GALERI: Honda City 1.0L Turbo RS 2020 di Thailand

GALERI: Honda City 1.0L Turbo RS 2020 di Thailand

Honda City 2020 telah pun diperkenalkan di Thailand sebelum 2019 berakhir. Model pesaing bagi Nissan Almera 2020 ini telah pun dinaiktaraf sepenuhnya termasuk didatangkan dengan pilihan enjin turbo tiga-silinder.

Tiga varian diperkenalkan termasuklah City Turbo RS yang dikuasakan oleh enjin 1.0 liter (998 cc) VTEC Turbo dengan hamburan kuasa 122 PS pada 5,500 rpm dan tork 173 Nm dari 2,000 hingga 4,500 rpm. Di Thailand, ia digandingkan dengan kotak gear CVT dengan tujuh-kelajuan maya yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan.

Larasan suspensinya masih kekal seperti sebelum ini, dengan topang MacPherson digunakan untuk bahagian hadapan, dan palang torsion untuk gandar belakang. Begitu juga dengan sistem brek yang masih sama, dengan cakera ventilated di hadapan, dan dram di belakang.

GALERI: Honda City 1.0L Turbo RS 2020 di Thailand

Bagi dimensi, City baharu ini ditambah 113 mm lebih panjang (4,553 mm) 53 mm lebih lebar (1,748 mm) dari versi sedia ada. Namun ia kini 10 mm lebih rendah (1,467 mm) dan jarak roda pula 11 mm lebih dekat (2,589 mm) berbanding sebelum ini. Honda turut memberikan penebat polyurethane dan tebatan bunyi lebih tebal pada ruang enjin bagi memberikan NVH lebih baik.

Bagi rekaan luaran, untuk model RS, ia hadir dengan kemasan-kemasan hitam yang menggantikan komponen krom pada varian SV. Ia juga menampilkan cermin sisi dan juga lid spoiler belakang dengan kemasan hitam, dan juga rim 15-inci dua-tona dengan rekaan tersendiri.

Selain itu, ia turut menampilkan wajah hadapan nampak lebih ‘jendul’ berbanding sebelumnya, dengan iras muka lebih mirip kepada Civic, serta ‘kening’ bersama lampu nyalaan siang LED yang bercantum pada gril ‘solid wing’ yang tebal pada bahagian tengah.

Pada bahagian sisi, garis bahu kelihatan lebih menyerlah, tetapi ia tidak menaik ke belakang, sebaliknya nampak lebih tegak. Di belakang, model ini diberikan lampu dengan kluster lebih tirus dan berbucu dari sebelum ini, dan ia hadir dengan jalur grafik LED yang unik. Kemasan seakan diffuser pada bampar belakang direka kecil, tetapi ia diberikan sepasang liang udara pada setiap sisi yang nampak agresif.

Kabinnya pula menampilkan rekaan papan pemuka baharu, dengan paparan infotainmen di bahagian tengah, corong udara dengan gaya vertikal, rekaan roda stereng baharu serta kokpit yang kelihatan lebih bergaya. Konsol tengah pula tidak banyak perubahan melainkan terdapat penambahan butang di sebelah tuil gear untuk mod Econ dan lahu enjin.

Untuk aspek keselamatan, tiada brek kecemasan sendiri (AEB) ditampilkan, tetapi Thailand telah menetapkan mandat bagi ciri ABS, EBD, BA dan VSA secara standard, dan kesemua varian City baharu dilengkapi ciri berkenaan.

Honda City 2020 ini telah pun diuji oleh media Thai di Chiang Rai, di mana foto ini dirakamkan. Harga bagi sedan segmen-B ini bermula dari 579,500 baht (RM77,534), dengan menawarkan empat varian – S, V, SV dan RS – untuk pasaran di sana. Bolehkah kita mengharapkan City 2020 ini akan memasuki pasaran Malaysia pada tahun ini?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required