan Almera 2020 ditemui lagi diuji di KL

Sekali lagi, Nissan Almera generasi baharu (dikenali dengan kod casis N18) ditemui sedang di uji di Kuala Lumpur. Kali ini, ia dijumpai dan sempat dirakam dari belakang oleh pembaca kami, Eric Foong di kawasan sekitar Mont Kiara.

Ini kali ketiga Almera tersebut dikesan berada di Malaysia. Kali pertama adalah pada Oktober tahun lalu di mana empat unit model ini dilihat di bawa oleh sebuah lori pengangkut di KLIA, berhampiran dengan Cargo Village. Manakala kali kedua pula dua unit dikesan sedang diuji di kawasan sekitar Jalan Dutamas Raya pada Disember 2019.

Dalam sesi kali ini, nampaknya hanya sebuah Almera berkenaan di uji, berbeza dengan sebelumnya dimana ia dilihat diuji dalam dua varian berbeza, berdasarkan berberapa perincian dilihat tidak sama antara satu sama lain. Menerusi imej bahagian belakang yang diberikan pelekat penyamaran ini, ia adalah dari varian lebih rendah memandangkan bampar belakangnya tidak diberikan kemasan seakan diffuser pada bahagian bawah.

Unit Almera N18 dengan spesifikasi varian asas yang ditemui semalam (kiri) dan unit varian lebih tinggi dijumpai pada Disember tahun lalu (kanan)

Berdasarkan apa yang telah disahkan oleh pengedar Nissan di Malaysia, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) tahun lalu, Almera N18 ini sepatutnya akan dilancarkan pada pasaran tempatan pada tahun ini. Namun akibat pandemik Covid-19 yang sedang menyerang negara sekarang, tidak dapat dipastikan sama ada rancangan tersebut tergendala atau pun tidak.

Thailand adalah pasaran kedua yang menerima model generasi baharu ini, dan berbanding pasaran Amerika Syarikat (dikenali juga sebagai Nissan Versa) yang dijana oleh enjin NA 1.6 liter, pasaran di negara jiran berkenaan menerima Almera yang dikuasakan oleh enjin HRA0 1.0 liter turbo tiga-silinder berkuasa 100 PS dan tork maksima 152 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT X-tronic.

Ini membolehkan Almera dijual dalam kelas Kereta Eco Thai Fasa 2, sama seperti Honda City GN1 membolehkan ia dijual dengan harga lebih murah menerusi insentif potongan cukai yang diberikan kerajaan negara tersebut. Angka kuasa yang dihasilkan oleh enjin turbo berkapasiti kecil berkenaan sebenarnya hampir sama dengan enjin HR15DE 1.5 liter NA pada Almera generasi terdahulu (102 PS/139 Nm), jadi masih lagi belum pasti enjin mana yang akan ditawarkan di Malaysia.

Nissan Almera VL Turbo pasaran Thailand

Sebagai rujukan, varian tertinggi VL untuk pasaran Thailand menerima kelengkapan seperti lampu kabus LED, kluster paparan instrumen dengan skrin tujuh-inci, sistem pendingin hawa automatik serta sistem infotaimen Nissan Connect dengan skrin lapan-inci bersama enam-pembesar suara.

Untuk sistem keselamatan pula, kesemua varian Almera Thailand didatangkan standard dengan dua-beg udara pada bahagian hadapan, brek ABS bersama sistem EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik (VDC), dan juga bantuan mula mendaki (HSA).

Model tiga varian tertinggi iaitu EL, V dan VL pula diberikan sistem amaran pelanggaran hadapan (FCW) dan brek kecemasan automatik pintar (IEB), manakala versi V dan VL ditambah dengan monitor pemantau sekeliling pintar (IAVM) serta pengesan objek bergerak (MOD). Hanya model tertinggi VL diberikan tambahan beg udara sisi dan tirai (enam secara keseluruhan), sistem amaran titik buta (BSW) dan amaran lintasan trafik belakang (RCTA).

Buat masa sekarang, antara tiga seteru sedan segmen-B Jepun di Malaysia, Almera merupakan model yang paling mampu milik (model paling asas dijual pada harga di bawah RM70k) jika dibandingkan dengan Toyota Vios dan Honda City. Sekiranya Almera yang lebih kacak ini masuk ke Malaysia kelak, anda rasa adakah ‘permainan’ dalam segmen ini akan berubah?

GALERI: Spyshot Nissan Almera N18 di Malaysia pada Disember 2019

GALERI: Nissan Almera VL 2020 di Thai Motor Expo

GALERI: Foto rasmi Nissan Almera 2020 pasaran Thailand

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required