Bila kali terakhir kita ke bilik pameran Nissan di Malaysia untuk melihat sebuah sedan yang handsome? Sentra ‘Teksi Genting’? Cefiro A31? Tak lama lagi mungkin kita akan temui sebuah sedan dengan rupa yang agak kacak di bilik pameran Edaran Tan Chong Motors (ETCM) setelah empat buah Nissan Almera generasi baharu ditemui di bawa oleh lori pengangkut di KLIA, berhampiran dengan Cargo Village.

Set gambar ini telah disiarkan oleh laman Facebook The Ajerul, dan menerusi sebuah unit dengan kain penutup sedikit terselak, dapat dipastikan bahawa ia adalah Nissan Almera generasi kedua. Ia juga dilihat mungkin dengan dua spesifikasi berbeza, dengan varian lebih tinggi diberikan rim-16 inci yang lebih besar dalam kemasan dua tona.

Kehadiran Almera ini di Cargo Village berkemungkinan ia dalam perjalanan keluar dari Malaysia dan bukan baru sampai di sini – mungkin akan di bawa ke Jepun untuk tujuan ujian, ujian pelanggaran misalnya.

Nissan Almera generasi baharu ini didedahkan buat pertama kali untuk peringkat global di Amerika Syarikat April lalu, dikenali dengan nama Nissan Versa pada pasaran berkenaan. Ia dihasilkan dari platform Pakatan Renault Nissan Common Modular Family (CMF-B), yang turut menjadi asas kepada hatchback Nissan March dan Renault Clio.

Berbanding model sedia ada yang mempunyai rekaan yang agak pelik, Almera generasi terkini ini menampilkan rupa sebuah sedan yang lebih bergaya, dengan badan yang lebih lebar serta bumbung yang nampak lebih rendah.

Ia juga menerima rekaan muka dengan lampu yang tirus bersama lampu nyalaan siang LED berbentuk boomerang dan gril signatur “V-Motion” Nissan, manakala pada tiang-C diberikan kemasan hitam dan lampu yang lebih tajam pada bahagian belakang. Bahagian kabin juga menerima rekaan yang lebih mendatar dan nampak lebih lebar dan rendah berbanding model sebelumnya.

Di Amerika Syarikat, Versa tidak lagi diiktiraf sebagai kereta paling mampu milik dan dijual pada harga bermula USD 14,370 hingga USD 18,240 (sekitar RM60k hingga RM76k). Ia dijana enjin HR16DE 1.6 liter NA berkuasa 122 hp/154 Nm digandingkan dengan kotak gear CVT, serta menerima kelengkapan seperti skrin besar pada paparan instrumen, skrin sesentuh dengan sokongan Apple CarPlay, butang penghidup enjin dan juga sistem bantuan pemanduan Nissan Safety Shield 360.

Ketika sesi pandu uji media Nissan X-Trail facelift pada Mei lalu, ETCM telah mengesahkan bahawa Almera generasi baharu ini akan dilancarkan di Malaysia pada tahun hadapan, dan akan diikuti dengan crossover Nissan Kicks dan juga sedan segmen-C Nissan Sylphy generasi baharu.

Namun tiada lagi sebarang bayangan spesifikasi yang akan diterima untuk pasaran tempatan, dan tidak mustahil Almera baharu dengan kod casis N18 ini akan terus dijana oleh enjin HR15DE 1.5 liter NA dari model sedia ada, yang menghasilkan 102 PS/139 Nm.

GALERI: Nissan Versa 2020 pasaran Amerika Syarikat